Images
  • Mendaki (3)
    (Gambar: BERITAmediacorp)

Masagos: Kriteria Anugerah MENDAKI akan disemak supaya selaras dengan sistem nasional

SINGAPURA: Para pelajar madrasah yang menerima Anugerah MENDAKI bagi kategori GCE 'O', meningkat 100 peratus tahun ini.

Penerima Anugerah Cemerlang MENDAKI - iaitu bagi mereka yang meraih ijazah Kepujian Kelas Pertama atau yang bersamaan dengannya - juga naik kepada 73 penerima tahun ini.

Namun demikian, Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli hari ini mendedahkan, MENDAKI akan menyemak kriteria pemberian Anugerah MENDAKI supaya selaras dengan sistem nasional.

590 PENERIMA JUMLAH REKOD TERTINGGI ANUGERAH MENDAKI

Hampir 590 pelajar Melayu/Islam diiktiraf hari ini kerana cemerlang dalam pelajaran. Jumlah itu adalah rekod tertinggi sejak Anugerah MENDAKI diperkenalkan 36 tahun lalu.

Anugerah disampaikan oleh Encik Masagos Zulkifli dan Menteri Tenaga Manusia merangkap Menteri Kedua Ehwal Dalam Negeri Josephine Teo.


(Gambar: MENDAKI)

Tahun ini juga menyaksikan jumlah tertinggi penerima dalam kalangan para pelajar madrasah, Institut Pendidikan Teknikal (ITE) dan juga universiti.

Hampir 60 pelajar ITE menerima Anugerah MENDAKI kali ini berbanding 55 orang pada tahun lalu.

Lebih memberangsangkan lagi, 38 pelajar madrasah diiktiraf kerana menunjukkan prestasi cemerlang dalam peperiksaan GCE 'O' mereka pada tahun lalu.

Jumlah itu suatu peningkatan besar berbanding 19 penerima dalam kategori yang sama tahun lalu.

PELAJAR MADRASAH PERTAMA YANG LAYAK TERIMA ANUGERAH MENDAKI PERINGKAT GCE A

Buat pertama kalinya, terdapat pelajar madrasah yang layak menerima Anugerah MENDAKI bagi peringkat GCE A. 

Salah seorang daripada dua penerima pertama bagi kategori ini ialah Masturah Sulaiman dari Madrasah Alsagoff Al-Arabiah.

"Saya rasa amat bangga kerana bukan sahaja saya menaikkan nama madrasah saya sendiri tetapi untuk madrasah-madrasah seluruhnya. Semua madrasah yang berada di Singapura sekarang," Cik Masturah memberitahu BERITAmediacorp.

Cik Masturah kini menuntut di Universiti Pengurusan Singapura (SMU) dalam jurusan Sistem Maklumat untuk meneroka bidang-bidang baru sebelum meneruskan pengajian dalam bidang ukhrawi sekali lagi.


Cik Masturah Sulaiman. (Gambar: MENDAKI)

DARIPADA 9 KEPADA 73 PENERIMA ANUGERAH CEMERLANG

Sementara itu, pelajar Melayu/Islam yang cemerlang di peringkat universiti pula terus bertambah berlipat kali ganda.

Jika pada tahun 2012 hanya sembilan graduan dinobatkan dengan Anugerah Cemerlang MENDAKI - iaitu mengiktiraf mereka yang lulus dengan ijazah Kepujian Kelas Pertama atau yang setaraf dengannya - tahun ini penerima anugerah berprestij itu jauh lebih ramai.

Bilangannya mencecah 73 orang. Dalam lain perkataan, pertambahan tujuh kali ganda dalam tempoh tujuh tahun sahaja.

Pada tahun lalu pula seramai 63 orang graduan menerima anugerah tersebut.

Menurut perangkaan MENDAKI, kebanyakan penerimanya datang dari universiti tempatan dengan jumlah paling ramai adalah dari Universiti Teknologi Nanyang - 23 penerima. Kedua paling ramai adalah dari Institut Teknologi Singapura (22). Para penerima lain datang dari Universiti Nasional Singapura (7), La Salle (6), Institut Pendidikan Nasional (4), Universiti Pengurusan Singapura (2) dan universiti-universiti luar negara (8).

