Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

NDR 2018: CHAS diperluas kepada semua warga S'pura yang sakit kronik

Skim Bantuan Kesihatan Masyarakat (CHAS) akan diluaskan kepada semua warga Singapura yang menghidap penyakit kronik, tanpa mengambil kira pendapatan mereka.

Anggaran Waktu Membaca:
NDR 2018: CHAS diperluas kepada semua warga S'pura yang sakit kronik

Para pesakit di sebuah poliklinik (Gambar: Mediacorp)

Diterbitkan : 19 Aug 2018 11:55PM Dikemas Kini : 20 Aug 2018 12:05AM

SINGAPURA: Skim Bantuan Kesihatan Masyarakat (CHAS) akan diluaskan kepada semua warga Singapura yang menghidap penyakit kronik, tanpa mengambil kira pendapatan mereka.

Demikian diumumkan Perdana Menteri Lee Hsien Loong dalam ucapan beliau di Rapat Umum Hari Kebangsaan pada Ahad (19 Ogos).

PM Lee berkata Kementerian Kesihatan (MOH) akan memberikan lebih banyak butiran mengenainya pada satu tarikh kelak. Manfaat skim tersebut tambah beliau akan diperuntukkan mengikut tahap pendapatan.

"Kita mahukan semua warga Singapura mendapat akses kepada khidmat penjagaan kesihatan yang termampu dan bermutu tinggi," kata Encik Lee.

"Tidak mampu membayar bukan alasan bagi sesiapa pun untuk tidak mendapat khidmat penjagaan kesihatan."

PM Lee berkata dengan penduduk Singapura yang semakin menua, lebih ramai orang akan mempunyai penyakit kronik seperti kencing manis atau tekanan darah tinggi.

Semput, demensia, osteoporosis dan sakit Parkinson's adalah antara contoh penyakit kronik yang disenaraikan MOH. Terdapat 20 penyakit yang disenaraikan di bawah Program Pengurusan Penyakit Kronik.

Pada Rapat Umum Hari Kebangsaan tahun lalu, Encik Lee menekankan pentingnya menangani penyakit kencing manis di negara ini, sambil menarik perhatian bahawa seorang daripada setiap sembilan warga Singapura menghidap penyakit tersebut.

CHAS GALAKKAN RAWATAN AWAL

"Namun kita boleh terus menjalani kehidupan yang baik jika kita dapat menangani penyakit-penyakit ini - dengan menjaga diri dengan baik, amalkan pemakanan sihat, ambil ubat secara tetap dan buat kunjungan susulan dengan doktor keluarga," kata beliau.

"Saya rasa kita semua menghargai bantuan bagi bil perubatan yang kerap bagi penyakit kronik sedemikian."

Buat masa ini, CHAS menawarkan subsidi kepada warga Singapura dari keluarga berpendapatan rendah dan sederhana, serta Generasi Perintis untuk membantu membayar kos jagaan perubatan dan pergigian di klinik-klinik yang mengambil bahagian dalam skim tersebut.

Skim yang diperkenalkan pada 2012 itu, kata PM Lee, berjalan dengan lancar.Tambah beliau, AP Jalan Besar Lily Neo, yang juga seorang doktor, melihat lebih ramai warga senja berkunjung ke klinik beliau sejak skim itu diperkenalkan.

"Menurut beliau warga emas kita akan hanya berjumpa dengan doktor apabila sudah tidak tahan lagi (sakit)," kata Perdana Menteri.

"Namun dengan adanya CHAS, mereka datang berjumpanya lebih awal dan beliau kini dapat merawat mereka sebelum penyakit mereka bertambah teruk."

LEBIH BANYAK POLIKLINIK DIBINA

PM Lee juga mengumumkan lebih banyak poliklinik baru yang akan dibina di merata negara.

Penduduk Sembawang, Eunos, Kallang dan Bukit Panjang akan mempunyai poliklinik baru menjelang 2020 manakala di Nee Soon Central serta Tampines North pula menjelang 2023.

“Kita akan memastikan khidmat jagaan kesihatan bermutu tinggi kekal dalam kemampuan ramai dan mudah diakses di merata Singapura," kata beliau.

Pada Jun, PM Lee merasmikan Poliklinik Ang Mo Kio, yang beliau sifatkan sebagai "lebih besar, lebih baik dengan khidmat dipertingkat".

"Bahkan, Poliklinik Ang Mo Kio begitu popular sehingga kakitangannya memberitahu saya mereka mendapat kunjungan daripada 'pelancong perubatan'," kata beliau.

"Bukan dari luar negara, tapi dari Yishun, malah juga Bedok dan Jurong."

Encik Lee menambah: “Semua dipersilakan datang ke Ang Mo Kio, tapi anda sebenarnya tidak perlu risau, kerana lebih banyak poliklinik akan dibina di serata Singapura.”

Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan