Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Masagos: Terima kasih Universiti Al-Azhar, Universiti Jordan kerana 'jaga' pelajar S'pura

Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli menyuarakan komitmen Singapura untuk memperkukuh kolaborasi dalam Pendidikan Islam dengan Universiti Jordan dan Universiti Al Azhar bagi manfaat bersama.

Anggaran Waktu Membaca:
Masagos: Terima kasih Universiti Al-Azhar, Universiti Jordan kerana 'jaga' pelajar S'pura

Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli bersama Sheikh Saleh Abbas, Pemangku Timbalan Imam Besar Universiti Al Azhar. (Gambar: MCI)

SINGAPURA: Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli menyuarakan komitmen Singapura untuk memperkukuh kolaborasi dalam Pendidikan Islam dengan Universiti Jordan dan Universiti Al-Azhar bagi manfaat bersama.

"Saya berasa besar hati kedua-dua institusi itu juga berminat bekerjasama," tulis beliau dalam catatan tersebut.

Beliau menyatakan demikian dalam catatan di laman Facebook hari ini (18 Okt) sebagai menggulung lawatannya ke tiga negara Timur Tengah - Mesir, Jordan dan Oman. Beliau sudahpun selamat kembali ke tanah air.

Semasa lawatan ke Jordan dan Mesir, Encik Masagos turut bertemu dengan para pemimpin dan cendekiawan di institusi-institusi berkenaan bagi mengucapkan rasa terima kasihnya kerana menjadi "tuan rumah yang baik kepada para penuntut kami dan memastikan mereka dilatih dengan baik dan selamat".

Presiden Universiti Jordan Profesor Abdel Karim Al-Qudah dan pasukannya memberikan pengenalan ringkas kepada program universiti itu. (Gambar: MCI)

Presiden Universiti Jordan Profesor Abdel Karim Al-Qudah dan pasukannya memberikan pengenalan ringkas kepada program universiti itu. (Gambar: MCI)

Menurut Encik Masagos, jumlah penuntut Singapura di universiti-universiti Jordan juga meningkat pantas sejak beberapa tahun lalu, dan kini ia mencapai 162 orang kini.

"Model toleransi dan dialog silang agama Jordan menyediakan platform baik bagi penuntut kami memberi konteks kepada agama mereka dalam masyarakat berbilang agama dan kaum," jelasnya.

Semasa melawat-lawat Universiti Jordan, Encik Masagos menyaksikan bagaimana pengajaran di Fakulti Syariah dijalankan dan bertemu dengan beberapa pelajar Singapura di kampus tersebut. Sekitar 50 mahasiswa Singapura sedang mengikuti pengajian di Universiti Jordan.

Rombongan Singapura bertemu sebilangan daripada 50 penuntut Singapura di Universiti Jordan termasuk Nurul Iman Najeeb, penuntut tahun ketiga dalam Perbankan Islam.

Rombongan Singapura bertemu sebilangan daripada 50 penuntut Singapura di Universiti Jordan termasuk Nurul Iman Najeeb, penuntut tahun ketiga dalam Perbankan Islam. (Gambar: MCI)

BOLEH BELAJAR DARI PUSAT PEMANTAUAN EKSTREMISME AL-AZHAR

Semasa di Kaherah pula, Encik Masagos meluangkan masa melawat Pusat Pemantau Al-Azhar bagi Memerangi Pelampauan. Pusat itu memantau ideologi ekstremisme di wadah online dan menerbitkan pelbagai sanggahan dalam pelbagai bahasa.

"Kami semestinya boleh belajar daripada pengalaman Pusat ini dalam menangkis ekstremisme dan pengganasan," tulis Encik Masagos di Facebook beliau itu.

Dalam pada itu semasa pertemuan dengan Pemangku Timbalan Imam Besar Universiti Al-Azhar, Sheikh Saleh Abbas, delegasi Singapura mengadakan perbincangan mendalam tentang peranan pendidikan tinggi Islam dalam menyebarkan mesej keamanan dan kesederhanaan di dunia.

"Terima kasih kepada semua yang membantu menjadikan lawatan pendek ini sesuatu yang sangat membuahkan hasil," tulisnya lagi.

Lawatan di Pusat Pemantau Al-Azhar bagi Memerangi Pelampauan. (Gambar: MCI)

SETUJU PENTINGNYA PERKONGSIAN ILMU TENTANG HURAIAN SEKITARAN

Dalam pada itu, Encik Masagos yang juga Menteri Sekitaran dan Sumber Air, turut mengadakan perbincangan dengan rakan-rakan sejawatannya di Oman, Jordan dan Mesir seperti Menteri Sekitaran Mesir, Dr Yasmin Fouad, dan Menteri Pertanian dan Sekitaran Jordan Ibrahim Shahahdeh. Mereka berbincang tentang cabaran sekitaran yang dihadapi negara masing-masing.

Pertemuan dengan Menteri Pertanian dan Sekitaran Jordan Ibrahim Shahahdeh. (Gambar: MCI)

Dalam catatan tersebut, Encik Masagos berkongsi mereka turut bersetuju tentang pentingnya pembangunan mampan, kerjasama lebih kukuh dan perkongsian ilmu mengenai huraian sekitaran.

Encik Masagos ke Timur Tengah mengiringi Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, Teo Chee Hean.

Lawatan tersebut juga adalah yang pertama bagi Encik Masagos ke Timur Tengah sejak menyandang jawatan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam.

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan