Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

MSF: Gaji para karyawan khidmat sosial akan disemak tahun ini

MSF akan menyemak norma-norma gaji bagi para karyawan khidmat sosial pada tahun ini

Anggaran Waktu Membaca:
MSF: Gaji para karyawan khidmat sosial akan disemak tahun ini

Gambar para pekerja di CBD. (Gambar: Francine Lim)

Diterbitkan : 13 Mar 2015 02:35PM Dikemas Kini : 13 Mar 2015 09:05PM

SINGAPURA: Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) akan menyemak norma-norma gaji bagi para karyawan khidmat sosial pada tahun ini.

Bermula April tahun ini, MSF akan menambah pembiayaan dana lagi $16 juta kepada badan-badan amal (VWO).

Sebanyak $12 juta akan diperuntukkan untuk menaikkan gaji para karyawan.

Oleh itu, para kakitangan khidmat sosial boleh menjangkakan kenaikan gaji antara 3 dengan 19 peratus, bergantung pada tahap kekaryawanan mereka.

Sebagai contoh, seorang ahli terapi muda boleh menjangkakan kenaikan gaji sekitar sembilan peratus.

Selain tawaran gaji yang lebih menarik, MSF juga akan memperkukuh pembangunan kekaryawanan.

MSF dan Kementerian Kesihatan (MOH) akan melancarkan Rangka Kerja Kecekapan Kerja Sosial Kebangsaan pada tahun ini bagi membentangkan kesemua kecekapan asas untuk para karyawan khidmat sosial pada pelbagai tahap kerjaya mereka.

MSF dan sektor khidmat keluarga juga akan menghasilkan Kod Amalan Kerja Sosial yang akan dilaksanakan di kesemua pertubuhan khidmat sosial, khususnya pusat-pusat khidmat keluarga.

Satu Program Zamil Khidmat Sosial akan diperkenalkan bagi mengiktiraf para karyawan yang cemerlang.

Mereka akan bekerjasama dengan MSF untuk terus membangunkan kerjaya dalam sektor itu, di samping menyelia para karyawan muda dalam sektor tersebut.

Seramai 50 zamil akan dilantik menjelang 2017.

Bagi memikat, membangunkan dan memanfaatkan dengan lebih berkesan kemahiran para pakar terapi dan ahli psikologi, Hab Terapi ketiga akan dibangunkan.

Sekitar $7 juta akan diagihkan setiap tahun sepanjang 3 tahun akan datang untuk menampung hab tersebut.

Sasarannya ialah untuk menambah bilangan pakar terapi di hab-hab sedemikian kepada 125 menjelang 2017 bagi memenuhi permintaan yang kian meningkat bagi khidmat terapi.

MSF juga akan menubuhkan Hab Psikologi Masyarakat baru bagi menghasilkan lebih ramai ahli psikologi untuk menyokong khidmat yang ditawarkan kepada golongan kurang upaya.

Hab yang bakal ditempatkan di SG Enable itu akan memulakan operasi dalam separuh kedua tahun ini.

Sekitar $8 juta diperuntukkan untuk membiayai inisiatif itu dalam masa tiga tahun akan datang. 

Sumber : CNA/ag
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan