Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

MAS kenakan larangan seumur hidup ke atas bekas pengurus Goldman Sachs

Penguasa Kewangan Singapura (MAS) mengumumkan pada Rabu (19 Dis) bahawa ia mengeluarkan perintah larangan seumur hidup terhadap bekas pengurus Goldman Sachs, Tim Leissner, selepas dia mengaku kepada tuduhan-tuduhan jenayah yang dikemukakan terhadapnya oleh Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DOJ).

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 19 Dec 2018 03:24PM Dikemas Kini : 19 Dec 2018 09:19PM

SINGAPURA: Penguasa Kewangan Singapura (MAS) mengumumkan pada Rabu (19 Dis) bahawa ia mengeluarkan perintah larangan seumur hidup terhadap bekas pengurus Goldman Sachs, Tim Leissner, selepas dia mengaku kepada tuduhan-tuduhan jenayah yang dikemukakan terhadapnya oleh Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DOJ).

Tuduhan-tuduhan itu berkaitan dengan satu siasatan terhadap dana pelaburan negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Leissner didakwa DOJ pada 1 Nov dan mengaku bersalah terhadap tuduhan-tuduhan yang antaranya termasuk berkomplot untuk melakukan pengubahan wang haram.

Larangan oleh MAS itu satu lanjutan kepada perintah larangan 10 tahun terhadap Leissner yang dikeluarkan pada Mac lalu. Ia dikenakan selepas Leissner didapati mengeluarkan surat rujukan tanpa izin bagi pihak Goldman Sachs (Asia) kepada institusi kewangan yang berpangkalan di Luxemborg di mana dia membuat keterangan palsu tanpa pengetahuan syarikat berkenaan, menurut MAS.

Dia juga mengaku kepada mahkamah Amerika Syarikat bahawa dia bersubahat untuk mendapatkan perniagaan dari 1MDB bagi Goldman Sachs melalui sogokan kepada para pegawai pemerintah di Abu Dhabi dan Malaysia, dan menggelapkan dana-dana dari 1MDB bagi dirinya dan pihak lain.

"Pertuduhan-pertuduhan DOJ Amerika Syarikat dan pengakuan Encik Leissner membuktikan lagi pelibatan Encik Leissner dalam urus niaga berkaitan 1MDB, yang sebelum ini tidak diberikan ke MAS," menurut bank pusat itu.

"Selepas menimbangkan pengakuan Encik Leissner yang dia terlibat dalam konspirasi itu, serta tindakan jenayah DOJ Amerika terhadapnya, MAS memutuskan untuk menukar PO (perintah larangan) terhadapnya di bawah seksyen 101C Akta Sekuriti dan Niaga Hadapan (SFA)."

Perintah itu, antara lain, mencegahnya daripada sebarang kegiatan dikawal selia SFA. Dia juga dilarang daripada menjadi pengarah, atau pemegang saham atau pemegang lesen khidmat pasaran modal.

MAS menyatakan ia akan menimbangkan bukti baru berkaitan pelaburan dana 1MDB dan mengambil tindakan lanjut jika perlu.

"Tindakan terkini terhadap Encik Leissner diambil hasil kerjasama rapat dan siasatan berterusan oleh pihak berkuasa dan penguatkuasaan di Amerika Syarikat, Singapura dan negara-negara lain," tambahnya.  

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan