Images
  • PM Lee (3)
    PM Lee Hsien Loong berucap di Parliamen, 16 Mei 2018.  

"Lebih daripada seorang calon layak" jadi Perdana Menteri seterusnya, kata PM Lee

SINGAPURA: Perdana Menteri Lee Hsien Loong berkata terdapat lebih daripada seorang calon yang layak untuk menggantikan dirinya.

PM Lee juga menjangkakan bahawa calon paling layak akan muncul sebelum pilihan raya umum Singapura yang seterusnya. Demikian menurut beliau hari ini (16 Mei) di Parlimen.

"Kita bertuah (terdapat lebih seorang calon yang layak), kerana ini mewujudkan kekuatan serta kewibawaan kepada pasukan (pemimpin muda). Sekarang pasukan itu perlu bersatu dan bersepakat membuat pilihan terbaik," kata beliau, sambil menambah keupayaan para menteri generasi keempat (4G) untuk bekerjasama "sama pentingnya, jika tidak lebih penting, dengan persoalan siapakah yang akan menjadi PM seterusnya".

"Saya tahu semua orang tidak sabar untuk mengetahui siapa PM seterusnya. Perkara seperti ini mengambil masa. Ia tidak boleh dipaksa," tambah PM Lee.

"Saya tidak rasa bahawa kita sudah bersedia untuk memuktamadkan pilihan. Ia juga tidak membantu jika kita menganggapnya sebagai satu perlumbaan atau sebuah kempen untuk melobi sokongan buat satu-satu calon.

"Ini adalah tanggungjawab secara sepasukan dan kita mahukan sebuah pasukan yang kuat dan bersatu padu supaya Team Singapore menjadi pemenangnya."

Berucap tentang politik dan kepimpinan sebagai sebahagian daripada ucapannya di Parlimen, PM Lee bertanya: "Bolehkah generasi pemimpin seterusnya meneruskan pengalaman 50 tahun yang dikongsi bersama dan mengekalkan semangat menjalankan misi secara kolektif?  Bolehkah mereka berusaha untuk mempertingkat kehidupan semua rakyat Singapura dan bukan setakat memenuhi kepentingan kumpulan-kumpulan tertentu, supaya mereka mewariskan Singapura yang lebih utuh dan bersatu padu?

"Saya rasa mereka boleh."

PM Lee memuji para menteri 4G dan menyifatkan mereka sebagai sebuah kumpulan bertenaga yang sanggup berkhidmat sepenuh hati, sambil memberikan nasihat kepada mereka.

"Sebilangan hakikat yang sukar diterima akan terus ada bagi Singapura. Namun masalah-masalah lama sekalipun mungkin memerlukan huraian baru. Kita mestilah pragmatik dan bukan bersikap ideologi dalam pendekatan kita," kata PM Lee.

"Buka minda dan buat keputusan dengan fikiran dan hati. Kenang sejarah kita tetapi jangan terperangkap olehnya.

"Oleh sebab itu, pembaharuan tampuk kepimpinan penting: Idea baru, jalinan baru dan hubungan baru diperlukan dalam setiap generasi baru."

"JIKA KAMI GAGAL ... KAMI WAJAR KECUNDANG"

PM Lee juga menyentuh tentang parti-parti pembangkang dan peranan mereka dalam memastikan politik Singapura "boleh dipertandingkan".

"Parti pemerintah PAP (Parti Tindakan Rakyat) tiada kuasa monopoli, tiada hak untuk memerintah Singapura selama-lamanya," kata beliau.

"Selagi PAP menunjukkan prestasi yang baik, ia mendapat sokongan pengundi dan (akan) terus mentadbir negara. Parti pembangkang tidak akan berkuasa. Namun Sekiranya PAP tidak cekap atau mengamalkan perkara-perkara salah, pihak pembangkang akan bertambah kuat.

"Maka sistem kita memberikan PAP insentif untuk menunjukkan prestasi yang baik dan memastikan pembangkang terus memainkan peranannya, iaitu sebagai pembangkang."

PM Lee menambah: "PAP berazam untuk menunjukkan prestasi yang baik. Kita memandang setiap pilihan raya sebagai pertandingan serius. Kita juga memandang setiap perbahasan di dalam Dewan sebagai serius. Lantaran itu kita meminda Perlembagaan bagi memastikan akan sentiasa ada sekurang-kurangnya 12 AP pembangkang dan NCMP dalam Dewan, walau apa pun keputusan pilihan raya."

Parti-parti politik tiada jangka hayat - tempoh untuk hidup dan tempoh untuk mati, ujar beliau.

"Berapa lama sesebuah parti politik terus memerintah atau berada di pihak pembangkang, kerana parti-parti ini datang dan pergi - bergantung sama ada ia boleh memperbaharui pasukan, terus berkhidmat kepada rakyat, terus membawa kemajuan kepada negara," ujar PM Lee.

"Jika PAP boleh terus melakukannya dengan berjaya, kita boleh terus memerintah. Namun sekiranya kami gagal, kami wajar kecundang. Maka, pesan saya kepada semua AP PAP adalah 'bekerja keras, berkhidmat kepada rakyat, berpegang teguh kepada prinsip, menangi pilihan raya'."

"Jika para menteri tidak bersedia untuk mentadbir, lepaskanlah jawatan anda," tambah beliau.

"Mentadbir negara bermakna, dari semasa ke semasa, anda perlu berdepan perkara sulit, apabila perlu. Kepimpinan bermakna anda perlu menjelaskan, mengajak dan meyakinkan masyarakat bahawa anda tahu apa yang anda lakukan, bahawa anda melakukannya demi kebaikan dan anda melakukan perkara yang betul.

"Itulah caranya untuk mengekalkan keyakinan rakyat dan keyakinan itu penting."

Selepas ucapan PM Lee, pemimpin pembangkang dan mantan ketua Parti Pekerja Low Thia Khiang mengajukan soalan sama ada sekarang terdapat "golongan elit politik" di Singapura, memandangkan tiga nama yang disebut-sebut sebagai calon - Chan Chun Sing, Heng Swee Keat dan Ong Ye Kung - semuanya adalah dari latar belakang tentera atau perkhidmatan awam.

"Ini adalah contoh cara tidak wajar bagi memikirkan tentang satu-satu masalah," jawab PM Lee.

"Apabila anda melihat ke arah seseorang yang ditanya soalan: 'Adakah beliau menyumbang (kepada masyarakat)? Apakah kekuatan dan kelemahannya? Adakah beliau layak atau tidak?'

"Anda tidak sepatutnya bertanya dari mana beliau datang dan siapa ibu bapanya."

PM Lee menambah: "Adakah ia sesuatu yang buruk untuk datang dari latar belakang perkhidmatan awam atau SAF? Tidak. Adakah perlu untuk datang dari latar belakang tersebut? Tidak. Adakah baik untuk mempunyai pasukan dengan latar belakang yang pelbagai? Ya dan kita mempunyai pasukan sedemikian.

"Beliau berkata tentang tiga nama yang disebut-sebut sebagai calon. Saya tidak tahu berapa ramai yang akan menjadi calon. Saya hanya mengatakan ia bukan satu perlumbaan, ia adalah sebuah pasukan," kata PM Lee.

"Maka kita mencari individu-individu, di mana yang boleh, untuk mengajak mereka membentuk Team Singapore. Lebih kuat pasukan itu, lebih sukar tugas Encik Low.

"Ia bukan objektif saya," ujar beliau sambil tersenyum. "Saya hanya mahukan pasukan terbaik untuk Singapura."

PENTINGNYA KERJASAMA SEPASUKAN

Dalam ucapan penutupnya, PM Lee sekali lagi menekankan perlunya tampuk kepimpinan Singapura untuk bekerjsama.

"Walaupun dalam sekitaran yang baik - dan juga ketika berdepan krisis - Encik Lee Kuan Yew tidak mentadbir negara seorang diri. Begitu juga Encik Goh Chok Tong dan saya," kata beliau.

"Kami bertiga bukan memimpin secara sendirian, namun secara primus inter pares - iaitu wakil dari sebuah kumpulan, dengan rakan-rakan kami. Kita semua bertuah - Singapura bertuah - kerana ketiga-tiga PM mempunyai rakan-rakan sekerja yang setia menyokong kami.

"(Mendiang) Encik Lee mempunyai sebuah pasukan kukuh yang menyokongnya - Goh Keng Swee, S Rajaratnam, Lim Kim San, Hon Sui Sen, Othman Wok. ESM Goh pula mempunyai pasukan yang juga berbakat – Ong Teng Cheong, Tony Tan, Wong Kan Seng, S Jayakumar, S Dhanabalan, Abdullah Tarmugi, George Yeo,” ujar beliau.

"Semasa saya mengambil alih tugas sebagai Perdana Menteri, saya mewarisi pasukan kuat ESM Goh, Encik Goh sendiri kekal dalam pasukan tersebut dan kami tambah bakat kepada pasukan beliau. Kini setelah beliau melepaskan jawatan, saya bergantung kepada pasukan utama saya sendiri, yang sekarang termasuk beberapa para menteri 4G.

"Oleh itu, PM seterusnya juga mesti ada dan akan ada rakan-rakan penyokong kuat."

Beliau menekankan bahawa Pemerintah bukanlah pemilik Singapura mahupun pengurusnya. Sebaliknya, ia adalah penerajunya.

"Ia bertanggungjawab menjaga negara, diamahkan dengannya, mewariskannya kepada generasi akan datang apabila tiba masanya," jelas PM Lee. "Pemerintah mesti menaruh kepercayaan kepada generasi sebelum ini, yang mewariskan negara ini kepada kita. Ia harus bertanggungjawab ke atas generasi hari ini yang meneruskan apa yang sudah diwarisi.

"Yang paling utama, ia mesti menganggap generasi akan datang - yang kehidupan dan masa depan mereka bergantung kepada kita, generasi sekarang - memikirkan kepentingan mereka, bertindak bagi pihak mereka, membuat keputusan bijak dan berpandangan jauh untuk Singapura bertahan dan makmur pada tahun-tahun mendatang," kata beliau.

"Saya yakin apabila tiba masanya untuk saya menyerahkan jawatan kepada Perdana Menteri baru, Singapura akan berada dalam tangan peneraju yang baik." 

- CNA/NK/nk

Top