Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

NDR 2018: 9 mesej utama yang perlu anda tahu

Perdana Menteri Lee Hsien Loong mendedahkan rancangan untuk menaik taraf dan membangunkan semula perumahan awam Singapura. 

Anggaran Waktu Membaca:
NDR 2018: 9 mesej utama yang perlu anda tahu

PM Lee Hsien Loong di Rapat Hari Kebangsaan 2018. (Gambar: TODAY/Jason Quah)

Diterbitkan : 19 Aug 2018 11:11PM Dikemas Kini : 20 Aug 2018 12:32AM

SINGAPURA: Perdana Menteri Lee Hsien Loong mendedahkan rancangan untuk menaik taraf dan membangunkan semula perumahan awam Singapura dan mengambil langkah-langkah untuk mengawal kos jagaan kesihatan semasa menyampaikan ucapannya di Rapat Umum Hari Kebangsaan malam ini (19 Ogos).

Selain menyentuh tentang kos sara hidup, PM Lee menumpukan sebahagian besar ucapannya kepada kebimbangan terhadap perumahan dan mendedahkan dua skim utama untuk memperbaharui flat-flat HDB.

Beliau juga mengumumkan perubahan-perubahan besar kepada pembiayaan jagaan kesihatan, iaitu pakej subsidi baru jagaan kesihatan bagi rakyat Singapura yang dilahirkan pada tahun 1950an serta peluasan Skim Bantuan Kesihatan Masyarakat (CHAS).

Inilah sembilan mesej utama Rapat Umum Hari Kebangsaan 2018:

1. SKIM PEMBANGUNAN SEMULA AWAL SECARA SUKARELA (VERS)

Sebagai menangani kebimbangan rakyat Singapura tentang tempoh pajakan 99 tahun yang akan tamat dalam masa beberapa dekad lagi, PM Lee mengumumkan satu skim baru untuk membangunkan semula flat-flat HDB. Ini akan dilaksanakan dalam tempoh 20 tahun.

Pemerintah merancang untuk mula membangunkan semula estet-estet lama dan akan melakukannya apabila flat-flat tersebut berusia sekitar 70 tahun, kata PM Lee.

Ini akan dilakukan secara bertahap-tahap sepanjang tempoh 20 hingga 30 tahun supaya bandar-bandar lama boleh disuntik kesegaran menerusi cara yang "teratur".

Di bawah Skim Pembangunan Semula Awal Secara Sukarela (VERS), penduduk di sesebuah kawasan perlu memberikan sokongan mereka untuk membolehkan pihak berkuasa mengambil semula flat.

Mereka yang melakukan sedemikian akan menerima pampasan tetapi jumlahnya kurang daripada yang diterima di bawah Skim Pembangunan Semula Yang Terpilih Secara Berkelompok (SERS).

PM Lee juga menjelaskan secara terperinci sebab-sebab tempoh pajakan flat HDB tidak sepatutnya melebihi 99 tahun.

2. PROGRAM PENINGKATAN RUMAH (HIP)

Gambar flat HDB. (Gambar: TODAY)

Gambar flat HDB. (Gambar: TODAY)

Lebih banyak flat HDB akan dinaik taraf sedang pemerintah memperluaskan Program Peningkatan Rumah (HIP) kepada flat-flat yang dibina dari tahun 1987 hingga 1997.

Program itu pada awalnya hanya meliputi flat yang dibina sehingga tahun 1986.

Ini akan memanfaatkan lagi 230,000 flat, termasuk estet-estet seperti Pasir Ris, Yishun, Tampines dan Jurong, kata PM Lee.

HDB juga akan menjalankan pusingan kedua naik taraf bagi flat-flat lama sekitar 60 hingga 70 tahun di bawah skim HIP II, yang akan bermula dalam tempoh 10 tahun.

3. PAKEJ GENERASI MERDEKA

Gambar fail warga tua di Singapura. (Gambar: Xabryna Kek)

Gambar fail warga tua di Singapura. (Gambar: Xabryna Kek)

Pemerintah akan melakar Pakej Generasi Merdeka yang akan membantu rakyat Singapura yang dilahirkan pada tahun 1950an dari segi kos perubatan mereka.

Pakej itu akan meliputi subsidi-subsidi pesakit luar, tokokan Medisave, subsidi premium MediShield Hayat dan agihan bagi jagaan jangka panjang bagi kira-kira 500,000 rakyat Singapura.

Manfaatnya tidak seluas Pakej Generasi Perintis, yang dilancarkan empat tahun lalu, kata PM Lee.

Pakej Merdeka itu akan membantu meredakan sedikit kebimbangan terhadap kos jagaan kesihatan bagi rakyat Singapura yang sekarang berusia dalam lingkungan 60-an tahun, tambah beliau.

4. LEBIH BANYAK MANFAAT JAGAAN KESIHATAN

Program subsidi perubatan CHAS akan diluaskan kepada semua rakyat Singapura yang menghidap penyakit-penyakit kronik tanpa mengira pendapatan mereka, kata PM Lee.

Sekalipun demikian, manfaatnya akan terus bergantung kepada pendapatan.

Buat masa ini, skim tersebut menyediakan subsidi-subsidi kepada generasi perintis, keluarga berpendapatan rendah dan golongan pertengahan bagi jagaan perubatan dan pergigian pesakit luar.

Kementerian Kesihatan akan mengumumkan perinciannya pada satu tarikh yang diumumkan kelak.

5. LEBIH BANYAK POLIKLINIK

Gambar fail poliklinik.

Lebih banyak poliklinik akan dibina di Sembawang, Eunos, Kallang dan Bukit Panjang menjelang tahun 2020; di Tampines North dan Nee Soon Central menjelang 2023.

"Sebahagiannya adalah untuk mempertingkat (poliklinik) sedia ada; kami akan menawarkan khidmat yang lebih dimampui, mudah diperolehi dan bermutu tinggi di seluruh Singapura," janji PM Lee.

6. GEYLANG SERAI

Ilustrasi pelukis bagi bahagian luar Pusat Sivik Wisma Geylang Serai. (Sumber: Persatuan Rakyat)

Wisma Geylang Serai. (Sumber: Persatuan Rakyat)

Wisma Geylang Serai akan menjadi pusat bagi kegiatan-kegiatan Melayu.

Menteri Negara Kanan Pertahanan merangkap Ehwal Luar Dr Maliki Osman dilantik untuk menerajui projek bagi menyemarakkan dan mengukuhkan identiti budaya Geylang Serai.

Ini termasuk kawasan dari Tanjong Katong Complex sehingga Kelab Masyarakat Kampong Ubi.

"Kita juga boleh mencantikkan dan menyepadukan nyalaan lampu bangunan di sekitarnya pada waktu malam," kata PM Lee.

Beliau menambah simpang jalan di hadapan Wisma Geylang Serai akan dijadikan mercu tanda supaya para pengunjung lebih teruja apabila tiba di sana.

Dr Maliki akan mendampingi masyarakat Melayu dan rakyat Singapura yang lain untuk mendapatkan idea dan memberikan saranan-saranan kepada Pemerintah, kata PM Lee melalui ucapannya dalam Bahasa Melayu.

7. PM LEE 'SOKONG SEPENUHNYA' M3 & MASAGOS

PM Lee juga melahirkan sokongan penuh kepada Menteri Sekitaran dan Sumber Air, Masagos Zulkifli dan pelan M3 (M kuasa tiga) merangkumi MESRA, MUIS, MENDAKI.

Menurutnya, sumber-sumber yang disatukan dan kerjasama antara pemerintah dan banda-badan Melayu/Islam yang lain, membuka peluang untuk lebih mampu menangani cabaran masyarakat.

Ini termasuk memastikan semua kanak-kanak mengikuti prasekolah, memperkasa dan membimbing belia serta membantu golongan yang ketinggalan kerana dadah dan isu-isu sosial.

Beliau memuji kerjasama ketiga-tiga pihak itu sebagai "sangat baik" dan berharap lebih ramai orang Melayu akan menyumbang kepada masyarakat menerusi M kuasa tiga itu.

8. KOS SARA HIDUP

Pemerintah akan memastikan kos-kos utama kehidupan - perumahan HDB, jagaan kesihatan dan pendidikan terus dimampui, kata PM Lee dalam ucapan Bahasa Mandarin.

Ia juga akan membantu mengawal kos sara hidup dengan membangunkan lebih banyak pusat penjaja.

Beliau merujuk kepada perubahan-perubahan gaya hidup, seperti penggunaan telefon bijak yang semakin meningkat, makan di luar dan mutu kehidupan lebih tinggi secara amnya menyumbang kepada tekanan-tekanan berkaitan kos sara hidup.

"Walaupun pemerintah memainkan peranannya untuk meredakan kebimbangan rakyat tentang kos sara hidup, setiap rakyat juga bertanggungjawab untuk 'menjaga perbelanjaan diri sendiri' - menjimatkan air, menjimatkan elektrik dan dalam pada itu meninjau-ninjau bagi mendapatkan harga terbaik dan menjadi pengguna yang berhemah," kata beliau.

9. BUDAYA PENJAJA

Singapura akan mencalonkan budaya penjaja di negara ini sebagai Warisan Budaya Tidak Ternilai UNESCO.

PM Lee menyifatkan pusat-pusat penjaja sebagai "ruang makan masyarakat" bagi rakyat Singapura. Beliau juga merujuk makanan-makanan di pusat-pusat penjaja sebagai "ubat terbaik jika merindui tanah air".

"Pengiktirafan UNESCO akan membantu melindungi dan menyerlahkan budaya unik ini untuk generasi seterusnya," ujar beliau. 

Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan