Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lebih banyak tempat awam akan jadi nadi kegiatan seni, budaya masyarakat setempat

Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia Grace Fu mengumumkan demikian semasa melancarkan hala tuju sektor kesenian negara hari ini (19 Okt) bagi tempoh lima tahun akan datang.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Lebih banyak tempat awam akan dijadikan nadi kegiatan seni budaya untuk masyarakat setempat.

Buat masa ini terdapat 17 tempat sedemikian termasuk di Hab Tampines Kita dan Perpustakaan Woodlands. Jumlahnya akan ditambahkan kepada 22 menjelang 2022.

Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia Grace Fu mengumumkan demikian semasa melancarkan hala tuju sektor kesenian negara hari ini (19 Okt) bagi tempoh lima tahun akan datang.

SENI MAKIN RANCAK TAPI KURANG PENYERTAAN

Dalam satu semakan yang dijalankan Majlis Kesenian Kebangsaan (NAC) pada 2017, 75% rakyat Singapura bersetuju landskap seni negara semakin rancak.

Namun, hanya sekitar 40% sahaja yang minat bidang itu manakala 22% melibatkan diri dalam kegiatan-kegiatan seni pada tahun yang sama.

Lantaran itu, Cik Grace Fu berharap hala tuju yang dilancarkan itu dapat menyokong keperluan dan aspirasi masyarakat seni di sini.

Diberi nama 'Our SG Arts Plan' ia dicorak berdasarkan tiga teras utama iaitu 'Membangkitkan Semangat Kepada Orang Kita' dengan penubuhan Pusat Sumber Pekerja Bebas.

Kedua adalah 'Menghubungkan Masyarakat Kita' dengan tumpuan kepada lebih banyak kolaborasi projek silang bahasa dan budaya dijalankan dan ketiga adalah 'Meletakkan Singapura secara Global' yang memberi fokus kepada lebih banyak kerjasama antara kumpulan seni tempatan dengan kumpulan antarabangsa.

Menurut Cik Fu, program lima tahun itu bertujuan menyediakan peluang untuk para aktivis seni mengasah bakat mereka dan pada masa yang sama, meningkatkan lagi pendedahan seni kepada masyarakat.

VISI 'SENI UNTUK SEMUA'

Ini supaya visi seni untuk semua itu dapat dilestarikan di samping mengukuhkan lagi rangkaian kenalan sesama aktivis dan juga orang ramai.

Pengarah Artistik Teater Ekamatra Fared Jainal berpendapat: "Saya rasa pelibatan dan peranan masyarakat umum dalam mencorakkan seni di Singapura ini adalah begitu mustahak sekali kerana seperti yang kita tahu seni itu dapat mengubah, mencorak dan mengembangkan minda kita.

"Jadi adalah harapan saya dengan pelan baru ini, ia dapat mendekatkan lagi masyarakat umum dengan seni di Singapura."

"Ia membuka lagi ruang untuk kita melakukan, mencabar diri kita untuk sejauh mana kita boleh mengangkat seni dan budaya kita dan sudah tentu kita akan lebih banyak memberikan suatu inspirasi kepada anak-anak muda ataupun mereka yang baru menceburi dalam bidang ini agar lebih yakin dengan apa yang mereka lakarkan untuk masa depan mereka," kata Pengasas/Pengarah Artistik Era Dance Theatre Osman Abdul Hamid.

Our SG Arts Plan akan menjadi pelan yang "bernyawa", menurut Cik Fu kerana ia akan terus berubah dalam usaha NAC menjadikan sektor seni terus aktif dan menarik. 

Sumber : BERITA Mediacorp/ru
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan