Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Masagos: Asatizah S'pura perlu aktif di luar badan agama

Pergas merancang untuk menyemak semula buku "Kesederhanaan dalam Islam" yang ditulis berdasarkan perhimpunan pada 2003. Buku yang baru akan disunting berdasarkan kepada rumusan Mufti dan contoh-contoh isu semasa.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAMediacorp: Isu fahaman pelampau, liberalisme dan perbezaan pendapat dalam Islam dibincangkan dengan mendalam dalam majlis Muktamar Ulama yang dianjurkan oleh Pergas pada hari ini (12 Ogos).

Sesi perbincangan di dewan Masjid Sultan itu dan dihadiri 300 asatizah tempatan.

Perbincangan berjalan secara terbuka dengan isu-isu serta penghuraiannya dikupas memperkenalkan konsep wasatiyyah, iaitu kesedarhanaan dalam Islam.

Enam kertas kerja dibentangkan dalam tiga sesi yang berbeza berkaitan dengan Kesederhanaan dalam Islam yang disampaikan oleh barisan asatizah tempatan. Pembentangan sesi pertama turut disertai oleh Encik Masagos Zulkifli, Menteri Sekitaran dan Sumber Air serta Mufti Negara, Dr Mohamed Fatris Bakaram.

ASATIZAH DIGALAK PROAKTIF DI LUAR INSTITUSI AGAMA

Dalam memberikan respons terhadap cabaran yang dihadapi masyarakat Melayu/Islam pada hari ini, Encik Masagos berkata pendekatan sederhana atau moderat yang diusulkan oleh Pergas itu penting untuk diterapkan khususnya di dalam mendukung kehidupan makmur dan berharmoni masyarakat berbilang kaum dan agama.

Namun, selain daripada usaha tersebut Encik Masagos mengajak asatizah untuk mempertimbangkan agar terus aktif bukan hanya di badan-badan agama, malah dalam pertubuhan akar umbi, bahkan persatuan kebajikan agama lain sekalipun. Usaha ini menurutnya akan dapat mencerminkan dan menjadikan asatizah sebagai duta-duta utama agama Islam yang menyumbang kepada kebaikan.

ENCIK MASAGOS: EKSTREMISME AGAMA BOLEH JADIKAN MASYARAKAT MUSLIM EKSKLUSIF

Encik Masagos juga menekankan ancaman ekstremisme dalam agama terhadap integrasi kaum:

"Isu ekstremisme ini tidak terbatas kepada pengganasan semata-mata, malah isu ekstrim dalam beragama dan kepercayaan juga boleh menjadi sesuatu yang membimbangkan jika ianya melampaui batas yang ditetapkan oleh agama Islam itu sendiri.

"Di Singapura ia boleh menyebabkan masyarakat Islam menjadi eksklusif dan akhirnya memisahkan masyarakat Islam dari masyarakat yang lain," katanya.

Encik Masagos turut mengingatkan kesan elemen luar yang mampu merubah dan mempengaruhi cara sesetengah masyarakat Melayu/Islam menjalani kehidupan beragama di sini. Di antaranya bagaimana ia mampu menghakis ciri, nilai kebudayaan dan warisan Melayu.

KURIKULUM AGAMA AKAN DIPERKEMBANG MENGIKUT PENDEKATAN SEDERHANA

Mufti, Dr Mohamed Fatris Bakaram berkongsi bagaimana usaha menerapkan kesederhanaan itu sudah dijalankan oleh asatizah sejak sekian lama. Namun, beliau berkata usaha tersebut harus ditingkatkan dan diperkembangkan lagi sejajar dengan konteks dan perubahan yang berlaku.

"Saya rasa ini perlu berterusan, namun pada masa yang sama para asatizah perlu dibangunkan kemahiran itu, saya juga memahami bahawa dalam kurikulum yang digunakan oleh madrasah-madrasah kita, sama ada sepenuh masa atau separuh masa, yang dikendalikan oleh persatuan masjid, persatuan Islam, bergitu juga pengendali privet pendidikan Islam, saya rasa secara umumnya, terdapat kesungguhan, dan terdapat langkah-langkah positif memasukan nilai-nilai kesederhanaan itu dalam kurikulum yang ada.

"Ini perlu diperkembangkan lagi, buku-buku yang digunakan dalam kurikulum pembelajaran itu perlu dimasukkan banyak nilai ini dengan penuh kesedaran," katanya.

ASATIZAH KINI HARUS LENGKAPKAN DIRI DENGAN PENGETAHUAN MEDIA SOSIAL

Presiden Pergas, Ustaz Hasbi Hassan, berkata dalam menangani cabaran dan pengaruh di media sosial, asatizah kini harus mempersiapkan diri dengan pengetahuan media sosial.

"Jadi dengan pengetahuan yang baik tentang media sosial ini, saya rasa asatizah kita boleh diberikan peranan untuk menangani masalah tersebut.Sekurang-kurangnya, kalau seandainya ada, fikiran, buah fikiran yang tidak baik melalui media sosial, bagaimana kita sebagai asatizah, mengisikan, menggantikan dengan yang lebih baik pula, melalui media sosial juga," katanya.

Pergas merancang untuk menyemak semula buku "Kesederhanaan dalam Islam" yang ditulis berdasarkan perhimpunan pada 2003. Buku yang baru akan disunting berdasarkan kepada rumusan Mufti dan contoh-contoh isu semasa. 

Sumber : BERITA Mediacorp/UR/ru
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan