Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lebih mudah bergerak melalui perjalanan darat dan udara dalam Asean menerusi perjanjian baru

Pelancong kini boleh menjangkakan perjalanan yang lebih lancar melalui udara dan di darat serata Asia Tenggara, berikutan lima perjanjian pengangkutan baru antara 10 negara anggota Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN).

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 13 Oct 2017 06:22PM Dikemas Kini : 13 Oct 2017 09:42PM

SINGAPURA: Pelancong kini boleh menjangkakan perjalanan yang lebih lancar melalui udara dan di darat serata Asia Tenggara, berikutan lima perjanjian pengangkutan baru antara 10 negara anggota Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN).

Menteri-menteri pengangkutan Asean menandatangani perjanjian itu hari ini (13 Okt) sempena akhir Mesyuarat Menteri-Menteri Pengangkutan Asean tahun ini. Mereka juga melaksanakan enam inisiatif lain yang bertujuan untuk meningkatkan kerjasama dalam sektor pengangkutan, sektor yang dianggap penting untuk memacu pertumbuhan ekonomi, perdagangan dan pelancongan di Asean.

"(Kerjasama serantau yang lebih besar dalam pengangkutan akan) meningkatkan mutu hidup rakyat kita, mewujudkan peluang pekerjaan yang baik dan menyumbang kepada keamanan dan kestabilan di rantau ini," kata Menteri Pengangkutan Khaw Boon Wan dalam ucapan penutupnya di mesyuarat itu.

Menurut Kementerian Pengangkutan (MOT), salah satu perjanjian yang ditandatangani hari ini (13 Okt) akan membolehkan penumpang bas untuk bergerak dengan lebih mudah dalam dalam sempadan Asean.

PERJANJIAN BERKAITAN PENGANGKUTAN BAS

Di bawah perjanjian itu, sehingga 500 bas yang tidak berjadual - seperti perkhidmatan bas jarak jauh dan bas pelancongan - dari setiap negara Asean akan menikmati kemasukan pantas ke sesebuah negara, atau masuk menerusi transit melalui negara-negara anggota lain.

Perjanjian itu, yang dinamakan Perjanjian Rangka Kerja Asean bagi Permudah Penumpang Merentas Sempadan melalui Kenderaan Jalan Raya atau CBTP, memerlukan pengesahan dari pemerintah-pemerintah Asia Tenggara sebelum ia mula berkuat kuasa.

"Apabila dijalankan, rakyat Asean akan mendapati perjalanan bas di rantau ini lebih selesa, sama ada untuk perniagaan atau riadah. Ini akan membuka lebih banyak peluang perdagangan dan pelaburan, terutama sekali bagi sektor perdagangan dan pelancongan," menurut MOT dalam kenyataannya.

PERJANJIAN PENERBANGAN DI RANTAU ASEAN

Untuk perjalanan pengangkutan udara di rantau ini, salah satu perjanjian baru ditandatangani dengan tujuan memberi pelancong lebih banyak pilihan penerbangan, pemindahan bagasi yang lancar dan penempahan tiket. Ini juga termasuk daftar masuk (check-in) dan perkongsian kod (kod-sharing) menggunakan kod tunggal bagi penerbangan domestik.

Setelah perjanjian itu dirasmikan, syarikat-syarikat penerbangan Asean boleh berkongsi kod dengan syarikat penerbangan Asean lain untuk perkhidmatan domestik, selagi ia sebahagian daripada perjalanan antarabangsa.

Sebagai contoh, syarikat penerbangan Singapura, di bawah perjanjian perkongsian kod dengan syarikat penerbangan di Thailand, akan dibenarkan untuk membawa penumpangnya ke Bangkok dan kemudian menghubungkan mereka dengan penerbangan domestik ke Phuket - semuanya di bawah satu tempahan.

Syarikat penerbangan Thailand yang tidak terbang ke Singapura juga boleh membawa penumpangnya terbang ke Bangkok, dan seterusnya ke Singapura dalam satu tempahan.

Ini akan membolehkan syarikat penerbangan Asean dengan rangkaian yang lebih kecil, untuk mengembangkan jangkauan antarabangsa masing-masing, tanpa perlu menggunakan pesawat sendiri, jelas MOT.

KERJASAMA DENGAN CHINA DALAM SIASATAN KEMALANGAN PESAWAT

Menteri-menteri pengangkutan Asean juga menandatangani perjanjian untuk mengurangkan sekatan perdagangan dalam perkhidmatan-perkhidmatan sampingan pengangkutan udara di rantau ini - seperti perkhidmatan katering pesawat dan perkhidmatan pengendalian tanjakan.

Secara berasingan, para menteri pengangkutan Asean menandatangani Memorandum Persefahaman dengan Pentadbiran Penerbangan Awam China untuk kerjasama yang lebih besar dalam siasatan kemalangan pesawat.

MOT menyatakan, ini bertujuan membolehkan perkongsian kemudahan dan peralatan penyiasatan, serta kepakaran yang diperlukan untuk menyiasat kemalangan penerbangan.

"SEKTOR PENGANGKUTAN TULANG BELAKANG DAN PENYUMBANG KRITIKAL"

Di majlis perasmian Mesyuarat Pengangkutan Asean semalam (12 Okt), Timbalan Perdana Menteri Teo Chee Hean menggesa rantau ini untuk bekerjasama demi memacu pertumbuhan bersama.

Encik Teo, yang juga Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara, berkata sektor pengangkutan adalah "tulang belakang dan penyumbang kritikal" dalam perdagangan dan pelancongan di rantau ini, dan Asean harus bekerjasama ke arah visi sebuah rantau yang luas, cekap dan bersepadu.

"Ini akan membuka peluang-peluang baru, meningkatkan akses pasaran oleh syarikat-syarikat kita, dan membolehkan pergerakan yang lebih bebas para penduduk, perniagaan dan perdagangan di dalam dan luar Asean," katanya. 

Sumber : CNA/AQ/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan