Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Muka anak lecur dek minyak panas: Bagaimana ibu ini bangkit meski dicemuh

Walaupun berkali-kali dicemuh, wanita ini tetap tabah menjalankan kewajipannya sebagai seorang ibu.

Anggaran Waktu Membaca:
Muka anak lecur dek minyak panas: Bagaimana ibu ini bangkit meski dicemuh

Aafa Zuhayr, 3 tahun, bersama ibunya, Cik Mashitah Abdullah. (Gambar: Mashitah Abdullah)

BERITAMediacorp: Walaupun berkali-kali dicemuh, wanita ini tetap tabah menjalankan kewajipannya sebagai seorang ibu. Meskipun masih berasa terpukul oleh peristiwa pahit dua tahun lalu, Cik Mashitah Abdullah tetap mengumpulkan segala kekuatan untuk terus memulihkan anaknya yang mengalami kelecuran darjah kedua di wajah dan tubuhnya.

Yang pasti, sikap positif yang disemai ke dalam dirinya menjadi pendorong utama bagi ibu kepada Aafa Zuhayr, 3 tahun, untuk cekal menempuhi dugaan.

"Aafa adalah satu-satunya darah daging saya yang dapat saya banggakan. Oleh itu, saya hanya memberitahu diri saya setiap hari bahawa dia akan menjadi 'okay'.

"Saya banyak menerima kata-kata seperti “tak jaga anak”, “kesian muka anak dah cantik, (tapi) cacat” dan banyak lagi. Tetapi tidak mengapa, saya tahu kulitnya akan kembali normal.

"Kami kini berada dalam tahun 2017 di mana wujudnya teknologi atau pembedahan plastik yang dapat menukar kecelaan kepada kesempurnaan. Jadi tiada yang saya takutkan, kecuali untuk membiayai kos pemulihannya, insya-Allah," kata Cik Mashitah.

(Gambar: Mashitah Abdullah)

BAGAIMANA KENANGAN PAHIT ITU BERLAKU

Peristiwa pahit itu berlaku pada bulan Ramadan dua tahun lalu apabila minyak panas dalam kuali yang mahu disejukkan, tersimbah ke wajah dan tubuh Aafa. Meskipun Cik Mashitah berada di dapur ketika itu, beliau tidak menyedari kehadiran Aafa sehingga beliau terdengar bunyi kuali yang jatuh dan tangisan kuat Aafa.

"Ia berlaku dengan terlalu pantas dan saya masih cuba untuk mengatasi rasa takut untuk masak di rumah. Sejak itu, segala yang berbahaya membuat saya paranoid. Kadangkala, saya masih merasakan bahawa saya seorang ibu yang tidak dapat melindungi anaknya sendiri," luahnya sambil menyingkap titik hitam dalam hidupnya itu.

Menurut Cik Mashitah, doktor juga terpaksa menjalankan pembedahan kecemasan ke atas Aafa bagi bantuan pernafasan sejurus selepas itu.

"Saya menyaksikan betapa lecurnya kulitnya dan bagaimana dia berlumuran darah. Sejujurnya, hati saya benar-benar hancur," katanya.

(Gambar: Mashitah Abdullah)

AAFA SEORANG ‘PEJUANG’, KINI RAIH RAMAI 'PEMINAT'

Peristiwa pahit itu menyebabkan Aafa terperuk menjadi seseorang yang pendiam. Dia malah berasa trauma dengan doktor dan jururawat.

Bagaimanapun tambah Cik Mashitah, Aafa jelas mempamerkan semangat waja dan mengagumkan orang ramai dengan kekuatan dan keupayaan untuk kembali senyum dan berlari.

Bahkan, ramai juga yang mengikuti perkembangan Aafa dan kini dia sudahpun meraih ramai 'rakan-rakan segera' yang menyayanginya pada usia semuda ini, kata beliau lagi.

"Doa dan sokongan bagi Aafa melimpah-ruah hingga saya tidak dapat berhenti mengucapkan terima kasih kepada mereka yang menemaninya dalam perjalanannya ini," kata Cik Mashitah.

