Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

MND tiada 'sebarang masalah' terima ketiadaan tender bagi ejen pengurusan AHTC

Kementerian Pembangunan Negara (MND) dan menterinya ketika itu, Khaw Boon Wan, "tiada masalah" untuk menerima hakikat bahawa Majlis Bandaran Aljunied-Hougang (AHTC) tidak melakukan tender untuk mendapatkan sebuah ejen pengurusan. 

Anggaran Waktu Membaca:
MND tiada 'sebarang masalah' terima ketiadaan tender bagi ejen pengurusan AHTC

Gambar fail Majlis Bandaran Aljunied-Hougang. (Gambar: TODAY)

Diterbitkan : 10 Oct 2018 06:43PM Dikemas Kini : 11 Oct 2018 12:17AM

SINGAPURA: Kementerian Pembangunan Negara (MND) dan menterinya ketika itu, Khaw Boon Wan, "tiada masalah" untuk menerima hakikat bahawa Majlis Bandaran Aljunied-Hougang (AHTC) tidak melakukan tender untuk mendapatkan sebuah ejen pengurusan. Langkah itu "dilaksanakan dengan betul", kata peguam bela dalam perbicaraan hari ini (10 Okt).

Sebelum ini, syarikat audit KPMG dalam laporannya pada Oktober 2016 menyatakan, pengecualian itu "tidak wajar". Syarikat audit itu juga membuat kesimpulan bahawa kontrak antara AHTC dengan FM Solutions and Services (FMSS) juga tidak dilakukan "dengan cara yang betul".

Laporan KPMG itu membentuk sebahagian daripada asas bagi tuntutan mahkamah terhadap para Anggota Parlimen Low Thia Khiang, Sylvia Lim dan Pritam Singh dari Parti Pekerja (WP), serta para pegawai majlis bandaran AHTC dan kakitangan FMSS.

FMSS, sebuah syarikat baru, dilantik oleh ejen pengurusan majlis bandaran itu selepas WP menang GRC Aljunied dalam Pilihan Raya Umum 2011.

Ketiga-tiga AP WP itu dituduh melanggar tanggungjawab fidusiari mereka apabila melantik FMSS, yang dipercayai menyebabkan bayaran tidak wajar sekitar S$33 juta dibuat kepada syarikat itu dan penyedia khidmatnya.

Dalam pemeriksaan balas yang dilakukan terhadap Pengarah Eksekutif KPMG Owen Hawkes pada Rabu (10 Okt), Encik Rajah merujuk kepada petikan kenyataan dalam perbahasan Parlimen pada 13 Mei 2013 apabila Encik Khaw menyentuh tentang pengecualian tender, selain isu-isu majlis bandaran yang lain.

Encik Rajah menukil Encik Khaw sebagai berkata dalam ucapannya: "Peraturan Kewangan Majlis-Majlis Bandaran (TCFR) juga memberi kebebasan kepada majlis-majlis bandaran atau para pengerusinya untuk mengecualikan syarat-syarat bagi membuka tender.

"Cik Sylvia Lim seharusnya tahu tentang perkara ini kerana beliau menggunakan kebebasan itu apabila majlis bandaran berkenaan mengecualikan persaingan dan melantik FMSS sebagai ejen pengurusannya pada 2011.

"MND meninggalkan keputusan itu kepada Cik Lim dan tidak membantah. Kami harus menguatkuasakan Akta Majlis-Majlis Bandaran dan TCFR secara adil dan konsisten.

Gambar lukisan Encik Rajah dan Encik Hawkes semasa perbicaraan pada 10 Oktober. (Ilustrasi: Lydia Lam) 

Encik Rajah berhujah: "Encik Khaw kelihatan tidak mempunyai banyak masalah dengan dengan hakikat bahawa tiada tender dibuat, berhubung perjanjian kontrak ejen pengurusan yang pertama." 

"KHIDMAT TIDAK TERJEJAS", MENURUT LAPORAN MND PADA 2013 

Encik Rajah kemudian merujuk kepada petikan dalam laporan MND pada 2013 yang dikeluarkan selepas perdana menteri mengarahkan kementerian itu supaya menyemak semula penjualan sofwe Sistem Pengurusan Majlis Bandaran (TCMS) milik majlis-majlis bandaran PAP kepada syarikat IT, Action Information Management (AIM).

Dalam laporannya, MND menyatakan bahawa pasukan semakan mendapatkan maklum balas daripada Majlis Bandaran Potong Pasir (PPTC) dan AHTC.

Pasukan semakan itu mendapati bahawa bagi PPTC dan AHTC, "kebanyakan sistem dan kontrak utama diteruskan selepas peralihan itu, yang memastikan khidmat kepada para penduduk dapat diteruskan," menurut laporan berkenaan.

"Satu-satunya pengecualian adalah kontrak-kontrak ejen pengurusan, di mana kedua-dua majlis bandaran melantik ejen-ejen pengurusan baru," menurut laporan itu lagi.

"Oleh kerana adanya keperluan mendesak di pihak majlis-majlis bandaran tersebut, kedua-duanya meniadakan persaingan menerusi tender bagi kontrak sepanjang tempoh setahun."

Encik Rajah menarik perhatian bahawa laporan itu menyatakan bahawa "khidmat-khidmat tidak terjejas langsung," dan pelantikan FMSS oleh AHTC "membolehkan AHTC untuk memastikan khidmat kepada para penduduk dapat diteruskan."

"Nampaknya itulah pandangan MND," kata Encik Rajah.

Encik Hawkes bersetuju sambil berkata: "Saya tidak begitu memahami mengapa mereka rasa bahawa melantik ejen pengurusan yang baru adalah satu-satunya cara untuk memastikan khidmat dapat diteruskan, namun nampaknya itulah kesimpulan mereka."

Encik Rajah kemudian bertanya Encik Hawkes sama ada beliau tahu mengenai kenyataan yang dibuat oleh Encik Khaw dan MND apabila laporan KPMG itu dikeluarkan.

Encik Hawkes berkata beliau tahu mengenai kenyataan tersebut tetapi beliau tidak memeriksa dengan MND kerana "tugas kami adalah untuk meneliti, misalnya, kesan-kesan sebenar pengecualian itu dan sama ada ia dilaksanakan mengikut TCFR."

Encik Hawkes juga menarik perhatian bahawa laporan yang dirujuk oleh Encik Rajah dikeluarkan sebelum laporan oleh Pejabat Peguam Negara (AGC) yang mendapati kelemahan-kelemahan penting dalam pentadbiran dan pematuhan di majlis bandaran itu. KMPG dilantik untuk meneliti akaun-akaun AHTC selepas laporan itu dikeluarkan.

Encik Rajah menggulung pemeriksaan balasnya terhadap Encik Hawkes pagi tadi (10 Okt), iaitu hari keempat bagi perbicaraan berhubung kes tersebut. Perbicaraan diteruskan pada sebelah tengah hari dengan seorang lagi peguam bela, Leslie Netto, mula menyoal Encik Hawkes. 

Sumber : CNA/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan