Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

NDP 2018 satu kejayaan hasil titik peluh 2,600 peserta

Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) tahun ini tidak kurang meriahnya berbanding sambutan-sambutan yang lalu dengan menampilkan beberapa pertunjukan baru lagi gah.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) tahun ini tidak kurang meriahnya berbanding sambutan-sambutan yang lalu dengan menampilkan beberapa pertunjukan baru lagi gah.

Antara persembahan awal yang mempesonakan para penonton adalah formasi tatu ketenteraan oleh 560 peserta iaitu yang terbesar dalam sejarah NDP.

Dijayakan pancaragam sekolah dan skuad perbarisan jitu Pasukan Kadet Kebangsaan (NCC), ia turut menampilkan 18 pelajar dari sekolah pendidikan khas buat julung-julung kalinya.

Orang ramai memberikan tepukan ghairah melihat mereka membuat pelbagai tatu seperti bentuk hati iaitu sejajar dengan ciri inklusif dalam kalangan peserta yang terlibat.

Ia ibarat satu lambang bahawa setiap rakyat Singapura, tidak kira latar belakang mereka, adalah nadi yang menggerakkan kemajuan negara.

Pertunjukan tatu itu disusuli acara perbarisan yang menampilkan 33 kontinjen berbeza. Yang istimewanya kali ini, pemeriksaan kontinjen dibuat oleh Puan Halimah Yacob dalam penampilan sulungnya ke NDP selaku Presiden Singapura yang kelapan.

(Gambar: Hani Amin/CNA)

(Photo: Hani Amin)

Pemeriksaan kontinjen yang dilakukan Puan Halimah awal tadi (9 Ogos) turut diiringi dengan 21 das tembakan meriam penghormatan.

Suasana di Pentas Terapung Marina Bay menjadi lebih hangat dengan kemunculan koir gabungan sekolah-sekolah yang membuat persembahan. Ramai yang ikut sama menyanyi dengan penuh bersemangat lagu-lagu ikonik negara seperti Count On Me Singapore, Chan Mali Chan, Munnaeru Vaalibaa dan lagu Pertahanan Mutlak, There's A Part For Everyone.

Persembahan koir kembali menyerikan sambutan Hari Kebangsaan lagi setelah menyepi selama lima tahun.

Yang pasti, keseluruhan segmen Perbarisan dan Upacara dalam NDP tidak akan berjaya tanpa titik peluh 2,600 peserta.

Antara peserta NDP. (Gambar: NDPeeps/ Facebook)

(Gambar: NDPeeps/ Facebook)

Ia juga persembahan yang paling besar pernah diadakan di Pentas Terapung Marina Bay bagi sambutan ulang tahun ke-53 Singapura. 

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan