Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Muallaf, belia wanita, antara anggota termuda dilantik jadi ke Lembaga Pentadbir Masjid

Lebih 150 sukarelawan dilantik sebagai anggota Lembaga Pentadbir Masjid (LPM) untuk memimpin 14 masjid bagi Kelompok Masjid Tengah-Utara.

Anggaran Waktu Membaca:
Muallaf, belia wanita, antara anggota termuda dilantik jadi ke Lembaga Pentadbir Masjid

Siti Aisah Abdul Halim dan Muhammad Farhan Yoong. (Gambar: MUIS)

SINGAPURA: Lebih 150 sukarelawan dilantik sebagai anggota Lembaga Pentadbir Masjid (LPM) untuk memimpin 14 masjid bagi Kelompok Masjid Tengah-Selatan.

20 peratus daripada mereka yang menerima watikah pelantikan masing-masing hari ini (20 Jan) dalam satu majlis di Hab Islam Singapura, adalah 'wajah baru'.

Di kalangan muka-muka baru itu termasuklah dua orang belia - Cik Siti Aisah Abdul Halim yang berusia 24 tahun dan Muhammad Farhan Yoong berusia 23 tahun - yang merupakan anggota LPM termuda dalam pelantikan tersebut.

SITI AISAH ABDUL HALIM - INGIN BELIA KE MASJID

Pada usia semuda 16 tahun, Cik Aisah menjadi relawan di masjid sebagai pemudah cara kem-kem yang dianjurkan buat golongan belia. Beliau berbesar hati diberi peluang untuk membantu menganjurkan kem-kem tersebut dan dapat melihat sendiri bagaimana ilmu agama relevan dalam kehidupan golongan belia.

Itulah titik permulaan beliau menjadi relawan di masjid. Selepas itu, beliau turut menjadi relawan untuk kem-kem belia anjuran masjid-masjid lain.

Kini, sebagai seorang guru di Sekolah APSN Tanglin, beliau percaya banyak lagi yang boleh beliau lakukan untuk menjangkaui generasi muda di luar tempat beliau mengajar.

Siti Aisah Abdul Halim, anggota baru MMB Masjid Kg Delta. (Gambar-gambar: MUIS)

Siti Aisah Abdul Halim, anggota baru MMB Masjid Kg Delta. (Gambar-gambar: MUIS)

"Saya dapat melihat bahawa ramai pelajar Melayu/Islam yang kurang tahu tentang Islam. Dan sebagai seorang guru, saya rasakan banyak lagi yang boleh saya lakukan untuk masyarakat Melayu/Islam," kata Cik Aisah.

"Saya berharap saya dapat menggalak masyarakat Melayu, belia khususnya, untuk datang ke masjid atas sebab bukan sahaja kerana mereka merasakan ia sesuatu yang wajib. Tetapi, kerana melihat masjid sebagai satu tempat rujukan," tambah beliau.

Cik Aisah dilantik sebagai anggota LPM di Masjid Kampong Delta. Menurutnya, belum lagi banyak belia yang melibatkan diri di masjid itu buat masa ini.

Dalam tempoh tiga tahun sebagai anggota masjid itu, beliau harap dapat memainkan peranan dalam usaha menggalak lebih ramai belia untuk tampil ke masjid dan mempelajari agama Islam "melalui cara-cara yang lebih inovatif dan relevan". 

MD FARHAN YOONG - BARU 10 BULAN PELUK ISLAM, KINI ANGGOTA LPM

Encik Muhammad Farhan Yoong juga merupakan salah seorang belia yang menerima watikah pelantikannya hari ini sebagai anggota LPM Masjid Omar Kampung Melaka.

Beliau memeluk agama Islam pada Mac tahun lalu dan pengalamannya sebagai relawan dalam kelas bahasa Arab untuk kanak-kanak mendorongnya untuk terus berkhidmat di masjid.

"Saya percaya banyak yang boleh dipelajari daripada kegiatan dan pengalaman membantu masyarakat di luar sana. Saya juga berharap dapat mengajak lebih ramai belia untuk menjadi sukarelawan dan bantu masyarakat ini," kata mahasiswa pengajian pengurusan perniagaan di Institut Pengurusan Singapura (SIM) itu.

Muhammad Farhan Yoong, anggota baru MMB Masjid Omar Kg Melaka. (Gambar-gambar: MUIS)

Muhammad Farhan Yoong, anggota baru MMB Masjid Omar Kg Melaka. (Gambar-gambar: MUIS)

Malah, beliau berharap dapat membantu Masjid Omar Kampung Melaka memberi perhatian kepada golongan muallaf sepertinya dengan mengadakan kursus-kursus agama pada masa akan datang.

Kini, beliau masih baru dalam LPM tersebut. Sebagai permulaan, beliau akan membantu bendahari masjid itu selain membuat persiapan untuk sambutan ulang tahun warisan masjid berkenaan yang ke-200.

Masjid Omar Kampong Melaka adalah masjid tertua di Singapura - dibina pada tahun 1820.

MUIS SAMBUT 50 TAHUN; KONVENSYEN MASJID PADA SEP INI

Dengan pelantikan terbaru itu, kesemuanya ada 800 anggota LPM bagi masjid-masjid di serata Singapura.

Berucap di acara itu, Ketua Eksekutif MUIS, Abdul Razak Maricar turut mengatakan bahawa tahun 2018 ini adalah tahun yang menarik bagi MUIS. Ini kerana MUIS sedang dalam proses untuk melakarkan pelbagai program sempena ulang tahunnya yang ke 50. MUIS dibentuk pada tahun 1968.

Ketua Eksekutif MUIS, Hj Abdul Razak Maricar. (Gambar-gambar: MUIS)

Ketua Eksekutif MUIS, Hj Abdul Razak Maricar. (Gambar-gambar: MUIS)

Antara program utama MUIS tahun ini ialah penganjuran Konvensyen Masjid-masjid 2018 (MC18) pada September nanti.

Encik Razak berkata, semasa konvensyen tersebut nanti, masjid-masjid akan menilai semula pencapaiannya, mencergaskan semula visi serta memberi fokus baru kepada kegiatan-kegiatannya. Malah matlamat-matlamat baru untuk masjid-masjid juga akan dilakarkan menerusi satu pelan induk baru untuk sektor masjid.
Buat masa ini kata Encik Razak, beliau gembira bahawa masjid-masjid Singapura sudah membuat pelbagai kemajuan besar sehinggakan banyak badan-badan dari negara-negara seperti Malaysia, Brunei dan rantau Pasifik berkunjung ke Singapura untuk mempelajari rahsia kejayaan masjid-masjid tempatan. 

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan