Images
  • nz jet
    Gambar fail jet pejuang F-15 RSAF di Pertunjukan Udara Singapura. (Gambar: Ngau Kai Yan) 

NZ pertimbang saranan untuk 15 jet F-15 S'pura terus berlatih di Pangkalan Udara Ohakea

SINGAPURA: New Zealand akan terus menimbangkan saranan bagi jet-jet pejuang F-15 Singapura untuk menjalankan latihan di Pangkalan Udara Ohakea.

Ini menurut Kementerian Pertahanan (MINDEF) dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini (13 Mac).

Perkembangan terbaru ini diumumkan menyusuli Mesyuarat Menteri Pertahanan Singapura-New Zealand di Auckland antara Menteri Pertahanan Singapura Ng Eng Hen dengan rakan sejawatannya dari New Zealand Ron Mark.

Di mesyuarat tahunan itu, kedua-dua menteri mengadakan rundingan mengenai rangka kerja keselamatan dan isu-isu keselamatan serantau. Mereka turut mengesahkan komitmen kepada rangka kerja Mesyuarat Menteri Pertahanan ASEAN-Plus (ADMM-Plus) dan Perjanjian Pertahanan Lima Negara.

Mereka juga menamatkan semakan terhadap rangka kerja hubungan dua hala dan mempersetujui kerjasama lanjutan antara Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) dan Angkatan Pertahanan New Zealand (NZDF).

"Bagi pihak Singapura, Dr Ng mengucapkan terima kasih atas peluang berlatih di NZ dan bagi NZDF untuk berlatih bersama.

Encik Mark menarik perhatian bahawa Singapura adalah rakan pertahanan New Zealand yang paling rapat di Asia Tenggara dan sejarah kerjasama antara SAF dengan NZDF mencerminkan persahabatan, perpaduan dan kematangan dalam hubungan tersebut," menurut MINDEF.

Kedua-dua menteri juga menghargai kerjasama yang terjalin sekian lama antara kedua-dua negara dalam menjalankan misi keamanan luar negara di Timor Leste, Afghanistan dan baru-baru ini di Iraq dalam perikatan menentang ISIS.

Encik Mark yang menyuarakan sokongan New Zealand kepada peranan Singapura sebagai pengerusi baru ASEAN turut mendedahkan bahawa beliau akan menghadiri Dialog Shangri-La di Singapura pada bulan Jun ini.  

- CNA/FA/im

Top