Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Mahasiswa NTU ditangkap, didakwa cabul remaja

Seorang mahasiswa Universiti Teknologi Nanyang (NTU) ditangkap. Ini setelah seorang remaja mendakwa beliau dicabul semasa mengambil bahagian dalam kegiatan yang disangka projek kajian.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 20 Jan 2018 08:44PM Dikemas Kini : 20 Jan 2018 08:48PM

SINGAPURA: Seorang mahasiswa Universiti Teknologi Nanyang (NTU) ditangkap. Ini setelah seorang remaja mendakwa beliau dicabul semasa mengambil bahagian dalam kegiatan yang disangka projek kajian.

Polis mengesahkan aduan yang dibuat dan seorang lelaki berusia 25 tahun ditangkap atas kesalahan mencabul kehormatan.

Mediacorp difahamkan, lelaki berkenaan adalah rakyat Singapura dan dia ditangkap hari ini (20 Jan). Insiden itu dikatakan berlaku pada November lalu.

Menurut Nanyang Chronicle, iaitu akhbar kampus NTU, mangsa berusia 17 tahun itu berkata beliau tertarik dengan satu iklan online di laman Gumtree, yang mencari peserta untuk menjadi sebahagian daripada satu projek kajian "simulasi tubuh".

Para peserta dijanjikan bayaran sehingga S$25 sejam. Mereka di bawah usia 16 tahun pula dijanjikan tambahan bayaran S$10 bagi setiap sesi.

Satu iklan di laman Craiglist pula dilaporkan hanya menerima peserta lelaki.

Remaja itu memberitahu Nanyang Chronicle bahawa mahasiswa berkenaan membawa beliau ke bilik asramanya pada 13 November tahun lalu dan mengarahkan beliau supaya "mandi dan keluar (dari tandas) dalam keadaan bogel".

Beliau mendakwa matanya ditutup dan kemudian beliau diikat pada katil dengan sehelai kain sebelum dicabul. Mangsa membuat aduan pada keesokan harinya.

Menurut laporan Nanyang Chronicle, remaja itu bersetuju dengan pelbagai permintaan lelaki berkenaan kerana beliau berasa takut memandangkan dia seorang yang "berbadan besar".

Dalam kenyataannya hari ini, seorang jurucakap NTU menyatakan tiada projek kajian sedemikian yang diluluskan pihak universiti.

"Tiada projek saintifik atau mahasiswa sedemikian. Sebarang kajian melibatkan penyertaan manusia mesti diserahkan kepada Lembaga Semakan Institusi untuk diteliti dan diluluskan," kata jurucakap tersebut, sambil menambah NTU memandang serius keselamatan di kampus.

"Universiti ini memandang salah laku akademik dan kajian sebagai kesalahan disiplin yang serius. Kami menyedari bahawa polis sedang menyiasat kes ini dan kami sedang membantu siasatan."

Menurut Nanyang Chronicle, mahasiswa berkenaan menafikan penglibatannya dalam iklan online tersebut.

Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan