Images
  • LTA
    Gambar: Joey Liew

LTA beri kontrak fasa pertama percubaan uji khidmat bas ikut permintaan

SINGAPURA: Dua syarikat diberi kontrak bernilai lebih S$466,000 untuk menjalankan fasa pertama percubaan khidmat bas awam yang mengikut permintaan, demikian diumumkan Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) hari ini (13 Feb).

Syarikat-syarikat itu adalah Via Transportation yang mengendalikan khidmat sedemikian di bandar-bandar utama seperti New York dan Chicago dan juga sebuah syarikat pemula tempatan, Ministry of Movement (SWAT).

LTA membuka tender Ogos lalu untuk membangunkan khidmat bas yang mengikut permintaan pengguna melalui aplikasi telefon bijak pada masa nyata. Ini bermakna, para pengguna boleh meminta diambil atau diturunkan di mana-mana perhentian bas dalam kawasan kendaliannya berbanding bergantung kepada jadual ataupun laluan yang ditetapkan.

LTA menerima 10 usulan daripada syarikat-syarikat tempatan dan luar negara. Namun, menurutnya, kedua-dua syarikat tersebut membuat bidaan yang "bermutu tinggi dan berpatutan."

Dalam fasa pertama percubaan itu, Via dan SWAT akan membangunkan satu prosedur yang membolehkan bas-bas untuk dikerahkan mengikut permintaan penumpang pada masa nyata serta tempat mengambil dan menurunkan mereka.

Syarikat-syarikat berkenaan juga akan menjalankan simulasi-simulasi bagi menguji dan memperhalusi mutu khidmat serta keperluan sumber yang membolehkan LTA menentukan garis panduan percubaan operasinya.

Percubaan operasi itu dijangka dijalankan bermula suku keempat tahun ini, menurut LTA. Ia menambah bahawa kontrak bagi fasa kedua akan diberikan pada suku ketiga.  

- CNA/SM/sm

Top