Doktor penasihat bagi program radio Gold 905, Dr Chiam Chiak Teng, turut mengundang Aafa ke Pusat Perubatannya bersama beberapa doktor lain dari bidang kepakaran yang berbeza bagi membantu Aafa sembuh.

"Malah, terima kasih juga kepada pihak media kerana tanpa anda, Aafa mungkin masih bertarung nyawa. Saya tidak sabar untuk dia dapat berkomunikasi suatu hari nanti dan melaungkan penghargaannya kepada dunia atas sokongan yang diberikan buat dirinya selama ini," jelas seorang ibu yang jelas ada nada kelegaan di situ.

(Gambar: Mashitah Abdullah)

TUBUHKAN LOVERA SG BANTU BIAYAI KOS PERUBATAN AAFA

Memandangkan kos bagi pembedahan estetik agak mahal dan akaun Medisave kedua-dua ibu bapa Aafa sudah digunakan bagi membiayai kos perubatannya, Cik Mashitah bertekad untuk membuka perniagaan demi anaknya:

"Saya mempunyai tanggungjawab yang besar untuk menampung kebajikan anak saya. Dan saya membuka bisnes itu dengan penuh kesungguhan dan fokus untuk mengembangkannya demi keperluan kos perubatannya."

Lovera Sg by AZ (Aafa Zuhayr) GLOBAL ENTERPRISE kemudian dilancarkan dan kini sudahpun mempunyai 30 ejen yang membantu memasarkan dan menjual produk Lovera kepada rakyat Singapura lain.

"Kami bermula dengan hanya satu produk, Magic Jelly, yang saya jumpa ketika membuat kajian tentang produk yang sesuai bagi kulit sensitif Aafa. Ia membantu meredakan kulit terbakar dan mengandungi bahan-bahan seperti aloe vera dan timun. Tetapi Alhamdulillah, setelah lima tahun, rangkaian produk Lovera sudah berkembang bagi memenuhi permintaan belia, dewasa dan bayi," kata Cik Mashitah.

"Meskipun sesetengah ejen saya mempunyai kerja tetap, mereka ikhlas untuk terus menjual produk-produk itu setiap bulan - hanya kerana mahu membantu Aafa. Ia benar-benar membuat saya rasa terharu."

(Gambar: Mashitah Abdullah)

MAHU TUBUHKAN KUMPULAN SOKONGAN BANTU IBU BAPA LAIN

Yang pasti, Cik Mashitah berharap dapat terus kekal tabah dalam mengharungi segala cabaran demi melihat anaknya membesar.

"Apabila saya berasa lelah, saya ingatkan diri saya sekali lagi. Aafa perlukan saya. Saya sudah berjanji kepadanya apabila dia dalam keadaan koma di ICU yang saya akan melakukan segalanya untuknya, dan insya-Allah saya akan melakukannya," kongsi beliau tentang ikrarnya sebagai seorang ibu kepada anaknya. Ikrar yang lebih bermakna lagi sempena Hari Ibu hari ini. Kini, beliau juga seolah-olah menjadi ‘ibu’ kepada mangsa-mangsa lain.

Menurut Cik Mashitah, beliau turut menerima pertanyaan atau panggilan daripada para ibu pada 2.00 atau 3.00 pagi yang menangis dan mengadu tentang bayi mereka yang kelecuran. Namun, beliau tetap menyuntikkan semangat positif dan memberi jaminan kepada mereka.

Selain sentiasa menjadi tempat bergantung bagi para ibu yang mengalami pengalaman serupa, Cik Mashitah juga berkongsi berhasrat menubuhkan kumpulan sokongan kepada para ibu bapa yang mempunyai bayi kelecuran:

"Kepada para ibu yang sedang menghadapi cabaran dengan anak mereka, menjadi seorang ibu itu bukan sahaja tentang mempunyai bayi yang sihat dan comel. Kita harus bersyukur kerana kita dipilih untuk menjalani pengalaman unik ini. Kekal positif dan menangislah jika perlu, agar kita dapat bangkit semula. Yang pasti, anak-anak perlukan kita untuk mengharungi dunia ini bersama mereka." Begitulah seruan seorang ibu bernama Mashitah Abdullah, sempena Hari Ibu ini.

Untuk semua ibu, Selamat Menyambut Hari Ibu. 

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan