Images
  • youths sekolah
    Para pelajar di sebuah institut pendidikan tempatan. (Gambar: TODAY)

Lulusan politeknik tidak lagi perlu keputusan GCE O untuk masuk NUS, NTU

SINGAPURA: Mulai 2020, para lulusan politeknik tidak lagi memerlukan gred GCE O untuk dipertimbangkan dalam permohonan mereka untuk memasuki Universiti Nasional Singapura (NUS) dan Universiti Teknologi Nanyang (NTU) kecuali bagi kursus-kursus tertentu.

Ini selepas Kementerian Pendidikan (MOE) memansuhkan syarat-syarat dan peraturan yang memperuntukkan 20 peratus daripada Markah Pengambilan Masuk Universiti (UAS) adalah berdasarkan keputusan GCE O para pemohon.

UAS adalah rangka kerja yang digunakan oleh enam universiti di sini sebagai tanda aras bagi mengukur keupayaan akademik para pemohon yang merancang untuk meneruskan pengajian di peringkat universiti.

Semasa mengumumkannya hari ini (8 Nov), Menteri Kedua Pendidikan Indranee Rajah turut mendedahkan bahawa GPA politeknik memberikan "ambaran yang lebih baik dan jelas" mengenai pengetahuan dan kemahiran para pelajar yang diperolehi semasa menuntut di politeknik.

Daripada enam universiti awam, hanya NUS dan NTU yang mengambil kira UAS pemohon dengan memperuntukkan 80 peratus pada GPA politeknik dan baki 20 peratus berdasarkan keputusan GCE O.

Empat lagi universiti - Universiti Pengurusan Singapura (SMU), Universiti Teknologi dan Reka Bentuk Singapura (SUTD), Institut Teknologi Singapura (SIT) dan Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS) tidak menimbangkan keputusan GCE O semasa menilai permohonan para lulusan politeknik, menurut MOE. Ini bermakna keempat-empat universiti itu menimbangkan faktor-faktor lain seperti GPA politeknik, ujian kebolehan dan prestasi semasa ditemu duga bagi menilai setiap pemohon dan akan mengambil kira keputusan GCE O hanya jika ia dianggap relevan.

Buat masa ini, lulusan politeknik yang tidak mempunyai sijil GCE O dinilai berdasarkan GPA mereka saja. Menurut MOE, para pelajar tanpa sijil GCE O membentuk hampir suku daripada mereka yang memasuki politeknik.

Sungguhpun demikian, para pelajar politeknik masih boleh menggunakan keputusan GCE O sebagai maklumat tambahan bagi menyokong permohonan mereka.

Selain itu, universiti-universiti masih boleh mengenakan syarat-syarat yang berdasarkan subjek atau mata pelajaran bagi menentukan kesesuaian setiap pemohon. Sebagai contoh, seorang pelajar politeknik yang membuat permohonan untuk mengikuti jurusan sains komputer di NUS memerlukan sekurang-kurangnya gred B3 bagi Matematik Tambahan di peringkat GCE O.

Lebih banyak perincian mengenai perubahan-perubahan pada proses permohonan untuk para pelajar politeknik akan didedahkan oleh NUS dan NTU apabila dekat dengan tempoh pendaftaran bagi Tahun Akademik 2020.

- CNA/AW/aq

Top