Images
  • ong
    Menteri Pendidikan, Ong Ye Kung.

Lebih banyak sumber diberi kepada pelajar sekolah khusus dan aliran Normal

SINGAPURA: Menteri Pendidikan, Ong Ye Kung berkata, untuk merapatkan jurang prestasi antara para pelajar, apa yang perlu bukanlah huraian yang menyekat pelajar cemerlang tetapi langkah-langkah yang bertujuan meningkatkan prestasi mereka yang di bawah.

Menurutnya pemerintah sudah melakukan usaha itu dengan memberi lebih banyak sumber kepada para pelajar dari sekolah-sekolah khusus dan dari aliran Normal.

Menteri Pendidikan Ong Ye Kung menjelaskan demikian sebagai respons kepada usul yang ditimbulkan oleh beberapa Anggota Parlimen di parlimen hari ini (11 Jul).

Antara saranan yang ditimbulkan adalah mengharamkan tuisyen dan mengagihkan semula sumber dari sekolah popular kepada sekolah kurang popular. Namun Encik Ong menegaskan mengehadkan pencapaian bukanlah pendekatan yang betul.

AZMOON: PERLU TINDAKAN BERANI DEMI WUJUDKAN PELUANG SAMA RATA

Beliau menjawab pertanyaan Anggota Parlimen Dilantik (NMP) Azmoon Ahmad yang menyarankan perlunya pendidikan memainkan peranan utama dalam mobiliti sosial.

"Kita perlu membuat keputusan dan mengambil tindakan berani walau betapa sukar pun ianya demi mewujudkan peluang sama rata bagi semua. Kita harus berusaha mengurangkan halangan-halangan tertentu yang dihadapi oleh anak-anak kita demi membantu untuk berjaya dan mencapai impian dan aspirasi mereka," kata Encik Azmoon Ahmad.

Encik Ong berkata satu strategi yang diambil MOE adalah dengan memberi sumber-sumber kepada sekolah. Untuk itu, empat sekolah khusus akan menerima sumber tertinggi sebanyak $24,000 setiap pelajar.

Sekolah dengan para pelajar Normal Teknikal dan aliran Normal akan menerima antara $15,000 hingga $20,000 setiap pelajar. Pelajar di sekolah pemerintah, bantuan pemerintah dan sekolah bebas akan menerima di bawah $15,000.

Selain memberi lebih banyak sumber, bantuan juga diberikan kepada para pelajar dari keluarga berpendapatan rendah.

Encik Ong menambah Suruhanjaya Perkhidmatan Awam sedang mendekati para pelajar dari pelbagai sekolah dan memberi perhatian khas kepada pemohon dari keluarga bergaji rendah.

PSLE DIMANSUHKAN?

Mengenai saranan agar sistem PSLE dimansuhkan, Encik Ong berkata walaupun sistem itu mungkin tidak sempurna, ia adalah sistem paling meritokratik dan adil.
Mereka berkata, beri sokongan lebih kepada pelajar lebih lemah tetapi jangan mansuhkan PSLE.

Jadi saya fikir sistem "sacred cow" ini bertahan kerana beberapa sebab sangat sah. Tetapi apa yang perlu dilakukan adalah mengurangkan tumpuan pada peperiksaan.

Jadikannya peperiksaan yang kurang diberi penekanan yang "mesti dilakukan atau kecundang".

Walaupun ada banyak cabaran, Encik Ong menggulung ucapannya dengan berkata sistem pendidikan negara ini akan terus diperbaiki dan menjalani perubahan.

DR FAISHAL: TIDAK BENAR MASYARAKAT MELAYU KETINGGALAN, TIDAK MAJU

Sementara itu menjawab keprihatinan Encik Azmoon tentang anak-anak dari latar belakang kurang bernasib baik, Setiausaha Parlimen Kanan Pendidikan, Dr Faishal Ibrahim akur bahawa ada perbincangan tentang keadaan masyarakat Melayu.

Ini termasuklah "kekhuatiran bahawa kita tidak maju, ketinggalan dan tidak disertakan dalam kemajuan negara".

Dr Faishal menekankan bahawa perkara itu tidak benar kerana masyarakat Melayu sudahpun menunjukkan kemajuan dalam pendidikan seperti yang terbukti menerusi data.

"Berdasarkan data sepanjang 10 tahun, terdapat peningkatan peratusan pelajar Melayu yang memasuki Pendidikan Posmenengah. 84.1 peratus daripada kohort Darjah Satu tahun 1997 telah memasuki Pendidikan Posmenengah. Bagi kohort Darjah Satu tahun 2006, yang kini sudah berumur 18 tahun pula, 94 peratus daripada kohort tersebut telah memasuki Pendidikan Posmenengah.

"Kita juga dapat melihat peningkatan jumlah pelajar yang telah meraih kelulusan tiga subjek di peringkat ‘O’. Pada tahun 2007, 86.6 peratus daripada pelajar Melayu telah meraih kelulusan sekurang-kurangnya dalam tiga subjek di peringkat ‘O’," ujar beliau di Parlimen.

Dr Faishal menambah bahawa pada tahun 2016, jumlah itu meningkat menjadi 91.3 peratus.

Bagi para pelajar peringkat A pula, kata beliau, 76.4 peratus daripada pelajar Melayu yang menduduki peperiksaan pada tahun 2007 mendapat sekurang-kurangnya kelulusan dalam tiga subjek H2 serta lulus dalam Kertas Am atau Pengetahuan dan Penyelidikan. Peratusan itu tambah beliau, meningkat kepada 83.2 peratus pada tahun 2016.

"Anak-anak kita telah menunjukkan prestasi yang lebih baik sekarang. Dengan kadar kelulusan yang lebih tinggi, mereka mempunyai pilihan yang lebih banyak apabila meneruskan pengajian ke peringkat posmenengah, termasuklah pelbagai peluang untuk meningkatkan pendidikan dan mendapat pekerjaan yang lebih baik," tegas Dr Faishal. 

- CNA/MM/na

Top