Images
  • muis yed
    500 pelajar menghadiri majlis pengagihan di Masjid Al-Mawaddah. (Gambar: MUIS)

MUIS agih bonus $2.5j bulan ini kepada 4,450 keluarga, pelajar Muslim memerlukan

SINGAPURA: Sekitar 4,460 keluarga Muslim tempatan yang berpendapatan rendah atau memerlukan, bakal menerima pelbagai bonus daripada Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS), sempena penghujung tahun ini.

Jumlah itu pertambahan sekitar 700 keluarga penerima, atau kenaikan 18% berbanding tahun lalu. Pada tahun 2017, bonus hujung tahun diberikan kepada 3,765 keluarga berpendapatan rendah.

MUIS menyatakan, bonus yang dikeluarkannya itu secara keseluruhannya berjumlah $2.5 juta. Jumlah itu sekitar sembilan peratus lebih tinggi berbanding agihan pada tahun lalu, iaitu sekitar $2.3 juta.

Bonus dari MUIS itu merangkumi Bonus Hujung Tahun (YED), Bonus Reqab (Pelajar) serta Baucar Kembali ke Sekolah (BTS) dan Kegiatan.

Keluarga-keluarga yang menerima bantuan tersebut adalah golongan fakir miskin yang menjadi penerima Bantuan Kewangan bulanan MUIS.

LEBIH 5,400 PELAJAR TERIMA BONUS PENDIDIKAN TAHUN INI

Menurut MUIS dalam satu kenyataan media hari ini (6 Dis), ia akan mengagihkan S$1.96 juta bulan ini dalam bentuk Bonus Hujung Tahun (YED). Tahun lalu ia mengagihkan S$1.79 juta bagi YED.

Selain itu, di bawah Bonus Reqab, sekitar $400,000 turut diagihkan kepada keluarga berpendapatan yang mempunyai anak berusia 18 tahun ke bawah.

MUIS menyatakan, bilangan pelajar yang mendapat agihan Bonus Reqab bulan ini bertambah 22% kepada 5,420 orang. Bilangan penerimanya tahun lalu ialah sekitar 4,430 pelajar.

Setiap pelajar yang layak menerima antara S$70 hingga S$100 seorang.

Dalam pada itu Majlis tersebut menyatakan lebih S$163,600 diperuntukkan bagi Baucar Kembali ke Sekolah (BTS) - kurang 15% berbanding agihan tahun lalu yang menyaksikan hampir S$192,700 diperuntukkan.

Ini kerana jumlah kanak-kanak yang mendapat BTS berkurangan 14% tahun ini, jelas MUIS.

KELUARGA 6 ORANG BOLEH TERIMA HINGGA S$800

MUIS turut memberikan contoh tentang bagaimana keluarga-keluarga berpendapatan rendah mendapat manfaat daripada agihan ini.

Sebuah keluarga enam orang, misalnya, dengan empat anaknya masih bersekolah akan mendapat sekitar S$800, menurut MUIS.

Dalam pada itu, MUIS turut menjelaskan bahawa kenaikan jumlah keseluruhan wang yang diagihkan, serta bilangan penerima yang bertambah ramai, berlaku kerana ia beberapa bulan lalu menyemak semula kriteria kelayakan pendapatan per kapita keluarga (PCI).

Jika dahulu mereka yang layak mendapat bantuan dibuat berdasarkan kadar pendapatan keluarga per kapita $350. Ia k ini dinilai berdasarkan PCI $400. 

- BERITAmediacorp/aq

Top