Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pameran Haji khas singkap Kampong Gelam - tapak yang sarat dengan sejarah haji Nusantara

Deretan rumah-rumah kedai lama di kawasan Kampong Gelam kini kelihatan cantik dengan tatarias yang diperbaharui. Hakikatnya, Kampong Gelam kini bukan sahaja satu tarikan buat para pelancong bahkan juga untuk penduduk tempatan kerana ia begitu kaya dengan unsur-unsur budaya dan sejarah.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Deretan rumah-rumah kedai lama di kawasan Kampong Gelam kini kelihatan cantik dengan tatarias yang diperbaharui. Hakikatnya, Kampong Gelam kini bukan sahaja satu tarikan buat para pelancong bahkan juga untuk penduduk tempatan kerana ia begitu kaya dengan unsur-unsur budaya dan sejarah.

Kawasan itu banyak mengabadikan detik-detik penting warisan haji di Singapura dan juga rantau ini.

Sejarahnya bermula antara lewat abad ke-19 hingga awal tahun-tahun 1970-an apabila ribuan umat Islam dari Nusantara berkumpul di Kampong Gelam untuk memulakan perjalanan ke tanah suci dengan menaiki 'kapal haji' dari sini.

Di tengah Lautan Hindi pada musim monsun barat daya (Gambar ihsan: Anthony Green)

(Gambar ihsan: Anthony Green)

Pada ketika itu, kapal terbang belum menjadi wadah pengangkutan lazim.

WARGA ASING KE KOTA SINGA UNTUK ELAK BAYAR CUKAI, DAPAT VISA

Sebagai sebuah pusat perdagangan dan pelabuhan, Singapura menjadi 'tuan rumah' kepada para jemaah sebelum mereka belayar berbulan-bulan lamanya ke kota Makkah.

Kemasukan kebanyakan jemaah dari Indonesia bagaimanapun disebabkan 'cukai' yang perlu warga negara itu bayar dan kesukaran untuk mendapatkan visa di negara mereka - suatu peraturan yang ditetapkan oleh penjajah Belanda demi mengawal aliran manusia.

(Gambar: BERITAmediacorp)

"Untuk mendapatkan jalan keluar daripada perkara itu, ramai jemaah daripada Indonesia akan turun dulu ke Singapura atau Penang dan berlabuh dari situ kerana pihak British tidak sangat menyekat perjalanan," jelas Cik Suhaili Osman, kurator pameran Undangan ke Baitullah: Kisah-kisah Haji dari Dunia Melayu ke Makkah.

Pengalaman penduduk rantau Melayu untuk mengerjakan ibadah haji sejak zaman-berzaman itu disorotkan dalam pameran tersebut.

SELONGKAR SEJARAH KAMPONG GELAM SEBAGAI PUSAT HAJI SERANTAU SECARA PERCUMA

Pameran khas anjuran Taman Warisan Melayu itu juga menyelongkar peranan Kampong Gelam sebagai sebuah hab haji yang dipenuhi dengan sheikh haji, rumah tumpangan musiman dan pelbagai gerai yang menjual perkakas-perkakas haji termasuk kain ihram serta tali pinggang haji.

(Gambar: BERITAmediacorp)

Meliputi tiga galeri, ia dipaparkan menerusi lebih 160 artifak yang meliputi barangan peribadi milik keluarga jemaah-jemaah haji dari Singapura.

Sebahagian kiswah atau kain penutup Kaabah yang besar juga dipamerkan dan menjadi antara tarikan utamanya.

Antaranya ialah buku, dokumen dan peralatan yang digunakan untuk menunaikan haji, serta video dan gambar-gambar lama yang penuh menggamit kenangan.

(Gambar: Taman Warisan Melayu)

(Gambar: Taman Warisan Melayu)

Antara bahan pameran yang boleh dianggap unik adalah tayangan video hitam putih yang merakamkan perjalanan jemaah pada abad-abad awal 1900. Ia menunjukkan bagaimana jemaah berangkat dari Singapura dan kemudian apa yang berlaku di sepanjang pelayaran. Ini termasuklah bagaimana suasana atas kapal dan bagaimana jemaah yang mati dilepaskan ke laut.

Video itu juga memaparkan keadaan di tanah suci. Ia dipinjamkan dari arkib sebuah perpustakaan Belanda.

IMBAS KEMBALI KENANGAN MASA LALU

Bagi Encik Abdul Halim Mohamed Amin, seorang perunding Jabatan Strategik Khidmat Haj MUIS, pameran itu mengingatkannya kembali tentang pengalamannya sendiri semasa menunaikan ibadah haji semasa masih kecil lagi.

"Saya ingat mereka tidak pergi naik kapal daripada Tanjong Pagar. Saya ingat di Tanjong Rhu tapi saya tidak pasti pasal saya tidak ada dokumen. Tapi pada hari ini saya datang baru saya tahu betul apa yang saya ingat masa saya kecil, di Tanjong Rhu. Taman Warisan ada mengesahkannya," kata Encik Halim.

Bekas pegawai haji dari tahun 1985 hingga 2015 itu turut meminjamkan beberapa barangan peribadi beliau seperti kain ihram dan pas haji bagi pameran tersebut.

(Gambar: BERITAmediacorp)

Selain itu, beliau juga berkongsi peta Madinah dan Makkah yang menunjukkan tempat penginapan bagi rombongan jemaah Singapura daripada pelbagai agensi haji.

Coretan rencana yang menunjukkan Encik Halim memberikan taklimat kepada para pegawai MUIS tentang operasi haji ketika semasa berada di tanah suci turut dipaparkan.

Ia penting dalam menunjukkan betapa peranan seorang pegawai haji telah berubah daripada menyampaikan pemerhatian buat kerajaan penjajah kepada berkhidmat selaku wakil negara bagi urusan-urusan diplomasi dan kebajikan para jemaah semasa musim haji.

Pameran dibuka secara percuma sehingga 23 Jun tahun depan. Sejarah perjalanan haji akan disorot dari perspektif Asia Tenggara. 

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan