Images
  • teksi
    Petikan gambar dari video yang dimuat naik pengguna Facebook Yang ShiMing pada 7 Okt 2018.

LTA ketepikan saman letak teksi sembarangan; sahkan pemandu cedera dalam insiden

SINGAPURA: Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) mengetepikan saman yang dikeluarkan terhadap sebuah teksi yang diletakkan di tepi jalan setelah pemandunya didapati cedera ketika itu.

"Ketika saman dikeluarkan, pegawai penguatkuasaan LTA tidak melihat pemandu teksi di tempat kejadian, lalu menjalankan tanggungjawabnya untuk mengeluarkan saman kerana teksi ditinggalkan di tepi jalan," menurut LTA dalam kenyataannya yang dikeluarkan hari ini (11 Okt).

LTA menyatakan seorang anggota awam kemudian mendekati pegawai berkenaan dan memaklumkannya bahawa pemandu teksi itu cedera.

"LTA sudah mengesahkan perkara ini dan mengetepikan saman yang dikeluarkan. Kami berharap pemandu teksi itu akan segera pulih."

Pengguna Facebook Yang ShiMing memuat naik rakaman video kejadian insiden tersebut pada Ahad lalu (7 Okt), yang menurutnya berlaku di Syed Alwi Road.

Sebuah teksi ComfortDelGro berwarna kuning kelihatan diletak di garisan kuning. Encik Yang kedengaran memberitahu pegawai LTA berkenaan bahawa pemandu teksi itu "terbaring di jalan raya".

Menjawab pertanyaan Mediacorp, Pasukan Polis Singapura menyatakan bahawa para pegawai polis dimaklumkan tentang satu kes pergaduhan di 1 Jalan Berseh pada Ahad (7 Okt), sekitar 5.10 pagi.

Dua lelaki, masing-masing berusia 28 dan 29 tahun, sudah diberkas.

Pemandu berusia 57 tahun itu dikejarkan ke Hospital Tan Tock Seng dalam keadaan sedar, tambah polis.

Pegawai Perhubungan Korporat Kumpulan Syarikat Comfort DelGro Tammy Tan berkata bahawa syarikat itu sedang membantu polis dalam siasatannya.

"Kami mengutuk keras sebarang bentuk kekerasan atau keganasan terhadap pemandu teksi kami. Dalam insiden berkenaan, pemandu teksi kami cedera teruk dan kami sudahpun menghubungi keluarganya. Keutamaan kami adalah kebajikannya dan kami akan membantu pemandu teksi itu dan keluarganya semampu kami," tambah beliau.

Dalam catatannya, Encik Yang berkata bahawa dua lelaki bertengkar dan menolak troli yang kemudian melanggar teksi itu. Pemandu teksi terbabit turun dari kenderaannya dan menghampiri dua lelaki tersebut. Pemandu teksi itu kemudian cuba mengejar mereka yang cuba untuk melarikan diri. Akibatnya, beliau dipercayai dipukul.

Dalam satu lagi catatan yang dimuat naik pada Isnin (8 Okt), Encik Yang menyatakan bahawa keluarga Encik Yang memaklumkan tentang keadaannya.

Pemandu berkenaan mengalami keretakan pada tengkoraknya dan penggumpalan darah di otak, namun beliau dalam keadaan stabil.  

- CNA/AQ/aq

Top