Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

MSF timbang semak dasar, gubal undang-undang selepas lelaki homoseksual ambil anak angkat

Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) menyatakan ia menghormati keputusan Mahkamah Tinggi bagi membenarkan seorang lelaki homoseksual mengambil anak kandungnya sebagai anak angkat. Namun, MSF akan menimbangkan jika dasar-dasar berkaitan perlu disemak semula.

Anggaran Waktu Membaca:
MSF timbang semak dasar, gubal undang-undang selepas lelaki homoseksual ambil anak angkat

Gambar hiasan.

Diterbitkan : 18 Dec 2018 08:22AM Dikemas Kini : 18 Dec 2018 08:23AM

SINGAPURA: Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) menyatakan ia menghormati keputusan Mahkamah Tinggi bagi membenarkan seorang lelaki homoseksual mengambil anak kandungnya sebagai anak angkat. Namun, MSF akan menimbangkan jika dasar-dasar berkaitan perlu disemak semula.

Komen MSF dikeluarkan selepas lelaki berkenaan, seorang ahli patologi berusia 46 tahun, pada Isnin (17 Dis) mendapat hak untuk mengambil anak kandungnya yang berusia lima tahun dan dilahirkan menerusi seorang ibu tumpang di Amerika Syarikat, sebagai anak angkat. Kes penting itu dibicarakan di mahkamah Singapura.

"MSF menghormati keputusan mahkamah," kata jurucakap MSF. "Kami akan mengkaji Alasan Keputusan (Grounds of Decision) dengan teliti, dan menimbangkan sekiranya dasar-dasar dan perundangan perlu digubal dan diperkukuhkan lagi."

Ahli patologi itu menjalin hubungan dengan seorang lelaki sejak sekian lamanya. Hubungan seks sesama lelaki adalah satu jenayah di Singapura dan perkahwinan sesama jantina tidak diiktiraf di sini.

Selepas budak itu dilahirkan di Amerika Syarikat, dia dibawa ke Singapura dan dijaga oleh lelaki terbabit dan pasangannya.

Pada 2014, bapa kandungnya membuat permohonan sebagai seorang bapa tunggal untuk mengambil budak itu sebagai anak angkat. Bagaimanapun, permohonannya ditolak tahun lalu oleh seorang Hakim Daerah. Keputusan pada Isnin (17 Dis) mengubah keputusan sebelumnya, selepas lelaki tersebut mengemukakan rayuan.

MSF menyatakan pada Isnin (17 Dis) bahawa ia menentang rayuan lelaki tersebut kerana pengambilan budak itu sebagai anak angkat "bertentangan dengan dasar awam".

"MSF menentang rayuan itu kerana, antara lainnya, pengambilan anak angkat tersebut akan bertentangan dengan dasar awam yang menolak pembentukan sebuah keluarga terdiri daripada pasangan sesama jantina," kata jurucakap MSF. "Pemohon juga ke luar negara untuk mendapatkan cahaya mata menerusi ibu tumpang dan menjadi seorang bapa tunggal, walhal perkara itu tidak dibenarkan di Singapura.

"Kami memang menggalak orang ramai untuk bernikah dan mempunyai anak, kerana ia satu norma sosial dalam masyarakat kita," kata jurucakap itu. "(Namun) kita tidak menyokong pembentukan sebuah keluarga terdiri daripada pasangan sesama jantina."

MSF menarik perhatian bahawa Mahkamah Tinggi mengetahui tentang adanya dua dasar seumpama itu, tambah jurucakap tersebut.

“Namun, mahkamah memutuskan, selepas membuat penelitian, bahawa permohanan mengambil anak angkat diluluskan dalam kes ini kerana ia baik bagi kebajikan kanak-kanak tersebut, yang mana mahkamah mendapati ‘perlu diutamakan dan penting’,” kata jurucakap itu.

"Ia mengambil pandangan bahawa budak itu menjadi seorang anak sah sekiranya diambil sebagai anak angkat. Dengan status itu, dia akan diterima dalam masyarakat. Keputusan itu mempunyai kesan sosial, psikologi dan emosi yang positif terhadapnya."

Semua pengambilan anak angkat diputuskan mahkamah secara berasingan dan menurut fakta-fakta di sebalik setiap situasi, tambah MSF.

Menjawab pertanyaan Mediacorp, MSF menyatakan bahawa pengarah kebajikan sosialnya menangani secara purata 360 permohonan pengambilan anak angkat setiap tahun.

Pemohon tunggal membentuk kurang 10 peratus permohonan pengambilan anak angkat, menurut MSF. Ia menambah, kes tersebut merupakan permohonan pertama oleh seseorang yang "secara terbuka mengakui dirinya sebagai seorang homoseksual dan tinggal bersama pasangannya yang sama jantina." 

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan