Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Mufti gesa umat Islam bina daya tahan agar kekal di landasan betul

Dalam kita menghadapi anasir-anasir negatif yang boleh menyebabkan perbalahan dan perpecahan, masyarakat Islam setempat digesa untuk membina keyakinan dan daya tahan agar terus kekal di atas landasan yang tidak tersasar.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Dalam kita menghadapi anasir-anasir negatif yang boleh menyebabkan perbalahan dan perpecahan, masyarakat Islam setempat digesa untuk membina keyakinan dan daya tahan agar terus kekal di atas landasan yang tidak tersasar.

Itulah antara intipati Khutbah Aidilfitri yang disampaikan oleh Mufti Negara, Dr Mohamed Fatris Bakaram di Masjid Alkaff Kampung Melayu pagi tadi.

Pemahaman Islam yang sesuai dengan konteks negara dan kehidupan masyarakat majmuk di sini, juga perlu terus disemai bagi melahirkan masyarakat yang berfikiran positif dan dapat menyumbang kepada pembangunan masyarakat sejagat, kata Mufti Negara.

MUFTI GESA UMAT ISLAM PERKUKUH PEMAHAMAN AGAMA

Dari seawal jam 6.30 pagi, para jemaah sudah mula datang ke masjid di timur Singapura itu untuk sama-sama menghidupkan suasana pagi Syawal dengan gema takbir.

Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Yaacob Ibrahim turut hadir bersama-sama sekitar 4,500 jemaah menunaikan solat sunat Aidilfitri di sini.  Beliau diiringi Presiden Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) Mohamed Alami Musa dan Ketua Eksekutif MUIS, Haji Abdul Razak Maricar.

Dr Yaacob Ibrahim menunaikan solat Aidilfitri bersama para jemaah lain di Masjid Alkaff Kampung Melayu Mosque (Gambar: MUIS)

Dr Yaacob Ibrahim menunaikan solat Aidilfitri bersama para jemaah di Masjid Alkaff Kampung Melayu Mosque (Gambar: MUIS)

Sedar akan cabaran serta pengaruh yang membelenggu masyarakat Islam, Mufti Negara menggesa masyarakat Islam tempatan agar memperkukuhkan lagi pemahaman agama mereka.

Ini supaya mereka tidak mudah goyah walaupun dibadai dengan pelbagai arus yang boleh membawa kepada kemunduran dan kebinasaan.

"Saudara-saudari sekalian, isu-isu kompleks seperti ideologi radikal serta pemikiran dan kepelbagaian gaya hidup yang mencabar pegangan agama kita, menuntut kita agar sentiasa peka dan tidak boleh kita leka.

"Kita perlu terus membangun pemahaman Islam yang sesuai dengan keadaan dan keperluan kehidupan kita pada hari ini. Pemahaman yang mengambil kira kerencaman dan kepelbagaian tradisi Islam yang sangat luas lagi amat mendalam," ujarnya semasa menyampaikan khutbah dengan tajuk "Membentuk Daya Tahan Di Dalam Kehidupan Beragama Di Singapura". 

PERLU LINDUNGI DARI ANASIR YANG RACUNI MINDA

Mufti Negara menegaskan bahawa umat Islam perlu melindungi diri mereka daripada anasir-anasir yang boleh meracuni minda sebahagian anak muda.

"Hari ini kita mula melihat anasir-anasir negatif yang menanam kebencian dan menyebabkan perbalahan dan perpecahan mula menyelinap dalam kehidupan harmoni negara kita.

"Mereka menganjurkan pemahaman dan pengamalan agama yang eksklusif, yang menolak kepelbagaian dan perbezaan pandangan, sedangkan ia merupakan fitrah kejadian manusia.

"Terdapat pula idea-idea yang bersifat radikal yang menanamkan sikap tegar dan keras di dalam diri Muslim.

"Lantas timbul ajakan oleh segelintir kumpulan radikal seperti ISIS supaya berhijrah kepada apa yang mereka dakwa sebagai “negara Islam”. Idea sedemikian telah meracuni minda sebahagian anak muda sehingga tertarik untuk menyertai kumpulan-kumpulan radikal sedemikian," ujar Mufti Negara.

Masjid Alkaff Kampung Melayu sesak dengan 3,500 jemaah menunaikan solat Aidilfitri. (Gambar: MUIS)

Masjid Alkaff Kampung Melayu sesak dengan 3,500 jemaah menunaikan solat Aidilfitri. (Gambar: MUIS)

Orang ramai tiba di Masjid Alkaff Kampung Melayu untuk solat Aidilfitri seawal sebelum subuh. (Gambar: MUIS)

Orang ramai tiba di Masjid Alkaff Kampung Melayu untuk solat Aidilfitri seawal sebelum subuh. (Gambar: MUIS)

MUFTI SERU BELIA DAPATKAN AJARAN AGAMA DARI SUMBER BERTAULIAH

Selain itu, sebahagian segmen khutbah hari ini juga didedikasikan buat anak-anak muda dan para belia.

Akur akan betapa pentingnya para belia kita sebagai aset negara yang perlu dipelihara, mimbar hari ini menyeru kepada para belia untuk mendapatkan ajaran agama daripada sumber yang bertauliah dan juga betapa pentingnya peranan ibu bapa untuk membimbing anak-anak mereka.

Sepanjang bulan Ramadan lalu, Dr Yaacob sendiri menyaksikan betapa ibu bapa merebut peluang untuk mengeratkan lagi ikatan dengan anak-anak mereka. 

Mufti Negara bersalam-salaman dengan para jemaah di Masjid Alkaff Kampung Melayu. (Gambar: MUIS)

Mufti Negara bersalam-salaman dengan para jemaah di Masjid Alkaff Kampung Melayu. (Gambar: MUIS)

"Saya rasakan bahawa kita harus memperkukuhkan institusi keluarga kita, tapi pada masa yang sama ibu bapa ada peranan untuk membimbing anak-anak kita oleh kerana mereka sedang menghadapi cabaran-cabaran yang tertentu. Bagaimana mereka boleh membimbing untuk mendapatkan penjelasan tentang isu-isu yang mereka fikirkan," ujarnya. 

Dr Yaacob juga mengingatkan bahawa nikmat serta usaha untuk memastikan kita dapat menjalani kehidupan beragama dengan penuh harmoni adalah sesuatu yang perlu diteruskan dan diwariskan kepada generasi seterusnya.

Sumber : BERITA Mediacorp/nd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan