Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Nilai Komanwel terletak pada 'kerjasama, semangat muhibah' yang perlu terus dipupuk

Menyentuh tentang Komanwel, sebahagian besar nilainya terletak pada agendanya dan apa yang dibincangkan, seperti perdagangan, keselamatan dan pembangunan mampan, kata Perdana Menteri Lee Hsien Loong semalam (20 Apr).

Anggaran Waktu Membaca:
Nilai Komanwel terletak pada 'kerjasama, semangat muhibah' yang perlu terus dipupuk

PM Lee semasa bercakap kepada media di CHOGM. (Gambar: MCI)

Diterbitkan : 21 Apr 2018 09:50AM Dikemas Kini : 21 Apr 2018 09:54AM

LONDON: Menyentuh tentang Komanwel, sebahagian besar nilainya terletak pada agendanya dan apa yang dibincangkan, seperti perdagangan, keselamatan dan pembangunan mampan, kata Perdana Menteri Lee Hsien Loong semalam (20 Apr).

Sungguhpun demikian, kerjasama dan semangat muhibah yang dinikmati membentuk "bahagian lain agenda" yang perlu terus dipupuk, tambah PM Lee.

Semasa bercakap dengan para wartawan Singapura di akhir Mesyuarat Ketua Pemerintah Komanwel (CHOGM) di London, PM Lee turut menekankan betapa pentingnya untuk negara-negara anggota Komanwel saling berbincang antara satu sama lain dan memahami perspektif dan masalah masing-masing.

Menurut PM Lee, terdapat semangat muhibah yang sungguh ketara bagi Singapura dalam Komanwel. Salah satu daripadanya, menurut beliau, adalah kerana Singapura bekerjasama dalam banyak projek bersama Komanwel.

"Kami mempunyai program latihan, di mana para pegawai datang ke Singapura dan meluangkan masa bersama kami, mengenali kami dan apabila mereka pulang ke negara mereka, mereka berkongsi apa yang mereka lihat dan cuba teroka idea kami," kata beliau.

Ia juga baik untuk Singapura kerana negara ini dilihat sebagai model bagi negara-negara lain, tambah beliau, dan juga kerana saiz negara ini.

"Kita semua adalah negara-negara kecil dan kita semua sedang mencarta hala tuju dalam dunia yang mencabar ini," tambah beliau. "Dengan keadaan seperti ini, saya percaya hanya dengan berbincang antara satu sama lain dan berkongsi nota semasa waktu makan, atau berbual di luar mesyuarat adalah sesuatu yang amat berharga."

Komanwel adalah sebuah persatuan sukarela yang terdiri daripada 53 negara merdeka, yang hampir kesemuanya pernah dijajah oleh Britain.Sebanyak 31 daripada 53 negara Komanwel adalah negara-negara kecil.

"Ini satu perkara yang sangat berharga," kata PM Lee. "Dengan menghadiri mesyuarat Komanwel, kita berpeluang untuk berbincang dengan mereka, memperbaharui hubungan dengan mereka dan mengukuhkan kedudukan kita di dunia."

KOMANWEL TETAP PENTING: PM THERESA MAY

Para pemimpin di CHOGM bersepakat mengenai isu-isu global penting semasa mesyuarat sepanjang seminggu itu berakhir semalam (20 Apr), menurut Komanwel dalam satu kenyataan media. Di sidang media terakhir CHOGM, Perdana Menteri Britain Theresa May turut menekankan peranan penting Komanwel.

"Bagi cabaran-cabaran global, keluasan Komanwel, yang menjangkaui enam benua dan sepertiga penduduk dunia, ia memberikan perspektif yang unik dalam membantu menghasilkan huraian yang diperlukan," kata beliau.

Setiausaha Agung Komanwel Patricia Scotland turut menarik perhatian kepada komitmen baru negara-negara anggota pertubuhan tersebut, termasuk menjaga kestabilan kewangan.

Kesemua 53 negara Komanwel bersetuju untuk menyokong Piagam Biru Komanwel untuk melindungi lautan daripada perubahan iklim, pencemaran dan tangkapan ikan berlebihan.

Para pemimpin bersetuju untuk bekerja rapat bagi menilai dan mengukuhkan rangka kerja keselamatan siber dan mekanisme respons, dengan mematuhi Perisytiharan Siber Komanwel.

Mereka turut komited untuk meningkatkan perdagangan antara Komanwel kepada AS$2 trilion menjelang 2030, dan memperluaskan lagi pelaburan silang Komanwel.

Para pemimpun turut memutuskan bahawa Putera Charles akan menjadi ketua Komanwel seterusnya. Ibu beliau, Ratu Elizabeth, sudah menerajui Komanwel selama 66 tahun. Rwanda akan menjadi tuan rumah CHOGM akan datang yang akan diadakan pada 2020. 

Sumber : CNA/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan