Images
  • Mufti Syed Abdullah
    Allahyarham Ustaz Syed Abdullah Haroon Aljunied (kiri), Dr Fatris Bakaram (kanan). (Gambar: Facebook/ Persatuan Ulama' dan Guru-Guru Agama Islam, PERGAS & TODAY)

Mufti Dr Fatris: Habib Syed Abdullah beri sumbangan besar kepada pemeliharaan harta wakaf

BERITAMediacorp: Meskipun ramai yang tidak mengenali Allahyarham Ustaz Syed Abdullah Haroon Aljunied, sumbangan-sumbangan beliau setanding dengan rakan-rakan seangkatannya, yang nama mereka lebih dikenali masyarakat Islam setempat.

Ustaz Syed Abdullah yang lebih mesra dengan panggil Habib Syed Abdullah, meninggal dunia pada lewat malam Isnin (9 Jul). Menyusuli khabar pemergiannya, Mufti Negara Dr Mohamed Fatris Bakaram memuat naik catatan di laman Facebook beliau dan berkongsi tentang sumbangan besar Allahyarham.

Dr Fatris menyifatkan sumbangan Allahyarham sebagai “banyak meninggalkan kesan kepada pemeliharaan harta-harta wakaf yang merupakan isu utama yang diperjuangkannya di dalam Jawatankuasa Fatwa dan di dalam Majlis Tertinggi MUIS”.

Menerusi catatan itu, Dr Fatris berkongsi pengamatan beliau semasa mula bertugas sebagai pegawai MUIS pada tahun 1993. Antara skop tugas awal Dr Fatris dahulu adalah untuk menghadiri mesyuarat-mesyuarat Jawatankuasa Fatwa dan mencatit isi perbincangan.

Mufti Negara pada zaman itu adalah Shaykh Syed Isa Semait, yang disokong empat tokoh dan ilmuwan tempatan yang menjadi tunjang utama dalam Jawatankuasa Fatwa. Mereka adalah Ustaz Syed Abdillah Aljufri, Ustaz Ahmad Sonhadji Mohd, Ustaz Salleh Mat Piah, Ustaz Syed Abdullah Haroon Aljunied. Kesemua ilmuwan agama itu kini sudah meninggal dunia dan meninggalkan warisan ilmu untuk para pemimpin Islam setempat yang seterusnya.


Allahyarham Habib Syed Abdullah (barisan tengah, dua dari kiri). (Gambar: MUIS)

“Masih jelas dalam ingatan saya bagaimana keempat-empat tokoh ini memberi sokongan dan menyumbangkan kekuatan kepada Mufti (Syed Isa) dengan cara dan watak masing-masing,” menurut Dr Fatris.

Beliau turut berkongsi perwatakan lagi tiga tokoh tersebut. Ustaz Syed Abdillah kata Dr Fatris memiliki penguasaan ilmu agama yang mantap, pendirian yang tegas dan hujah-hujahnya senantiasa meyakinkan.

Ustaz Ahmad Sonhadji pula begitu luas ilmu Tafsir Qurannya dan memiliki kelebihan pemikiran yang kreatif dalam mencari huraian.

Ustaz Salleh Mat Piah, kata Dr Fatris, memiliki kemahiran dalam bidang perundangan Islam selaku mantan Presiden Mahkamah Syariah.


Allahyarham Habib Syed Abdullah (lima dari kiri). (Gambar: MUIS)

Seperti Allahyarham Ustaz Syed Abdullah, tidak ramai yang mengenali Ustaz Salleh, namun beliau merupakan seorang ahli Jawatankuasa Fatwa yang disegani anggota-anggota lain disebabkan “ketelitian pemikirannya dan ketekunannya membuat persiapan sebelum setiap mesyuarat dengan menyiapkan draf saranan keputusan fatwa untuk dipertimbangkan oleh jawatankuasa”.

Semalam (10 Jul), dalam kenyataan medianya, MUIS menyatakan ia "amat berdukacita dengan pemergian seorang pemimpin kanan masyarakat yang amat dihormati" itu.

Penguasa Islam tempatan itu menyifatkan pemergian Allahyarham Habib Syed Abdullah sebagai satu kehilangan besar kepada masyarakat Islam tempatan, memandangkan sumbangan beliau selama 21 tahun dari tahun 1983 hingga 2004 dalam Majlis Tertinggi MUIS begitu besar. Beliau juga menganggotai Jawatankuasa Fatwa secara aktif dari 1984 hingga 1995. 

- BERITAMediacorp/nk

Top