Images
  • heng swee
    Menteri Kewangan Heng Swee Keat.

Menteri muda harus fokus pada agenda negara, bukan penggantian pucuk pimpinan saja

BALI: Para menteri lebih muda dalam Kabinet Singapura harus tidak hanya menumpukan kepada penggantian pucuk pimpinan. Mereka juga harus fokus kepada agenda negara untuk masa depan, menurut Menteri Kewangan Heng Swee Keat pada Jumaat (12 Okt).

Beliau berkata demikian dalam satu wawancara bersama para wartawan di luar
mesyuarat Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia di Nusa Dua, Bali.

Menjawab soalan berhubung rentak penggantian pucuk kepimpinan seterusnya dan calon mana yang sedang mendahului untuk menjadi Perdana Menteri seterusnya, Encik Heng berkata bahawa para menteri lebih muda di Kabinet sedang bekerjasama dan "amat memahami antara satu sama lain".

Encik Heng menekankan bahawa para pemimpin "mesti terus membuat kemajuan" dan akan membincangkan isu-isu tersebut dengan lebih terperinci dalam bulan-bulan mendatang.

Bulan lalu, Menteri Undang-Undang K Shanmugam berkata bahawa rakyat Singapura akan mendapat gambaran lebih jelas tentang identiti perdana menteri Singapura seterusnya pada 2019. Beliau menambah bahawa ia akan lebih jelas selepas pemilihan anggota Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) Parti Tindakan Rakyat (PAP), yang dijadual berlangsung pada lewat tahun ini.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri menambah bahawa generasi pemimpin seterusnya sudah diberikan portfolio-portfolio berlainan dan memerlukan "lebih masa bersama rakyat Singapura agar rakyat Singapura boleh melihat dan menilai mereka sendiri".

Menurut Encik Shanmugam lagi, terdapat "sekumpulan kecil" menteri-menteri muda yang kerap berjumpa setiap minggu, tanpa kehadiran Perdana Menteri atau menteri-menteri kanan, untuk berbincang dasar-dasar. 

- CNA/NA/na

Top