Images
  • Mufti
    Mufti S’pura Dr Mohamed Fatris Bakaram. (Gambar: BERITAMediacorp)

Mufti: Nilai dan tradisi agama tidak sepatutnya 'kaku', perlu dikaji dari semasa ke semasa

SINGAPURA: Nilai dan tradisi yang dipegang kukuh oleh setiap agama tidak patut "kaku" tetapi sebaliknya perlu terus diperhalusi serentak dengan peredaran masa agar tidak "membawa masyarakat mundur ke belakang".

Demikian pandangan Mufti Negara Dr Mohamed Fatris Bakaram dalam ucapannya ketika menggulung Persidangan Antarabangsa Singapura anjuran MUIS siang tadi (08 Nov).

Tambah Dr Fatris, ruang kehidupan bersama yang positif boleh dikecap jika warga sejagat bersikap terbuka untuk mengkaji semula nilai-nilai teras agama mengikut konteks semasa.

Berucap kepada 300 ulama, asatizah, cendekiawan dan pemimpin silang agama setempat, Dr Fatris menarik perhatian bahawa etika ketekunan, kebersihan dan kesucian serta nilai kesederhanaan dan belas ihsan - semuanya tersemat dalam kebanyakan tradisi agama dan ia wajar dipelihara.

Namun, sehingga hari ini, warga sejagat masih mengeluh melihat kurangnya kemajuan dan disiplin terhadap pengamalan etika, ajaran dan nilai tersebut di dalam masyarakat masing-masing.

PARA PEMIMPIN AGAMA HARUS 'BERANI' OLAH PEMAHAMAN

Hal ini boleh diperbaiki, menurut Dr Fatris, seandainya para pemimpin agama serta para pengikut mereka meneliti semula kefahaman dan pelaksanaannya, berdasarkan keadaan kehidupan masa kini.

Menurut Dr Fatris juga, para pemimpin agama perlu ada "keberanian".

Misalnya, jika sesuatu langkah yang diambil tidak mendatangkan keadilan atau maslahat bagi kehidupan manusia, bermakna pendirian tersebut 'mengandungi kekeliruan dalam pemahaman' dan ia harus dikaji semula, kata Dr Fatris.

"Lalu bagaimana kita berjalan ke hadapan, bagaimana kita mengolah, bagaimana kita membangunkan dan menyegarkan tradisi itu supaya tradisi itu boleh membawa kita kepada kehidupan dunia lebih baik?" soal Dr Fatris.

"Dalam kita berhadapan dengan perubahan-perubahan, dalam kita berhadapan malah dengan cabaran hidup sebagai sebuah masyarakat, kita memerlukan kekuatan, kita perlu membangunkan satu keupayaan dalaman diri kita untuk mampu beranjak daripada sesuatu yang kita rasa selesa tetapi hanya akan membuat kita ini terperangkap dalam suasana sejarah yang lama," jelas beliau selanjutnya.

AGAMA SATU PANDUAN MASYARAKAT UNTUK TANGANI CABARAN HIDUP

Persoalan-persoalan melibatkan nilai, ajaran, tradisi serta peranan institusi agama menjadi tumpuan para peserta dalam Persidangan dua hari itu.

Semua isu berhubung cabaran masa kini dan trend hari muka dalam mencapai keharmonian agama sejagat dirumuskan dalam satu sesi perbincangan penutup pagi tadi.


Sesi hampir tiga jam dikendalikan tiga pemudah cara termasuk mantan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Yaacob Ibrahim, dan Pengarah Kanan Pembangunan Keagamaan dan Dasar MUIS, Dr Nazirudin Mohd Nasir.

Menurut mereka, para peserta akur akan peri pentingnya agama sebagai panduan dalam membantu masyarakat menangani kesulitan yang dihadapi dunia.

"Sebagai contoh dalam isu-isu moral, dan cabaran-cabaran yang dihadapi oleh masyarakat sejagat seperti cabaran berkaitan dengan sekitaran, kesihatan, gaya kehidupan dan sebagainya. Jadi setiap agama masih mempunyai nilai-nilai yang sangat relevan yang perlu disuarakan di dalam membentuk perbincangan awam apabila isu-isu sedemikian diketengahkan di dalam perbincangan umum," ujar Dr Nazirudin.

"Di sini saya rasa kita boleh mencari huraian-huraian yang boleh digunakan oleh golongan muda kita untuk lebih memahami apa yang berlaku di dunia ini dan bagaimana agama mereka menolong mereka untuk mendapatkan kefahaman yang lebih mendalam," kata Dr Yaacob pula.

Persidangan sempena ulang tahun ke-50 MUIS itu berlangsung dari semalam di Hotel Grand Hyatt Singapore dan ia melabuhkan tirainya hari ini.


Pada sebelah malamnya pula, ulama terkemuka Shaykh Hamza Yusuf diundang memberikan ceramah yang berkisar kepada tema 'Nilai Universal Islam bagi Kemanusiaan'.

Ia turut disertai Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Masagos Zulkilfi, dan Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Grace Fu. 

- BERITAmediacorp/tq

Top