Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lebih banyak kegiatan tambah nilai akan dianjurkan untuk Bulan Bahasa pada masa hadapan, usul Rahayu Mahzam

Kempen Bulan Bahasa 2018 bakal melabuhkan tirainya esok (14 Okt) setelah lebih sebulan disemarakkan di estet-estet kejiranan. Pengerusi Jawatankuasa Bulan Bahasa, Cik Rahayu Mahzam membayangkan lebih banyak kegiatan akan dianjurkan.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Kempen Bulan Bahasa 2018 bakal melabuhkan tirainya esok (14 Okt) setelah lebih sebulan disemarakkan di kawasan-kawasan kejiranan.

Pengerusi Jawatankuasa Bulan Bahasa, Cik Rahayu Mahzam membayangkan lebih banyak kegiatan akan dianjurkan, selain berharap penggunaan dan pelestarian Bahasa Melayu bukan setakat semasa kempen Bulan Bahasa saja, bahkan turut dipergiatkan sepanjang tahun.

AP GRC Jurong itu turut mengongsi visinya di majlis 'Semarak Bulan Bahasa' yang dianjurkan buat julung-julung kalinya oleh Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC) Marsiling dan Woodgrove, siang tadi (13 Okt).

ACARA BULAN BAHASA DIANJURKAN BUAT PERTAMA KALI DI MARSILING

Dari persembahan Bangsawan, deklamasi sajak hingga ke persembahan pencak silat oleh para relawan Masjid An-Nur.

Kesemua kegiatan tersebut sudah bermula sejak 10 pagi lagi. Ia adalah sebahagian daripada usaha MAEC Marsiling dan Woodgrove untuk merancakkan sambutan Bulan Bahasa tahun ini.

Menteri Negara Kementerian Pembangunan Negara dan Kementerian Tenaga Manusia, Encik Zaqy Mohamad yang turut hadir di acara tersebut berkata ia merupakan satu usaha baik yang melibatkan relawan dari estet kejiranan dan relawan daripada masjid.

"Memang pertama kali kita mempunyai aktivis dari MAEC, Woodgrove dan Marsiling, dan juga dari Masjid An-Nur, bergabung tenaga untuk memupuk cinta bahasa dan juga penggunaan bahasa Melayu sempena Bulan Bahasa.

"Ini memang satu platform yang baik di mana kita gunakan wadah seperti bangsawan dan sebagainya untuk menunjukkan kepelbagaian bahasa kita dan bagaimana anak kita juga dapat menimba ilmu mengenai sejarah kami dan budaya kami," katanya yang merupakan mantan pengerusi bagi Bulan Bahasa.

RAHAYU MAHZAM: AKTIVITI BULAN BAHASA AKAN DITAMBAH NILAINYA

Selain Kelab Masyarakat Marsiling, pelbagai aktiviti sudah dianjurkan sejak kempen itu dilancarkan pada 1 September lalu.

Untuk memeriahkan lagi sambutan ulang tahunnya yang ke-30 sejak ia diadakan pada 1988, aktiviti Bulan Bahasa sudah dianjurkan pada setiap minggu di beberapa estet kejiranan baru, termasuk Marsiling dan Woodgrove, dengan kegiatan-kegiatan yang melibatkan belia dan ibu bapa.

Melihat barisan acara yang telah mendapat sambutan yang memberangsangkan daripada masyarakat Melayu serta kaum lain di sini, Pengerusi Jawatankuasa Bulan Bahasa, Cik Rahayu Mahzam berkata matlamat utama Bulan Bahasa tercapai dengan tahap kesedaran mengenai pentingnya menggunakan Bahasa Melayu semakin terserlah, hasil kerja keras golongan aktivis dan para relawan.

"Saya rasa saya ingat adanya kesungguhan daripada pihak semua kelab-kelab masyarakat dan MAEC untuk melakukan acara yang menarik untuk penduduk mereka dan kita dapat lihat pelbagai elemen bahasa yang diselitkan dalam acara-acara itu.

"Ini juga meningkatkan kesedaran tentang kepentingan Bahasa Melayu dan juga acara ini terbuka jadi kita menarik minat yang pelbagai kaum jadi ini saya rasa baik sekali," tambahnya.

Dan berikut adalah gambaran masa depan kempen yang Cik Rahayu terajui:

"Jadi memandang ke hadapan, saya harap ini adalah sesuatu yang dapat diteruskan, dapat dipertingkatkan, kita harus melihat bagaimana kita dapat terus memperkayakan aktiviti-aktiviti yang sedia ada, menambah nilainya.

"Saya juga berharap acara Bulan Bahasa cuma menjadi acara kemuncak saja tapi dalam setahun ini, pelbagai acara dapat diteruskan untuk meneruskan minat, untuk meneruskan cinta kepada bahasa Melayu,"

Acara penutup Bulan Bahasa 2018 akan diadakan esok (14 Okt) di Wisma Geylang Serai. 

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan