Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lelaki homoseksual dibenarkan ambil anak angkat menerusi rahim surogat, kes pertama di S'pura

Mahkamah Tinggi Singapura pada Isnin (17 Dis) meluluskan permohonan seorang lelaki homoseksual untuk mengambil anak kandungnya berusia lima tahun sebagai anak angkat. Anak itu dilahirkan menerusi seorang ibu tumpang di Amerika Syarikat.

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki homoseksual dibenarkan ambil anak angkat menerusi rahim surogat, kes pertama di S'pura

(Gambar hiasan: Unsplash/Lian Metzler)

Diterbitkan : 17 Dec 2018 08:28PM Dikemas Kini : 17 Dec 2018 08:32PM

SINGAPURA: Mahkamah Tinggi Singapura pada Isnin (17 Dis) meluluskan permohonan seorang lelaki homoseksual untuk mengambil anak kandungnya berusia lima tahun sebagai anak angkat. Anak itu dilahirkan menerusi seorang ibu tumpang di Amerika Syarikat.

"Ini kes amat penting kerana ia pertama kali penggunaan ibu tumpang dan pengambilan anak angkat oleh individu homoseksual dirayu di mahkamah," kata peguam lelaki itu, Koh Tien Hua dari firma Eversheds Harry Elias, kepada Channel NewsAsia.

Lelaki tersebut, seorang pakar patologi berusia 46 tahun, mempunyai hubungan dengan seorang lelaki seusia dengannya sejak 1998. Pasangan warga Singapura itu mula tinggal bersama sejak 2003 dan kini tinggal bersama anak tersebut dan seorang pembantu rumah di sebuah kondominuim di sini, menurut dokumen mahkamah.

Hubungan seks antara dua lelaki adalah satu kesalahan jenayah di Singapura dan perkahwinan sesama jantina tidak diiktiraf di sini.

Pasangan tersebut pada mulanya ingin mengambil anak angkat namun dinasihatkan oleh agensi pengambilan anak angkat bahawa kecenderungan seksual mereka akan menjadi penghalang. Mereka lantas ke Amerika Syarikat dan membayar sekitar AS$200,000 (S$275,200) untuk seorang wanita menjadi ibu tumpang bagi bayi mereka menerusi pensenyawaan in vitro (IVF) dan menyerahkan anak itu.

Sperma ahli pathologi itu disenyawakan dengan sel telur penderma yang tidak diketahui identitinya. Di Singapura, prosedur bantuan mendapatkan cahaya mata hanya boleh dilakukan ke atas seorang wanita yang sudah berkahwin dengan persetujuan suaminya.

Anak lelaki tersebut kemudian dibawa ke Singapura menerusi pas lawatan jangka panjang, namun satu permohonan awal kerakyatan Singapura tidak diluluskan. Pasangan tersebut kemudian meminta nasihat daripada Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) dan diberitahu peluang anak itu mendapat kerakyatan lebih cerah jika diambil secara sah menjadi anak angkat.

Pada Disember 2014, ayah kandung kepada anak itu membuat permohonan sebagai ayah tunggal untuk mengambilnya sebagai anak angkat. Permohonan bersama oleh dua lelaki tidak dibenarkan di bawah undang-undang negara ini.

Tiga tahun kemudian, permohonan mereka digugurkan seorang hakim daerah yang menyatakan ia membawa "masalah etika" ke luar negara dan menghasilkan anak menerusi rahim tumpangan.

Pasangan lelaki itu merayu keputusan tersebut namun menekankan apabila diwawancara pihak media sebelum ini bahawa mereka "tidak memperjuangkan sebarang agenda bagi isu homoseksual". Menurut satu lagi peguam lelaki itu, Ivan Cheong: "Pendirian kami dari awal... adalah kecenderungan seksual lelaki itu tiada kaitan dengan permohonan mengambil anak angkat ini."

MASLAHAT ANAK DIUTAMA SEBELUM DASAR AWAM

Keputusan Mahkamah Tinggi untuk mengubah keputusan sebelumnya berdasarkan pertimbangan bahawa pengambilan anak angkat adalah demi kemaslahatan anak tersebut dan meningkatkan peluangnya mendapatkan kerakyatan Singapura dan kedudukan jangka panjang di sini di mana ayah kandungnya dan sistem sokongannya berada.

"Ini membawa pertimbangan berat, memandangkan kesannya ke atas rasa keselamatan anak itu dan kemaslahatan emosinya, serta kestabilan jangka panjang rancangan penjagaannya," menurut Ketua Hakim Sundaresh Menon.

Beliau berkata mahkamah tidak boleh dan tidak seharusnya menegakkan dasar awam terhadap penggunaan rahim tumpangan dan mengambil kira hal itu dalam kes ini kerana "pendirian Pemerintah masih berubah-rubah memandangkan kerumitan isu tersebut".

Undang-undang tempatan tidak secara jelas mengharamkan penggunaan rahim tumpangan, namun institusi penjagaan kesihatan tidak dibenarkan menawarkan khidmat bantuan bagi penggunaan rahim tumpangan.

"Mahkamah mendapati tiada dasar awam yang mengharamkan individu yang tidak berkahwin daripada menjadi ibu bapa menerusi teknologi bantuan atau rahim tumpangan," kata Encik Cheong. "Ini adalah penting kerana ia memperjelaskan isu rahim tumpangan dan kesannya."

CJ Menon juga menarik perhatian bahawa memberikan hak menjaga anak angkat kepada lelaki terlibat adalah tidak bercanggah dengan dasar awam untuk menggalakkan unit keluarga heteroseksual sebagai suasana keibubapaan yang paling ideal - kerana dasar itu tidak secara logik menidakkan cara lain menjadi ibu bapa.

Beliau menambah dasar awam yang tidak membenarkan terbentuknya unit keluarga sama jantina tidak boleh diambil kira kerana dasar itu bukan di bawah Akta Pengambilan Anak Angkat.

Pada masa yang sama, menurut CJ Menon, tiada bukti bahawa lelaki terlibat dengan sengaja melanggar undang-undang atau dasar awam.

Tiada sebab yang "cukup kuat untuk membolehkan kita mengetepikan keutamaan perlembagaan dalam mementingkan maslahat anak dan menganggap maslahatnya sebagai paling utama," menurut beliau. Bukti yang dibentangkan juga menunjukkan bahawa maslahat anak tersebut akan menjadi lebih baik jika diambil sebagai anak angkat.

CJ Menon bagaimanapun menegaskan bahawa keputusan ini dicapai di sebalik "kesukaran yang besar" - berdasarkan fakta-fakta kes dan perlaksanaan undang-undang, bukan sebagai "sokongan" terhadap apa lelaki itu dan pasangannya sedang lakukan mahupun "bersimpati" terhadap kedudukan mereka.

"Hakikatnya, ia adalah tentang kebaikan anak itu," kata Encik Cheong. "Mahkamah sedar akan hakikat ini... Anak guam kami amat gembira dan berbesar hati kerana pada akhirnya, kemaslahatan anak itu diutamakan.

"Diiktiraf sebagai anak sah dan diberikan ketentuan berhubung status jangka panjangnya untuk menginap di Singapura adalah keprihatinan utama anak guam kami."

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan