Images
  • panduan e bayaran
    Gambar: Gaya Chandramohan

Panduan baru diusul bagi lindungi pelanggan bayaran elektronik

SINGAPURA: Para pengguna dan perniagaan kecil tidak lama lagi boleh mendapatkan kembali wang mereka dengan cara lebih mudah, jika penipuan atau kesilapan berlaku ketika pembayaran dibuat secara elektronik atau e-pembayaran.

Penguasa Kewangan Singapura (MAS) menyarankan garis panduan baru untuk institusi-institusi kewangan melindungi kepentingan pengguna dalam situasi sedemikian.

Perundingan awam sudahpun dilancarkan bagi mengumpul maklum balas daripada para pengguna dan pemain industri yang akan berakhir 16 Mac ini.

Garis panduan tersebut menetapkan bahawa apabila pembayaran tidak sah berlaku dan pengguna didapati telah mengambil langkah-langkah mencukupi bagi melindungi akaunnya maka beliau seharusnya diberi ganti rugi sepenuhnya.

Jika pengguna didapati bertanggungjawab sebahagiannya kerana cuai tetapi bukan kerana bertindak melulu, maka beliau harus menanggung kerugian sehingga $100.

Si pengguna akan diberi ganti rugi bagi baki jumlah pembayaran.

Bagaimanapun jika pengguna didapati menjadi punca utama kesilapan semasa membuat pembayaran elektronik maka beliau boleh dipertanggungjawabkan sepenuhnya bagi kerugian yang dialami, tanpa sebarang ganti rugi.

Pemegang akaun juga disarankan mengambil langkah perlindungan sendiri seperti mempunyai kata laluan yang kukuh bagi akaun mereka.

Garis panduan tersebut dijangka dilaksanakan pada pertengahan tahun ini.


- CNA/MA/sm

Top