UMIFARHANA HARON - ANTARA PELAJAR MELAYU CEMERLANG DARI SIT

Cik Umifarhana Haron, 29 tahun, merupakan salah seorang penerima Anugerah Cemerlang MENDAKI itu. Beliau bertekad mengambil cuti kerja tanpa gaji selama dua tahun demi mempertingkatkan dirinya. Ini meskipun sudah sekitar enam tahun beliau meninggalkan bangku sekolah.

Berbekalkan semangat juang yang kental, bekas mahasiswa Institut Teknologi Singapura (SIT) dalam jurusan Seni Bina Perkapalan itu, berjaya menggenggam ijazah ijazah Kepujian Kelas Pertama.


Cik Umifarhana Haron. (Gambar: MENDAKI)

Tambah manis lagi, Cik Umifarhana boleh berbangga kerana segala jerih payah yang diharungi itu 'dibayar' dengan Anugerah Cemerlang MENDAKI.

"Pembelajaran sepanjang hayat amat penting kerana kita tidak harus meletakkan had pada diri anda. Pendidikan amat penting untuk seseorang itu berjaya. Tanpa pendidikan sukar untuk kita terus maju (to grow as a person). Setiap orang perlu menimbangkan untuk terus belajar sepanjang hayat," Cik Umifarhana memberitahu BERITAmediacorp.

UKUR TARA PEMBERIAN ANUGERAH PERLU DIPERKETAT

Bagi Encik Masagos, pencapaian akademik anak-anak Melayu/Islam yang saban tahun menunjukkan prestasi amat memberangsangkan, adalah sesuatu yang boleh dibanggakan.

Sungguh pun demikian, landskap pendidikan Singapura yang sudah banyak berubah memerlukan juga anjakan paradigma bahawa kejayaan setiap individu bukan terletak hanya pada pencapaian akademik. Sebaliknya ia perlu lebih menyeluruh.

Lantaran itu, beliau yang juga merupakan Pengerusi MENDAKI mendedahkan bahawa badan bantu diri itu kini mahu mengetatkan lagi ukur tara bagi pemberian Anugerah MENDAKI bagi penganugerahan seterusnya.


Di majlis itu, Encik Masagos mendedahkan bahawa MENDAKI akan menyemak semula kriteria-kriterianya agar ia bukan sahaja mengambil kira kecemerlangan akademik, tetapi meneliti juga pencapaian pelajar dalam bidang-bidang lain.

"Kalau kita lihat, sistem pendidikan di Singapura telah berkembang dengan cara yang berbeza dengan mungkin dekad-dekad yang lalu. Kerana kita melihat kepada pencapaian yang berbeza dengan apa yang kita menilainya tinggi pada masa-masa yang lepas. Jadi kita juga harus menyelaraskan anugerah kita selaras dengan perkembangan yang berlaku di sistem pendidikan nasional," kata Encik Masagos.

MENDAKI akan mengadakan rundingan dan bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan (MOE) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (PSC) untuk memastikan anugerah-anugerah yang diberikan pada masa akan datang selaras dengan rangka kerja nasional.

Encik Masagos tidak memberikan perincian lanjut mengenai semakan tersebut namun menambah bahawa ia akan dilakukan pada tahun ini dan diumumkan pada tahun depan.

MASAGOS SENDIRI TERIMA ANUGERAH CEMERLANG MENDAKI 30 TAHUN DULU

Dalam pada itu, acara hari ini bak sireh pulang ke gagang bagi Encik Masagos, kerana beliau sendiri menjadi penerima Anugerah Cemerlang MENDAKI genap 30 tahun lalu.

Pada 1988, beliau lulus dengan ijazah Kepujian Kelas Pertama dalam kejuruteraan elektrikal dan elektronik dari Universiti Teknologi Nanyang.

Bercakap kepada para penerima Anugerah MENDAKI hari ini, beliau berharap mereka yang sudah berjaya akan menyumbang kembali kepada masyarakat.

"Saya juga mengingatkan kepada para pelajar nanti apabila mereka telah menjadi yang berjaya dalam kerjaya mereka, tidak lupa untuk menyumbang kembali kepada masyarakat kerana masih ada yang perlu dibimbing untuk menjadi berjaya seperti mereka," ujar Encik Masagos.  

- BERITAmediacorp/nk

Top