Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

MENDAKI berjaya pertingkat kehidupan masyarakat dengan sokongan badan Melayu/Islam

Dengan sokongan badan-badan Melayu/Islam, MENDAKI berjaya meningkatkan kehidupan masyarakat melalui program pendidikan dan sosialnya, menurut Perdana Menteri Lee Hsien Loong semasa menyampaikan ucapannya di Rapat Umum Hari Kebangsaan 2018 pada Ahad (19 Ogos).

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 19 Aug 2018 07:50PM Dikemas Kini : 19 Aug 2018 11:18PM

SINGAPURA: Dengan sokongan badan-badan Melayu/Islam, MENDAKI berjaya meningkatkan kehidupan masyarakat melalui program pendidikan dan sosialnya.

MENDAKI memainkan peranan penting dalam kemajuan pelajar Melayu yang memberangsangkan sepanjang beberapa dekad.

Ini menurut Perdana Menteri Lee Hsien Loong semasa menyampaikan ucapannya di Rapat Umum Hari Kebangsaan 2018 pada Ahad (19 Ogos).

Tambah PM Lee, kemajuan-kemajuan tersebut mencerminkan usaha baik yang dijalankan oleh MESRA, MUIS dan MENDAKI yang disebut oleh Menteri Bertangungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli sebagai M³.

PELAN M³ BOLEH BANTU TANGANI CABARAN MASYARAKAT

"Masagos dan para AP Melayu PAP telah melakar satu pelan bertindak untuk M³. M³ akan bekerjasama, menyatukan sumber-sumber dan berkolaborasi bersama Pemerintah dan badan-badan Melayu/Islam yang lain. Dengan itu, mereka akan lebih mampu menangani cabaran masyarakat," kata PM Lee.

Menurut PM Lee lagi, cabaran-cabaran tersebut termasuk memastikan semua kanak-kanak mengikuti prasekolah, memperkasa dan membimbing belia, serta membantu golongan yang ketinggalan akibat dadah dan isu-isu sosial.

"Langkah pertama telahpun diambil – MUIS dan MENDAKI akan menubuhkan sebuah pejabat bersama di WGS dan tujuh lagi badan Melayu/Islam akan memulakan sebuah pusat khidmat sehenti atau MMO Hub di situ.

SEIKAT BAK SIRIH, SERUMPUN BAK SERAI

"Saya setuju dengan rancangan M³. Saya sokong mereka sepenuhnya. Kerjasama ini sangat baik seperti yang digambarkan peribahasa Melayu, seikat bak sirih, serumpun bak serai.

"Untuk berjaya, M³ perlukan sokongan padu masyarakat. Saya harap lebih ramai orang Melayu akan menyumbang kepada masyarakat menerusi M³, tidak kiralah sama ada anda sukarelawan baru, ataupun sudah berkhidmat dengan masjid atau badan Melayu/Islam. Marilah kita sama-sama turun padang membantu golongan yang memerlukan demi memajukan masyarakat," kata PM Lee.

M³ PUPUK KEBANGGAAN MASYARAKAT, SEMANGAT WAJA

Menggulung ucapannya dalam bahasa Melayu, Perdana Menteri berkata M³ memupuk dalam diri masyarakat rasa bangga, semangat waja, dan keinginan membantu satu sama lain untuk berjaya.

Para murid di kelas Skim Tuition Mendaki (Gambar: Yayasan MENDAKI)

(Gambar: Yayasan MENDAKI)

"Saudara saudari sekalian, ternyata masyarakat Melayu/Islam boleh berbangga dan meraikan banyak pencapaiannya. Ramai di kalangan anda yang berjaya – sama ada secara perseorangan atau berkumpulan. Anda juga berjaya memupuk semangat bantu diri dan gotong-royong yang teguh," ujar PM Lee.

"Pada masa yang sama, anda masih berpegang teguh kepada identiti yang unik dan tetap menjadi sebahagian penting Singapura. Dan Singapura harus kekal sebagai sebuah negara di mana semua orang Melayu boleh memenuhi aspirasi masing-masing. Marilah kita bekerjasama bagi memperkukuhkan lagi keharmonian masyarakat berbilang kaum, dan berkembang maju bersama-sama sebagai satu rakyat, satu Singapura.

"Terima kasih dan Selamat Hari Raya Haji," kata PM Lee semasa menggulung ucapannya. 

Sumber : BERITA Mediacorp/MM/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan