Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lelaki dijel 4 tahun kerana rompak $45,000; larikan diri selama 22 tahun

Bagi kesalahan rompakan bersenjata, Foo boleh dipenjarakan antara dua dengan 10 tahun, dan disebat sekurang-kurangnya 12 kali.

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki dijel 4 tahun kerana rompak $45,000; larikan diri selama 22 tahun

(Gambar fail: Reuters)

Diterbitkan : 13 Jun 2018 06:29PM Dikemas Kini : 13 Jun 2018 06:33PM

SINGAPURA: Setelah lebih 20 tahun terlibat dalam satu rompakan bersenjata, seorang lelaki berusia 59 tahun pada Rabu (13 Jun) dijatuhi hukuman penjara selama empat tahun.

Foo Siang Thian, seorang rakyat Singapura, melakukan kesalahan itu pada 5 Julai 1996 dengan dua rakan subahat, Lee Ai Eng dan How Meng Yan, yang diberkas pada tahun yang sama.

Bagaimanapun, Foo melarikan diri ke Malaysia selepas rompakan tersebut. Dia dihantar balik ke Singapura pada 1998, tetapi sekali lagi melarikan diri dan menetap di Kuala Lumpur sehingga 2 Mac tahun ini, menurut dokumen mahkamah.

Menurut dokumen mahkamah, Foo mencadangkan agar mereka merompak bekas majikan Lee, yang pada masa itu adalah salah seorang rakan kongsi bagi sebuah syarikat kejuruteraan, kerana Lee mengalami masalah kewangan. Foo dan Lee turut melibatkan How dalam pakatan itu.

Lee sebelum itu memberitahu Foo bahawa mangsa akan mengeluarkan wang dari cawangan bank OCBC di Jalan Yung Kuang di Taman Jurong untuk membayar gaji para pekerjanya.

Foo dan Lee mencuri sebuah motosikal dari kolong Blok 3, Bedok South Ave 1 sehari sebelum jenayah itu dilakukan dan meletakkannya di tempat letak kereta di Jurong.

Keesokan harinya, Foo dan How menunggang motosikal itu ke cawangan tersebut, sambil bersenjatakan pisau. Lee pula memandu keretanya sendiri dan menunggu di tempat letak kereta berhampiran, kerana bekas majikannya akan mengenalinya.

Pada sekitar jam 11.00 ​​pagi pada 5 Julai, mangsa meninggalkan bank itu setelah meluangkan 30 minit untuk mengeluarkan S$44,876.23 dan berjalan menuju ke arah keretanya, yang terletak sekitar 20 meter dari situ. Pada ketika itulah Foo dan How mendekati mangsa, sambil mengacukan pisau yang dibungkus menggunakan suratkhabar.

Mangsa yang ketakutan mencampakkan wangnya ke lantai. How and Foo melarikan kesemua wang tunai itu dengan menunggang motosikal yang dicuri itu dan berjumpa dengan Lee di tempat letak kereta.

Mereka menggunakan sebuah kereta untuk melarikan diri, dan kemudian bertemu di rumah Foo di Chai Chee untuk membahagikan wang tunai yang dirompak itu. Foo mendapat lebih S$10,000, yang digunakannya untuk membayar hutang dan membiayai perbelanjaan hariannya.

Selain hukuman penjara selama empat tahun, Foo juga tidak dibenarkan memandu selama tiga tahun. Pihak pendakwa meneruskan dengan dua tuduhan, dan tuduhan lain turut diambil kira.

Pada Oktober 1996, Lee dijatuhi hukuman penjara selama tiga tahun dan dua bulan, enam sebatan dan tidak dibenarkan memandu selama tiga tahun. Dua bulan kemudian, How dijatuhi hukuman penjara selama tiga tahun dan disebat sebanyak 12 kali.

Bagi kesalahan rompakan bersenjata, Foo boleh dipenjarakan antara dua dengan 10 tahun, dan disebat sekurang-kurangnya 12 kali.

Bagi kesalahan mencuri motosikal, dia boleh dipenjara antara setahun hingga tujuh tahun, dan didenda, dan tidak dibenarkan memandu selama sekurang-kurangnya tiga tahun. Dia tidak boleh disebat kerana berusia 50 tahun ke atas.

Sumber : CNA/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan