Images
  • asean festival
    Acara 'Experience ASEAN' bermula hari ini pada 6.00 petang hingga 14 Januari di kawasan Ficus Green. (Gambar: MFA)

Nikmati sajian ASEAN di pesta hujung minggu Taman Bishan-AMK

SINGAPURA: Jika anda mahu merasakan makanan di seluruh Asia Tenggara, anda tidak perlu menempah tiket penerbangan!

Pada hujung minggu ini, anda boleh singgah saja di Taman Bishan-Ang Mo Kio untuk menikmati pengalaman tersebut.

Pesta di kawasan kejiranan itu adalah bagi merasmikan jawatan pengerusi yang digalas Singapura bagi Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) tahun ini.

Dianjurkan Kementerian Ehwal Luar (MFA), acara 'Experience ASEAN' bermula hari ini pada 6.00 petang hingga 14 Januari di kawasan Ficus Green. Pada hujung minggu pula, ia dibuka kepada orang ramai bermula 11.00 pagi.

"MFA berbesar hati dapat menganjurkan Experience ASEAN, untuk membawa ASEAN lebih dekat lagi dengan rakyat Singapura. ASEAN adalah tentang penduduknya dan kepelbagaiannya. Ia juga tentang meraikan sikap inklusif, iaitu sebabnya mengapa MFA menganjurkan acara ini di kawasan kejiranan," kata Jonathan Chen, wakil jawatankuasa penganjur acara tersebut.

Acara berkenaan juga menampilkan bengkel dan permainan, beg cenderahati bagi pengunjung dan ciri landskap dengan tulisan "We Are ASEAN".

Salah satu tarikan utama acara tersebut adalah pelbagai gerai makanan dan seni kraf tangan yang menawarkan semua jenis makanan, termasuk dari rantau ini.

Sebuah bahagian di pesta itu juga menampilkan gerai-gerai oleh kedutaan dan suruhanjaya tinggi negara anggota ASEAN. Antara lain, gerai Brunei, Kemboja dan Indonesia akan menawarkan makanan yang dibuat sendiri oleh para diplomat dan keluarga mereka. Kedutaan negara lain, seperti Laos dan Myanmar pula, akan bekerjasama dengan restoran yang menyediakan hidangan negara mereka.

Selain gerai kedutaan, beberapa hidangan dari rantau ini juga boleh dinikmati di gerai-gerai lain, termasuk pisang keju dan pisang goreng dengan sambal kicap yang masing-masing terkenal di Indonesia dan Malaysia.

Hidangan ini juga akan dijual di gerai The Original Pisang Keju oleh rakyat Singapura Lynnda Hashim, juga seorang peminat hidangan pisang Indonesia itu.

Seluruh acara ini akan dirasmikan pada petang Jumaat dengan persembahan muzik dan tarian oleh sekolah-sekolah berbeza dan sebuah persembahan lagu tema ASEAN 'Rise' oleh Dick Lee.

Perdana Menteri Lee Hsien Loong dan para menteri kabinet juga akan hadir sebagai tetamu terhormat bagi malam pembukaan itu.

- CNA/IM/im

Top