Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

MUIS keluarkan irsyad tentang penetapan Hari Raya Aidiladha, Hari Arafah bagi S'pura

MUIS mengeluarkan irsyad atau panduan menyentuh persoalan sama ada puasa hari Arafah bagi rakyat tempatan disunatkan mengikut tarikh 9 haribulan Zulhijjah Singapura atau mengikut waktu wukuf jemaah haji di Arafah, Arab Saudi.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 19 Aug 2018 04:17PM Dikemas Kini : 19 Aug 2018 11:39PM

SINGAPURA: Kadangkala, penetapan tarikh menyambut Hari Raya Aidiladha dan hari wukuf di Arafah bagi Singapura berbeza dari Arab Saudi.

Ini menimbulkan persoalan sama ada puasa hari Arafah bagi rakyat tempatan disunatkan mengikut tarikh 9 haribulan Zulhijjah Singapura atau mengikut waktu wukuf jemaah haji di Arafah, Arab Saudi.

Bagi menjelaskan hal itu, MUIS mengeluarkan irsyad atau panduan bahawa setiap negara tertakluk kepada penentuan anak bulan di kawasan mereka dan bukan berdasarkan anak bulan di Makkah.

Kenyataan dari Pejabat Mufti itu menyatakan, ketetapan awal bulan Hijriah serta Hari Raya Aidiladha merupakan persoalan yang berhubung kait dengan agama dan amal ibadah orang Islam.

Semua amal ibadah termasuk waktu solat akan berlainan dan mempunyai waktu masing-masing mengikut kedudukan setiap negara dengan masanya.

Penetapan awal bulan Hijriah pula perlu mengikuti anak bulan di ufuk setelah berlalu bulan yang terdahulu sebanyak 29 hari.

Jika tidak kelihatan anak bulan pada malam ke-29, maka bulan yang terdahulu digenapkan kepada 30 hari dan hari berikutnya dianggap sebagai satu haribulan bagi bulan yang seterusnya.

Di Singapura dan rantau Asia Tenggara, tempat terbitnya hilal atau bulan adalah berbeza dengan Arab Saudi kerana kedudukan negara itu yang jauh lebih barat disebabkan perbezaan masa.

Lantaran itu, adalah menjadi tanggungjawab setiap individu untuk mengikut ketetapan di negara masing-masing bagi menentukan awal bulan Zulhijjah.

Dengan ini, apabila telah disabitkan awal Zulhijjah di Singapura, maka hari kesembilan Zulhijjah itulah hari Arafah dan ia juga hari yang disunatkan berpuasa hari Arafah.

Menurut Jawatankuasa Fatwa Muis, Singapura berada di timur Makkah dengan jarak masa lima jam.

Jika mengikut rukyah atau hisab, anak bulan qamariah itu tidak ada. Dengan ini, kedudukan di mana Singapura berada belum lagi masuk dalam bulan taqwim tersebut.

Maka itu, ia memutuskan bahawa amal ibadah dan yang bersangkut-paut dengannya belum masuk waktunya atau belum boleh diamalkan.

Jelas, setiap negara tertakluk kepada penentuan kawasan mereka dan bukan pada penentuan anak bulan di Makkah.

Pejabat Mufti turut menasihati masyarakat Islam setempat agar menghindari daripada menyalahkan pandangan yang lain tidak kira apa jua pandangan yang dipilih. 

Sumber : BERITA Mediacorp/FZ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan