Images
  • mayflower main
    Nurfasha merupakan di antara enam yang lain menjadi kohort sulung diterima menyertai Darjah 1 di Sekolah Rendah Mayflower. (Gambar-gambar: Ummu Rabbisyfina/BERITAMediacorp)

Nurfasha antara 6 pelajar kurang daya pendengaran sertai Darjah 1 Sekolah Rendah Mayflower

SINGAPURA: Enam pelajar kurang daya pendengaran menjadi kohort sulung diterima menyertai Darjah 1 di Sekolah Rendah Mayflower, iaitu sekolah aliran utama yang pertama di Singapura yang mengambil pelajar sedemikian.

Usaha baru bercirikan inklusif itu - iaitu menggabungkan anak-anak dengan keperluan khas dengan pelajar biasa - diumumkan oleh Kementerian Pendidikan (MOE) pada tahun lalu.

Ia juga bermatlamat untuk membina keyakinan diri dan kemahiran sosial pelajar kurang daya pendengaran, apabila mereka berinteraksi dengan pelajar-pelajar lain.

BERITAMediacorp meninjau apakah ciri-ciri khas yang diperkenalkan sekolah tersebut dalam membantu pelajar kurang daya pendengaran.

PENGALAMAN IBU DENGAN ANAK KURANG DAYA PENDENGARAN

Apabila Cik Siti Nuraisyah mendapat tahu anaknya, Nurfasha Elaisyah dipilih memasuki Sekolah Rendah Mayflower, beliau gembira bercampur gementar.

Ini kerana anaknya merupakan satu daripada enam sahaja pelajar kurang daya pendengaran yang terpilih untuk memasuki sekolah tersebut.

"Saya rasa saya amat berbesar hati, anak saya dapat memasuki, dan terpilih untuk memasuki sekolah biasa, iaitu Sekolah Rendah Mayflower, saya rasa ia dapat membantu anak saya memperkembangkan lagi bakatnya, seperti kanak-kanak yang lain," kongsi Cik Siti kepada BERITAMediacorp.

Apabila ditanya apakah di antara cabaran yang dijangkakan apabila menghantarkan anak keduanya itu ke sekolah biasa, beliau berkata komunikasi anaknya bersama kanak-kanak yang mempunyai daya pendengaran normal mungkin di antara cabaran yang dilalui anaknya itu.

Namun perasaan khuatir Cik Siti itu hilang setelah beliau mendapati sekolah sudah membuat pelbagai persiapan penting.


(Pelajar-pelajar ini mempelajari kelas bahasa isyarat pada setiap hari selama setengah jam)

Persediaan yang dijalankan oleh Sekolah Rendah Mayflower termasuklah mempunyai guru khas bahasa isyarat bersama-sama dengan guru subjek utama, dalam setiap pelajaran. Guru bahasa isyarat juga ada dalam kelas Pendidikan Jasmani dan muzik.

"Sokongan daripada guru-guru khas, dapat membantu dia (Nurfasha) berkomunikasi dengan semua orang, bukan sahaja dengan bahasa isyarat, tapi dengan membantu dari aspek bahasa juga," kata Cik Siti lagi.


(Guru khas akan turut membimbing pelajar kurang daya pendengaran dalam kelas muzik bagi memastikan mereka tidak ketinggalan dengan pelajar yang lain)

TIDAK MENDENGAR TETAPI DAPAT IKUTI KELAS MUZIK

Walaupun keenam-enam pelajar yang dimasukkan ke Sekolah Rendah Mayflower sudah hilang 90% daripada daya pendengaran mereka, namun yang menariknya apabila pihak BERITAMediacorp mengunjungi mereka, kanak-kanak tersebut kelihatan dapat mengikuti kelas muzik tersebut seiring dengan pelajar-pelajar yang lain.

Ini kerana selain menggunakan kuasa visual untuk mengikut irama yang diajar, pelajar kurang daya pendengaran turut dapat merasakan rentak muzik dari tubuh badan mereka yang dapat merasakan getarannya menerusi lantai kayu.

Setiap guru yang mengajar pelajar kurang daya pendengaran turut dilengkapkan dengan sistem 'Frequency Moderator' atau FM, yang membantu menguatkan bunyi ke dalam peranti pendengaran.


PELAJAR KEPERLUAN KHAS DIBERI 2 PENDAMPING

Pengetua Sekolah Rendah Mayflower, Cik Lim Chua Siow Lim, berkata untuk memastikan pelajar kurang daya pendengaran dapat bergaul dan menyesuaikan diri dengan persekitaran yang baru, keenam-enam pelajar istimewa itu diberikan dua pelajar pendamping.

Para pelajar pendamping itu terlebih dahulu sudah melalui sesi latihan bahasa isyarat, seminggu sebelum kemasukan pelajar-pelajar berkenaan.

Pelajar pendamping itu akan menemani mereka sewaktu membeli makanan selama tiga bulan. Menurut Cik Lim lagi sekiranya para pelajar kurang daya pendengaran ini dapat berdikari dengan sendiri, sistem pendamping akan dihentikan.

Kaedah pendamping itu diharap membina kemahiran berinteraksi dan tahap keyakinan mereka.

Rakan sedarjah lain turut dilatih mempelajari bahasa isyarat untuk berinteraksi dengan lebih berkesan.

"Guru-guru secara mingguan mengajar para pelajar asas-asas bahasa isyarat pada setiap hari Jumaat. Mereka meluangkan masa mengajar pelajar mungkin dua atau tiga perkataan atau frasa tambahan.

"Kini anda dapat melihat bahawa kanak-kanak berkomunikasi seperti tiada halangan," ujar Pengetua Sekolah Rendah Mayflower itu.

Selain itu, prasarana visual juga akan dipasang pada sistem pengumuman, alat penggera kebakaran dan loceng di merata sekolah sebagai salah satu langkah keselamatan, seandainya berlaku situasi kecemasan. 

- BERITAMediacorp/ur

Top