Images
  • molest
    Gambar hiasan.

Majikan cabul kehormatan amah, dipenjara 11 bulan

SINGAPURA: Seorang pengurus penjualan berusia 49 tahun dijatuhi hukuman penjara 11 bulan pada Jumaat (13 Jul) atas kesalahan mencabul kehormatan pembantu rumahnya pada 2016.

Francis Lim Boon Liang menggajikan pembantu rumah yang ketika itu berusia 23 tahun pada November 2016.

Lewat bulan itu, Lim yang melihat pembantu itu seorang diri di dapur, meminta pembantu itu mengucupnya, menurut dokumen mahkamah.

Lim juga berkali-kali meminta pembantu itu melakukan aksi seksual ke atasnya, sehingga mangsa rasa terpaksa menuruti permintaannya.

Semua ini berlaku semasa anak-anak Lim berada di ruang tamu dan bilik.

Mangsa berasa "marah, tidak berdaya dan malu" namun tidak membuat aduan kepada polis dengan serta-merta atas rasa hormat kepada majikannya dan kerana tidak ingin mengakibatkan masalah antara Lim dan isterinya.

Lim sekali lagi melakukan kesalahan pada Disember, di rumah ibunya di mana pembantu tersebut sedang melakukan kerja rumah.

Pada 3 Dec 2016, semasa mangsa sedang bersendirian di dapur, Lim mencabuli kehormatannya, sedang ibu dan anak Lim juga berada di rumah itu.

Pembantu rumah itu akhirnya melarikan diri ke Kementerian Tenaga Manusia keesokan harinya untuk melaporkan kejadian itu.

Timbalan Pendakwa Raya Goh Yi Ling pada Jumaat meminta hukuman penjara 12 bulan, kerana terdapat sentuhan kulit semasa insiden berlaku dan Lim menyalahguna kepercayaan sebagai majikan.

Pihak pendakwa juga menekankan, mangsa dalam keadaan tidak berdaya dan Lim hanya berhenti melakukan kesalahan apabila si mangsa melarikan diri.

Peguam bela Sunil Sudheesan memohon hukuman lebih ringan iaitu penjara lapan bulan, kerana Lim sudah mengaku bersalah dan tidak menyebabkan mangsa terpaksa menanggung trauma dengan menghadiri perbicaraan.

Pihak pembela juga mengutarakan yang Lim sedang mengalami masalah peribadi ketika itu - saudara lelaki dan bapanya masing-masing meninggal dunia pada Jun dan November 2016.

Peguam Daerah Marvin Bay menjatuhkan hukuman 11 bulan ke atasnya, atas dua kesalahan mencabul kehormatan dan menyifatkan kelakuannya sebagai "amat intrusif".

Bagi setiap kesalahan, Lim boleh dipenjara dua bulan, dikenakan denda, dirotan atau gabungan antara ketiga-tiga hukuman. 

- CNA/TQ/tq

Top