Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Menteri Perumahan M'sia Zuraida Kamaruddin mahu bawa konsep HDB ke negaranya

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Malaysia, Zuraida Kamaruddin, mahu membawa konsep perumahan sosial dan awam Singapura, iaitu Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB), ke Malaysia bagi memperkasakan golongan yang tiada rumah dan keluarga berpendapatan rendah di negaranya.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAMediacorp: Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Malaysia, Zuraida Kamaruddin, mahu membawa konsep perumahan sosial dan awam Singapura, iaitu Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB), ke Malaysia bagi memperkasakan golongan yang tiada rumah dan keluarga berpendapatan rendah di negaranya.

Bercakap dalam wawancara eksklusif dengan BERITAMediacorp, Cik Zuraida mendedahkan beliau mahu menerapkan satu konsep pembangunan masyarakat yang "ada integrasi antara yang miskin dan kaya", sebagaimana yang diterapkan perumahan HDB.

Cik Zuraida, yang pernah mendapat pendidikan di Singapura, termasuk di Sekolah Perempuan Tanjong Katong (TKGS), kini dalam rangka lawatan rasmi tiga hari ke Singapura, bermula semalam (5 Jul).

TEKAD BAWA PERUBAHAN KEPADA DASAR PERUMAHAN M'SIA

Sejak menyandang jawatan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Malaysia kurang dua bulan lalu (pada 21 Mei), Cik Zuraida Kamaruddin berkata beliau bertekad mahu membawa perubahan kepada dasar-dasar perumahan di Malaysia.

Ini termasuklah mengambil langkah lebih tegas dalam pelaksanaannya.

Malah, antara contoh perumahan yang baik, kata beliau, ialah di Singapura.

Atas sebab itu, beliau kini melakukan lawatan rasmi tiga hari ke Singapura, demi mempelajari perkembangan dan perancangan terkini, serta meneliti sejarah dan latar belakang yang mendorong pembangunan perumahan di sini.

(Gambar: Ira Musfirah)

Cik Zuraida berkongsi bahawa beliau memang "amat tertarik" dengan sistem perumahan Singapura.

"Pertama sekali, saya adalah bekas warga negara Singapura, jadi saya membesar di sini. Saya melihat perkembangan perumahan di Singapura. Saya lihat nampak teratur, terancang. Mungkin saya tidak boleh mengambil 100 peratus tetapi ada perkara yang saya boleh gunakan untuk konsep rumah masa depan untuk Malaysia," kongsi beliau kepada BERITAMediacorp.

Semasa di Singapura, Cik Zuraida antara lain melawat-lawat Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA), Taman Ang Mo Kio, serta beberapa pembangunan bersepadu yang besar seperti Hab Tampines Kita dan juga Hab HDB di Toa Payoh.

(Gambar: Ira Musfirah)

Di Hab HDB yang dilawatinya hari ini (6 Jul), Cik Zuraida diberi taklimat tentang pengurusan, perancangan dan pelaksanaan perumahan di Singapura oleh para pegawai HDB.

ZURAIDA: HUBUNGAN S'PURA-M'SIA TIADA MASALAH

Mengulas hubungan dua hala antara Singapura dengan Malaysia yang kini diterajui kerajaan baru pimpinan Pakatan Harapan, Cik Zuraida mengalu-alukan kerjasama berterusan antara kedua-dua negara di masa depan.

"Hubungan antara Malaysia dan Singapura tidak ada masalah, asalkan kita kekalkan hubungan diplomatik yang sedia ada kita akan bergerak seperti ada, tetapi saya juga memandang bahawa Singapura sebuah negara maju.

(Gambar: Our Tampines Hub/ Facebook)

"Saya rasa tidak ada masalah untuk meneruskan hubungan dengan Malaysia dengan kerajaan yang baru juga. Saya rasa kita ada dalam keadaan yang bersependapat," jelas Cik Zuraida.

'LEPAS RINDU' DI TKGS

Cik Zuraida yang pernah bersekolah di Singapura dari peringkat sekolah rendah sehinggalah ke universiti, juga pernah menjadi pembahas di Sekolah Perempuan Tanjong Katong (TKGS).

Lantaran itu, beliau tidak melepaskan peluang dan berkunjung ke TKGS semalam untuk bertemu dengan sebilangan alumni dan para pelajarnya.

(Gambar: Ihsan pihak Cik Zuraida Kamaruddin)

Malah beliau yang pernah menjadi kapten pasukan sofbal TKGS turut 'melepaskan rindu' dan bermain bola lisut buat seketika dengan para pelajar di sini.

(Gambar: Ihsan pihak Cik Zuraida Kamaruddin)

Cik Zuraida memberitahu BERITAMediacorp bahawa beliau akur pengalamannya membesar di Singapura sedikit sebanyak membentuk dirinya sebagai seorang pemimpin.

Beliau kini juga menggalas jawatan sebagai Ketua Wanita Pakatan Harapan Malaysia.

BAGAIMANA S'PURA BENTUK KEPERIBADIAN BELIAU

"Saya ingat disiplin saya dan juga sistem pendidikan yang mana ketika itu menggabungkan pembelajaran dan riadah kesukanan. Jadi di situ membina kekuatan saya sebagai seseorang yang positif dan juga seorang yang tidak mudah mengalah dan saya nak buat sesuatu, saya nak kena ada hasilnya.

(Gambar: Ihsan pihak Cik Zuraida Kamaruddin)

"Jadi dengan itu baru kita boleh nilaikan pencapaian kita. Jadi ini yang paling penting - disiplin dan juga fokus. Anda harus fokus dan melihat apa hasil anda," kongsi Cik Zuraida lagi tentang 'sumbangan' Singapura yang membentuk keperibadian beliau.

Dalam lawatan di Singapura ini, beliau turut mengadakan pertemuan dengan Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY), Grace Fu pagi tadi (6 Jul).  

LAPORAN BERKAITAN:

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan