Images
  • spize river valley
    Lesen Restoran Spize di River Valley Road digantung berkuat kuasa 9 November. (Gambar: @yantisujatnika/Instagram)

Lesen Spize @ River Valley digantung; 49 kes radang perut dan usus, sementara lagi 21 dimasukkan ke hospital

SINGAPURA: Lesen Restoran Spize di River Valley Road digantung berkuat kuasa hari ini (9 Nov).

Setakat sehingga 9 November, sebanyak 49 kes disahkan terkena radang perut dan usus (gastroenteritis) dan lagi 21 kes sudah dimasukkan ke hospital. Siasatan sedang dijalankan ke atas kes-kes tersebut.

Lesen Spize di River Valley Road akan terus digantung sehingga Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) berpuas hati dengan langkah-langkah yang diambil dan risiko kesihatan awam ditangani dengan sewajarnya.

Restoran makanan fusion itu juga diarahkan supaya menjalankan kerja-kerja pembersihan yang menyeluruh di premisnya termasuk membersihkan sudu garpu dan perkakas dapur, permukaan tempat kerja dan tandas dan menjalankan semakan serta memperbetulkan kelemahan-kelemahan yang dikesan pada proses menyediakan makanan semasa pihak berkuasa menjalankan pemeriksaan bersama.

Kementerian Kesihatan (MOH), Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) dan Penguasa Agromakanan dan Veterinar Singapura (AVA) sedang menyiasat kes-kes radang perut dan usus (gastroenteritis) yang dikesan pada makanan yang disediakan di Restoran Spize yang terletak di 409 River Valley Road.

MOH, NEA dan AVA dimaklumkan mengenai kes-kes keracunan makanan itu pada 7 November dan menjalankan pemeriksaan bersama di premis restoran berkenaan pada hari yang sama.

Beberapa kelemahan kebersihan dikesan, termasuk membiarkan makanan yang sudah siap untuk dimakan disimpan dalam pendingin tanpa ditutup makanan itu, tidak menyediakan sabun untuk mencuci tangan (dispenser sabun cecair rosak) dan menyimpan pisau-pisau yang digunakan untuk menyediakan makanan yang sudah siap untuk dimakan di celah-celah meja. Spize sudah diarahkan supaya memperbetulkan kelemahan-kelemahan itu dengan serta-merta.

AVA juga sudah mendapatkan sampel-sampel makanan daripada Restoran Spize di River Valley Road sebagai sebahagian daripada siasatan yang dijalankan. Ujian makmal juga sedang dijalankan.

Pada masa yang sama, MOH juga mengambil sampel najis daripada sesetengah kes dan mengarahkan para pengendali makanan restoran berkenaan supaya menjalani ujian yang sama.

Orang ramai dinasihati supaya melaporkan insiden-insiden keracunan makanan dengan menghubungi Pejabat Petugas 24-jam NEA di talian 1800-CALL-NEA (1800-2255-632).

- BERITAmediacorp/AW/ai

Top