Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

MOM siasat kes amah 'dijual' di Carousell

Kementerian Tenaga Manusia (MOM) sedang menyiasat beberapa kes melibatkan para pembantu rumah yang "diiklankan secara tidak wajar" di laman Carousell.

Anggaran Waktu Membaca:
MOM siasat kes amah 'dijual' di Carousell

Akaun Carousell 'maid.recruitment' yang mengiklankan para pembantu rumah dari Indonesia.

Diterbitkan : 15 Sep 2018 09:12PM Dikemas Kini : 15 Sep 2018 09:16PM

SINGAPURA: Kementerian Tenaga Manusia (MOM) sedang menyiasat beberapa kes melibatkan para pembantu rumah yang "diiklankan secara tidak wajar" di laman Carousell.

"MOM sudahpun dimaklumkan mengenai kes-kes di mana para pembantu rumah asing (FDW) diiklankan secara tidak wajar di laman jual beli online, Carousell," menurut kementerian itu menerusi catatan di laman Facebooknya pada Jumaat (14 Sep).

MOM menambah bahawa pihaknya sudah mengambil langkah bagi memastikan agar iklan-iklan tersebut diturunkan.

Pengguna Carousell "maid.recruitment" sebelum ini didapati memuat naik iklan yang menunjukkan gambar-gambar pembantu rumah dari Indonesia, serta nama dan usia mereka.

Akaun itu sudahpun menurunkan iklan-iklan tersebut. Carousell juga menyatakan hari ini (15 Sep) bahawa ia sudah menggantungkan akaun berkenaan.

"Pasukan kami mengesan sekitar 50 iklan dan semuanya kemudian diturunkan dengan serta merta," kata jurucakap Carousell.

"Carousell dengan tegas melarang sebarang jenis iklan yang melibatkan manusia... Sebarang gambar atau perbuatan mengongsi maklumat peribadi para individu adalah sesuatu yang dilarang kerana ia melanggar garis panduan kami," tambah jurucakap itu.

Beliau menambah bahawa Carousell mempunyai sistem-sistem pengesanan.

"Sistem-sistem pengesanan itu dan pasukan kami membantu kami untuk secara automatik menurunkan sebarang jenis iklan yang melanggar garis panduan syarikat kami atau barang-barang yang terlarang seperti iklan-iklan yang melibatkan manusia."

Carousell turut menyatakan bahawa pihaknya sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi membantu dalam siasatan.

"Mengiklankan FDW sebagai barang adalah sesuatu yang tidak boleh diterima sama sekali dan ia merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 11(1)(c) dalam Akta Agensi Pengambilan Pekerja yang menyatakan bahawa agensi-agensi pengambilan pekerja tidak boleh melakukan perbuatan yang mungkin menjejas kepentingan klien mereka," menurut MOM.

Agensi-agensi yang didapati bersalah boleh dikenakan mata denda dan lesennya juga boleh digantung atau ditarik balik, menurut MOM sambil menambah bahawa ia berharap agensi-agensi akan "bersikap bertanggungjawab dan sensitif ketika mengiklankan khidmat mereka".

Para pesalah boleh dikenakan denda sehingga S$80,000 dan/atau dijatuhi hukuman penjara sehingga dua tahun.

Sesiapa yang menggunakan khidmat-khidmat yang ditawarkan oleh sebuah agensi tanpa berlesen pula boleh didenda sehingga S$5,000.

Kementerian itu juga mengingatkan orang ramai supaya hanya menggunakan agensi-agensi pengambilan pekerja dengan lesen MOM. Orang ramai turut dinasihati supaya memeriksa dengan syarikat-syarikat bagi memastikan ia didaftar dan adalah sah. 

Sumber : CNA/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan