Images
  • SINGAPORE JOHOR
    (Gambar: AFP)

Malaysia hantar 2 nota bantahan kepada S'pura berhubung pertikaian ruang udara dan maritim

SINGAPURA: Kerajaan Malaysia menyatakan pada Rabu (5 Dis) bahawa ia telah mengirimkan dua nota bantahan kepada Singapura berhubung isu ruang udara dan sempadan maritim yang dihadapi oleh kedua-dua negara.

Menurut satu kenyataan media dari Kementerian Ehwal Luar Malaysia, nota-nota tersebut disampaikan menerusi Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia,

Nota pertama adalah berkaitan penyiaran Tatacara Sistem Pendaratan Instrumen (ILS) dan Prosedur-Prosedur Pendekatan ILS untuk Lapangan Terbang Seletar pada 1 Dis 2018.

Menurut Kementerian Ehwal Luar Malaysia, ia sudah mendaftarkan "bantahan keras terhadap penerbitan tersebut oleh Penguasa Penerbangan Awam Singapura (CAAS) tanpa persetujuan kerajaan Malaysia".

Prosedur ILS merujuk kepada kemudahan bantuan penerbangan pengemudian di lapangan terbang yang menyediakan pandu arah menegak dan melintang kepada para juruterbang semasa pesawat melakukan pendaratan dan menghampiri landasan kapal terbang.

Malaysia sebelum ini membantah penerbitan ILS oleh Singapura kerana kesan laluan penerbangan Lapangan Terbang Seletar terhadap pembangunan dan operasi perkapalan di Pasir Gudang.

Nota kedua adalah berkaitan pembatasan sempadan maritim antara Malaysia dan Singapura, termasuk Had Pelabuhan Johor Bahru yang baharu dan beberapa insiden baru-baru ini berkaitan dengannya, menurut kementerian itu.

Kerajaan Malaysia "menolak secara mutlak" "dakwaan" pemerintah Singapura bahawa langkah untuk melanjutkan batas pelabuhan Johor Bharu "menyebabkan pencerobohan batas pelabuhan di perairan wilayah Singapura dekat Tuas, atau ia adalah satu pencabulan terhadap kedaulatan dan undang-undang antarabangsa".

Kementerian Ehwal Luar Malaysia menegaskan bahawa Malaysia mempuyai hak untuk mengerahkan agensi-agensi penguatkuasaan dan pelaksanaan di perairannya dan langkah tersebut "sepenuhnya berselarasan" dengan undang-undang antarabangsa.

Dalam satu kenyataan media, kementerian itu juga menekankan mengenai hubungan dua hala yang "baik dan kukuh" antara Malaysia dan Singapura dan menyarankan mesyuarat diadakan antara kedua-dua kementerian ehwal luar untuk berbincang mengenai "isu-isu sempadan maritim yang belum lagi selesai."

- CNA/NA/na

Top