Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Maktab Rendah Anderson, Serangoon antara 8 JC yang digabung

Terjejas dengan jumlah pelajar yang semakin berkurangan, lapan maktab rendah (JC) akan digabungkan pada 2019. Ini adalah kali pertama JC di Singapura digabungkan.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 20 Apr 2017 01:21PM Dikemas Kini : 20 Apr 2017 11:02PM

SINGAPURA: Terjejas dengan jumlah pelajar yang semakin berkurangan, lapan maktab rendah (JC) akan digabungkan pada 2019. Ini adalah kali pertama JC di Singapura digabungkan.

Demikian diumumkan oleh Kementerian Pendidikan (MOE) hari ini (20 Apr).

JC berikut akan digabungkan:

* Maktab Rendah Anderson dan Maktab Rendah Serangoon di timur laut Singapura, dengan sekolah yang digabungkan bertempat di Maktab Rendah Anderson.

* Maktab Rendah Meridian dan Maktab Rendah Tampines di timur Singapura, dengan sekolah yang digabungkan bertempat di Maktab Rendah Meridian.

* Maktab Rendah Yishun dan Maktab Rendah Innova di utara Singapura, dengan sekolah yang digabungkan bertempat di Maktab Rendah Yishun.

* Maktab Rendah Pioneer dan Maktab Rendah Jurong di barat Singapura, dengan sekolah yang digabungkan bertempat di Maktab Rendah Pioneer.

Sebanyak 14 sekolah rendah dan enam sekolah menengah juga akan digabungkan pada 2019, menjadikannya penggabungan terbesar yang dilaksanakan dalam tempoh 10 tahun.

Semua lapan JC adalah sekolah di bawah pemerintah yang tidak menawarkan Program Bersepadu (IP).

Penggabungan itu adalah berdasarkan jarak lokasi supaya dapat mengekalkan jumlah sekolah yang berpatutan di seluruh negara, menurut MOE, sambil menyatakan tapak-tapak bagi sekolah yang digabungkan dipilih berdasarkan kemudahan pengangkutan dan mutu prasarana.

Kadar kelahiran yang semakin berkurangan di Singapura menyebabkan kemerosotan jumlah kemasukan pelajar ke maktab rendah sejak tahun 2014, menurut MOE.

Kadar kelahiran rakyat Singapura dan Penduduk Tetap (PR) antara tahun 1993 dengan 2002 merosot dari sekitar 49,000 kepada 39,000, turun kira-kira 20 peratus.

Kemasukan pelajar ke maktab rendah antara tahun 2010 dengan 2019 juga dijangka merosot 20 peratus, dari sekitar 16,000 kepada 12,800.

"Jisim genting" yang mencukupi diperlukan untuk sesebuah sekolah menawarkan program-program pendidikan serta kegiatan luar darjah yang baik bagi para pelajar, menurut MOE.

Jumlah pelajar yang lazimnya diterima masuk ke JC1 adalah sekitar 800, menurut MOE, sambil menambah jika pihaknya tidak mengambil tindakan, beberapa buah JC mungkin akan menerima kemasukan hanya 200 hingga 400 pelajar menjelang 2019.

Jumlah pelajar dari segi lokasi tempat tinggal juga sudah berubah, menurut MOE.

"Walaupun terdapat permintaan yang tinggi bagi sekolah di estet-estet perumahan yang baru, permintaan di estet-estet matang pula semakin berkurangan.

MOE juga menyatakan, selepas penggabungan itu, pihaknya masih boleh memenuhi permintaan untuk mendapatkan tempat di JC.

4 MAKTAB RENDAH AKAN HENTI AMBIL PELAJAR

Sebanyak empat JC - Serangoon, Tampines, Innova dan Jurong - akan berhenti mengambil pelajar JC1 mulai tahun depan.

MOE menyatakan ini adalah langkah mengurangkan keperluan pelajar untuk berpindah secara fizikal ke lokasi yang lain.

Sekalipun begitu, MOE menegaskan, tiada kakitangan sekolah yang diberhentikan.

Para guru yang mengajar di maktab rendah yang terjejas akan dikerahkan ke sekolah yang digabungkan atau dikerahkan semula - sama ada ke sekolah-sekolah lain atau ke ibu pejabat MOE.

Latihan dan sokongan akan disediakan buat para guru yang dikerahkan untuk mengajar di sekolah rendah atau menengah.

Nama-nama sekolah yang digabungkan pula akan diumumkan kemudian, menurut MOE.

MOE menambah sejarah dan warisan sekolah-sekolah tersebut akan terus diturunkan kepada kohort-kohort akan datang menerusi ruang warisan yang akan dibangunkan di bangunan sekolah yang digabungkan itu.

"MOE akan berkerjasama dengan sekolah-sekolah yang terjejas bagi memastikan peralihan lancar bagi para kakitangan dan pelajar sekolah yang digabungkam, di samping menjalin identiti kukuh bagi sekolah yang digabungkan, menurut MOE. 

Sumber : CNA/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan