Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

MUIS terima pentauliahan antarabangsa - ISO 17065 bagi pensijilan halal

Syarikat-syarikat Singapura yang mahu menembusi pasaran antarabangsa akan dapat menikmati akses lebih luas dan pantas, bagi produk halal masing-masing.

Anggaran Waktu Membaca:
MUIS terima pentauliahan antarabangsa - ISO 17065 bagi pensijilan halal

Pengerusi Majlis Pentauliahan Singapura (SAC) Renny Yeo menyampaikan plak pentauliahan kepada Timbalan Ketua Eksekutif MUIS, Dr Albakri Ahmad. (Gambar: SAC)

SINGAPURA: Syarikat-syarikat Singapura yang mahu menembusi pasaran antarabangsa akan dapat menikmati akses lebih luas dan pantas, bagi produk halal masing-masing. Ini selepas Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) menerima sijil ISO 17065 (Piawaian bagi Pertubuhan Antarabangsa).

Ini merupakan pentauliahan terbaru yang diterima badan penguasa agama itu.

ISO 17065 adalah piawaian antarabangsa berhubung penilaian pematuhan badan-badan yang mengesahkan produk-produk, proses dan khidmat.

Pengerusi Majlis Pentauliahan Singapura (SAC) Renny Yeo menyampaikan plak pentauliahan itu kepada Timbalan Ketua Eksekutif MUIS, Dr Albakri Ahmad, semasa acara Hari Pelanggan SAC 2018 pada bulan lalu.

Pentauliahan terbaru itu mengesahkan lagi keutuhan dan keupayaan teknikal MUIS dalam Pensijilan Produk Halal. Secara amnya, MUIS sudahpun menyaksikan peningkatan 10 peratus setiap tahun pada jumlah permohonan bagi pensijilan halal.

Pada 2017, MUIS mengesahkan kehalalan hampir 5,000 premis dan 55,000 jenis produk yang dibuat di Singapura. Produk-produk itu termasuklah produk-produk yang sedia dimakan dan juga pelbagai sos.

Bagi tujuan mengeksport, produk-produk yang disahkan halal oleh MUIS diterima oleh pasaran-pasaran di merata dunia. Ini termasuk Brunei, Indonesia, Malaysia, Australia, Eropah, Afrika Selatan dan Amerika Syarikat.

Pengarah Pembangunan Industri dan Dasar Aset MUIS, Dewi Hartaty Suratty, berkata: "Dengan pentaulihan ini, kami berharap syarikat-syarikat Singapura yang menembusi pasaran antarabangsa akan lebih bersaing dan mempunyai lebih banyak akses kepada pasaran bagi produk Halal mereka.

"Bagi para pelanggan pula, mereka dijamin bahawa proses pensijilan Halal oleh MUIS dijalankan secara cekap, adil dan boleh diyakini."

Mulai 15 Oktober 2018, syarikat-syarikat boleh mendaftar diri serta menguruskan permohonan dan pensijilan Halal MUIS menerusi portal LicenseOne. Di bawah Akta Pentadbiran Hukum Islam (AMLA), MUIS adalah satu-satunya badan yang diberi kuasa perundangan untuk mengeluarkan sijil Halal di Singapura.  

Sumber : BERITA Mediacorp/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan