Images
  • syc
    Tempat Cik Animah Abdul Gani (kiri) akan digantikan oleh Cik Shahrina Abdol Salam. (Gambar: Mahkamah Syariah)

Mahkamah Syariah lantik Pendaftar baru, hargai khidmat Animah Abdul Gani, Pendaftar Wanita Pertama yang bersara

SINGAPURA: Mahkamah Syariah (SYC) merakamkan penghargaan yang tertinggi kepada Cik Animah Abdul Gani atas khidmat dan dedikasi beliau. Cik Animah, 70 tahun merupakan Pendaftar Wanita Pertama SYC, mengundurkan diri dari jawatannya mulai esok (13 Jan).

Tempat beliau digantikan oleh Cik Shahrina Abdol Salam, yang kini menyandang jawatan timbalan pendaftar. Cik Shahrina, 39 tahun, juga dilantik sebagai presiden ad hoc bagi tempoh dua tahun.

Cik Shahrina seorang lulusan pengajian undang-undang dari Universiti Nasional Singapura. Beliau pernah berkhidmat di Pejabat Peguam Negara (AGC) selama lapan tahun sebelum memasuki SYC.

Cik Masayu Norashikin Mohamad Amin, 41 tahun akan mengambil alih jawatan beliau. Cik Masayu sebelum ini menyandang jawatan Hakim Daerah dan Penolong Pendaftar di Mahkamah Keadilan Keluarga.

Satu acara tertutup diadakan semalam (11 Jan) bagi menghargai sumbangan Cik Animah selama ini. Beliau menjadi pendaftar wanita pertama SYC pada Mei 2007 dan pendaftar yang ketiga sejak jawatan itu diwujudkan pada 1999.

Semasa beliau berkhidmat, Cik Animah memainkan peranan penting dalam menyelia pindaan pada Pentadbiran Undang-undang Islam 2008.

Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Yaacob Ibrahim yang turut hadir berkata: "Cik Animah mempunyai pilihan untuk meneruskan kerjayanya dalam sektor privet selepas bersara daripada Perkhidmatan Undang-undang. Tetapi beliau memilih untuk berkhidmat di Mahkamah Syariah."

"Kemahiran dan pengalaman beliau amat membantu mengukuhkan Mahkamah ini. Sebagai seorang pendaftar, beliau memainkan peranan penting dalam memastikan pentadbiran undang-undang keluarga Islam cekap dan adil. Beliau menyumbang kepada SYC dengan menjalankan pelbagai peningkatan. Saya berterima kasih kepada beliau atas sumbangannya kepada Singapura dan masyarakat Islam," tambah beliau.  

- BERITAMediacorp/aq

Top