Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Longkang terhalang dekat tapak binaan burukkan lagi banjir kilat di Tampines Avenue 12

Banjir di Tampines Avenue 12 pada minggu lalu menjadi bertambah buruk disebabkan oleh aliran air dari sebuah tapak binaan di mana longkang berdekatan tapak tersebut terhalang oleh akses kepada sebatang jalan raya sementara. 

Anggaran Waktu Membaca:
Longkang terhalang dekat tapak binaan burukkan lagi banjir kilat di Tampines Avenue 12

Longkang berhampiran tapak binaan di Tampines Ave 12. (Gambar: PUB)

Diterbitkan : 18 Jan 2018 10:30AM Dikemas Kini : 18 Jan 2018 10:33AM

SINGAPURA: Banjir di Tampines Avenue 12 pada minggu lalu menjadi bertambah buruk disebabkan oleh aliran air dari sebuah tapak binaan di mana longkang berdekatan tapak tersebut terhalang oleh akses kepada sebatang jalan raya sementara.

Demikian menurut agensi air negara PUB di sidang media semalam (17 Jan).

Jurucakap PUB turut mendedahkan bahawa aliran air hujan dari sebuah tapak binaan dan padang bersebelahan kawasan banjir biasanya mengalir ke "longkang lumpur" dan disalurkan secara langsung ke Sungei Tampines.

Siasatan PUB bagaimanapun menunjukkan bahawa kontraktor tapak binaan itu membina akses laluan sementara yang merentasi longkang berkenaan, sehingga menghadang aliran air sama sekali.

Dengan itu, air melimpah ke longkang di sebelah jalan raya di Tampines Avenue 12 yang sudahpun menampung jumlah air yang banyak disebabkan hujan lebat pada 8 Januari lalu.

PUB menegaskan bahawa banjir kilat di kawasan itu reda dalam masa 25 minit.

Agensi tersebut turut menyatakan bahawa ia akan bekerjasama dengan pemaju hartanah, yang dipercayai adalah Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) untuk memperbaiki keadaan longkang di laluan akses itu dan sebuah sistem saliran tetap akan dibina "seiring" dengan projek pembangunan akan datang, menurut PUB.

PUB SIASAT SAMA ADA PERLU AMBIL TINDAKAN TERHADAP KONTRAKTOR

Menurut PUB, kontraktor projek tersebut, Huationg Contractor, tidak seharusnya membina laluan akses tanpa memberitahu agensi itu, yang menyatakan ia "mengubah seluruh lanskap".

Agensi itu menyatakan bahawa isu utama laluan akses itu adalah ia menghadang aliran air hujan.

Kerja-kerja yang menjejas sistem saliran harus dikendalikan oleh PUB. PUB bagaimanapun tidak menerima sebarang pelan sedemikian oleh kontraktor tersebut.

Ini adalah antara isu yang perlu disiasat sebelum sebarang tindakan boleh diambil, menurut PUB. Sementara itu, tumpuannya kini adalah untuk memperbaiki sistem saliran di kawasan tersebut.

PUB menyatakan ia juga memastikan kontraktor berkenaan menarik balik sebahagian laluan akses yang mengakibatkan longkang tersebut terhalang dan memulihkan semula aliran air.

Ini termasuk mengorek sebahagian jalan raya itu, yang sepatutnya selesai dijalankan pada hujung minggu ini.

Pihaknya turut menimbangkan untuk memberitahu kontraktor-kontraktor lain supaya mereka tidak menghalang sistem saliran tanpa terlebih dahulu merujuk kepada agensi itu.

KONTRAKTOR INGATKAN LONGKANG DIABAIKAN: HDB

Dalam responsnya kepada pertanyaan yang diajukan, HDB mengesahkan bahawa Huationg tidak meminta keizinan PUB untuk membina laluan akses di atas longkang berkenaan. Ini kerana syarikat itu bertanggapan bahawa longkang tersebut "kelihatan diabaikan".

HDB juga tidak dimaklumkan bahawa pihak kontraktor tidak meminta keizinan PUB untuk membina laluan akses itu.

HDB bagaimanapun menegaskan bahawa syarat-syarat tendernya memerlukan pihak kontraktor untuk mematuhi kod amalan PUB berhubung aliran air semasa menjalankan kerja-kerja binaan.

Tampines Avenue 12 adalah antara sembilan kawasan di timur Singapura yang dilanda banjir kilat akibat hujan lebat minggu lalu.

Menurut PUB, lapan lagi kawasan dilanda banjir kilat disebabkan lokasinya di kawasan rendah. 

Sumber : CNA/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan