Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Manfaatkan kemajuan teknologi untuk luaskan perniagaan, gesa Presiden Halimah

Manfaatkan kemajuan teknologi untuk mengembangkan perniagaan dari peringkat mikro.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Manfaatkan kemajuan teknologi untuk mengembangkan perniagaan dari peringkat mikro.

Presiden Halimah Yacob membuat gesaan itu kepada usahawan wanita Melayu/Islam, khususnya kaum wanita yang sudah tidak lagi bekerja tetapi mahu terus menyumbang kepada ekonomi.

Beliau berucap di acara DEWIFIESTA anjuran cabang wanita Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura (DPPMS).

Sekitaran perniagaan yang dinamik di Singapura kini menyediakan banyak sokongan bagi kaum wanita memulakan perniagaan mereka.

Pemerintah juga, menurut Puan Halimah, melancarkan dan mempertingkat sejumlah skim-skim bantuan.

Ini termasuk Geran Pembangunan Keupayaan dan Geran Meningkatkan Daya Penghasilan oleh SPRING bagi menyokong perkembangan perniagaan usahawan tempatan.

Malah, tambah beliau, dunia perniagaan hari ini beruntung dengan adanya bantuan teknologi yang membuka ruang kepada perniagaan kecil berkembang ke skala lebih besar.

Ini, katanya, sekaligus memberi peluang kepada kaum wanita yang sudah meninggalkan alam pekerjaan untuk terus menyumbang kepada ekonomi.

"Jika dilakukan dengan baik, ia bukan sahaja membantu individu dan keluarga mereka meraih pendapatan, tetapi juga memajukan ekonomi. Dengan itu, saya menggesa agar semua usahawan wanita meneroka skim-skim seperti SME Go Digital yang boleh membantu anda menguruskan sumber anda dengan lebih baik," tegas Puan Halimah.

Sebuah sesi sembang dihadiri sekitar 200 peserta juga menyentuh tentang isu-isu wanita masa kini.

Peserta Nisa Jalil berkongsi: "Saya rasa fiesta ini sangat penting dan wajib terutama sekali untuk wanita-wanita Melayu yang kadang-kadang rasa kerdil. Dan kadang-kadang untuk mereka yang sedang menghadapi cabaran, mereka perlukan motivasi dan inspirasi daripada acara seperti ini."

Peserta Nurhashimah Rohim turut menyuarakan pandangan: "Cerita-cerita yang dikongsikan oleh mereka sangat memberangsangkan dan memang memberikan wanita-wanita yang mahu berkecimpung dalam bidang perniagaan motivasi."

Acara yang diadakan buat julung-julung kalinya ini juga membuka ruang kepada para usahawan wanita mengetengahkan produk mereka, termasuk pakaian, produk kecantikan dan makanan. 

Sumber : BERITA Mediacorp/NF/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan