Images
  • lta bumbung
    Contoh laluan-laluan berbumbung. (Gambar: LTA)

LTA selesai bina laluan berbumbung sepanjang 200 km di bawah inisiatif S$300 juta

SINGAPURA: Sebilangan pelajar Sekolah Menengah Fajar lambat ke sekolah setiap kali cuaca hujan kerana terpaksa berteduh di kolong blok atau perhentian bas sementara menunggu hujan berhenti.

Bagaimanapun, sejak laluan-laluan berbumbung selesai dibina pada tahun ini, sekolah yang terletak di Bukit Panjang itu mendapati bahawa lebih ramai pelajarnya tiba di sekolah tepat pada masanya pada hari-hari hujan, menurut Naib Pengetua Sekolah Menengah Fajar.

Laluan-laluan itu adalah antara laluan-laluan berbumbung sepanjang 200 kilometer yang dibina sejak lima tahun lalu di bawah program Walk2Ride oleh Penguasa Pengangkutan Darat (LTA).

LTA mengumumkan hari ini (15 Sep) bahawa program itu sudahpun selesai dilaksanakan dengan belanja S$300 juta.

"Laluan-laluan berbumbung sudah dibina dan dihubungkan ke sekolah-sekolah, pusat-pusat jagaan kesihatan serta kemudahan awam yang lain yang terletak di sekitar 400 meter dari stesen-stesen MRT dan sekitar 200 meter dari pusat-pusat pertukaran bas, stesen-stesen LRT dan perhentian-perhentian bas tertentu yang mempunyai ramai jumlah penumpang," menurut LTA.

LTA juga meminta maklum balas daripada masyarakat bagi memahami keperluan dan keprihatinan mereka sebelum membina laluan-laluan berbumbung tersebut.

Sedang Singapura memperluaskan rangkaian pengangkutan awamnya, pihak berkuasa berharap laluan-laluan berbumbung itu akan memudahkan perjalanan para penumpang ke stesen-stesen kereta api dan pusat-pusat pertukaran bas.

"Kami akur bahawa laluan-laluan yang selamat dan selesa adalah penting bagi menggalak rakyat untuk berjalan, berbasikal, menunggang (#walkridecycle) serta menjadikan Singapura sebuah negara yang kurang bergantung kepada kereta. Namun di negara dengan cuaca tropik ini, laluan-laluan tersebut juga harus dilengkapi dengan bumbung," kata Menteri Pengangkutan Khaw Boon Wan menerusi catatan di laman Facebooknya hari ini (15 Sep).

"Lima tahun kemudian dan setelah membelanjakan S$300 juta, saya gembira untuk mengumumkan bahawa Program #Walk2Ride ini sudahpun selesai dilaksanakan." 

- CNA/AI/ai

Top