Images
  • ng eng hen (1)
    Gambar fail Dr Ng Eng Hen. (Gambar: Koh Mui Fong/TODAY)

Ng Eng Hen bakal sampaikan kenyataan menteri di parlimen berhubung kematian semasa latihan NS

SINGAPURA: Menteri Pertahanan Dr Ng Eng Hen akan menyampaikan kenyataan menteri di parlimen berhubung kematian semasa menjalani latihan Perkhidmatan Negara pada Khamis (17 Mei), menurut kertas arahan Parlimen.

Ini menyusuli kematian anggota Perkhidmatan Negara (NSF) sepenuh masa (NSF) berusia 19 tahun bulan lalu selepas beliau dimasukkan ke hospital dengan tanda-tanda kecederaan haba, serta insiden lemas NSF sepenuh masa Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) pada Ahad.

Dalam insiden bulan lalu, NSF sepenuh masa Dave Lee, askar dari Batalion Pertama Pengawal Singapura, dimasukkan ke hospital selepas menamatkan latihan berbaris pantas sejauh 8 kilometer, apabila beliau menunjukkan tanda-tanda kecederaan akibat kepanasan atau haba. Beliau meninggal dunia dua minggu kemudian.

Panglima Tentera Brigadier Jeneral Goh Si Hou memberi jaminan kepada askar bahawa "siasatan menyeluruh" akan dijalankan terhadap kes tersebut.

Dalam insiden berasingan, Korporal NSF SCDF Kok Yuen Chin meninggal dunia pada Ahad selepas dijumpai terbujur di bahagian bawah perigi pam balai bomba sedalam 12 meter, yang dipenuhi air.

Beliau memasuki perigi itu sebagai sebahagian daripada sambutan tarikh bersedia beroperasi (ORD) yang hampir tiba.

Insiden tersebut menumpukan perhatian kepada kegiatan mendera untuk bersuka-suka atau "ragging" dalam pasukan berkenaan. Menteri Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam berikrar untuk menyiasat punca sebenar insiden tersebut, sambil berkata perbuatan itu "pencabulan jelas peraturan SCDF".

Seorang lagi NSF, Sarjan Ke-3 (3SG) Chan Hiang Cheng Gavin, meninggal dunia selepas terlibat dalam nahas kenderaan di Kawasan Latihan Shoalwater Bay di Queensland, Australia pada September lalu.

- CNA/IM/im

Top