Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

MOM gantung agensi yang iklankan amah di Carousell

Kementerian Tenaga Manusia (MOM) mengenal pasti SRC Recruitment sebagai agensi pekerjaan yang mengiklankan pembantu rumah (FDW) di wadah dagangan online Carousell dan menggantungkan lesen agensi tersebut.

Anggaran Waktu Membaca:
MOM gantung agensi yang iklankan amah di Carousell

Gambar-gambar pembantu rumah diiklankan di wadah edagang Carousell.

Diterbitkan : 19 Sep 2018 10:55PM Dikemas Kini : 19 Sep 2018 10:58PM

SINGAPURA: Kementerian Tenaga Manusia (MOM) mengenal pasti SRC Recruitment sebagai agensi pekerjaan yang mengiklankan pembantu rumah (FDW) di wadah dagangan online Carousell dan menggantungkan lesen agensi tersebut.

Dalam kenyataan pada Rabu (19 Sep), MOM menyatakan ia sedang menyiasat SRC Recruitment "dengan tujuan untuk mengambil tindakan hukuman ke atas pencabulan Akta Agensi Pekerjaan (EAA)".

Penggantungan itu bererti SRC Recruitment tidak boleh mengambil sebarang FDW baru. Lesen SRC Recruitment akan digantung sepanjang siasatan dijalankan, menurut MOM semasa menjawab pertanyaan Mediacorp.

"MOM amat komited dalam menjaga kemaslahatan para FDW di Singapura. Kami mengutuk kuat pengiklanan FDW dengan cara yang menjatuhkan maruah," kata Encik Kevin Teoh, Pesuruhjaya bagi Agensi Pekerjaan.

"Mengiklankan FDW di wadah internet yang bertujuan untuk memperdagangkan barangan adalah satu langkah yang tidak wajar dan tidak boleh diterima. Langkah sedemikian adalah satu kesalahan di bawah EAA. Kementerian mengambil pandangan serius terhadap isu ini dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan mendakwa agensi pekerjaan yang melakukan kesalahan," tambah beliau.

MOM pertama kali memaklumkan kepada orang ramai tentang catatan iklan di Carousell pada 14 September sambil menyatakan pihaknya diberitahu tentang kes pembantu rumah yang "diiklankan secara tidak wajar" di Carousell.

Pengguna Carousell dengan nama akaun 'maid.recruitment' memuat naik beberapa iklan yang menunjukkan pembantu rumah dari Indonesia berserta nama dan usia mereka.

Carousell kemudian memaklumkan sudah mengesan sekitar 50 iklan seperti itu dan menurunkannya.

Pada Rabu MOM menyatakan agensi pekerjaan tidak boleh mengabaikan klien mereka yang juga termasuk pembantu rumah.

"Kementerian memberi amaran tegas terhadap agensi-agensi pekerjaan agar tidak membuat tindakan seserupa yang menjatuhkan maruah pembantu rumah asing yang bekerja di Singapura," tegas MOM.

Kementerian tersebut menambah pihaknya sudah menghubungi Kedutaan Indonesia dan memberitahunya tentang siasatan yang dijalankan.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan