Images
  • rain (1)
    Gambar hiasan. (Gambar: AFP/Roslan Rahman)

Lebih banyak hujan berserta guruh bagi 2 minggu mendatang

SINGAPURA: Anda boleh menjangkakan lebih banyak cuaca hujan bagi dua minggu akan datang, dengan hujan berserta guruh lebih kerap berlaku pada sebelah tengah hari dan petang, menurut Jabatan Kaji Cuaca Singapura (MSS) dalam maklumannya pada Isnin (16 Apr).

Hujan akan turun dengan lebih kerap berbanding dua minggu pertama bulan ini, dengan hujan sekejap-sekejap dijangka turun dari sebelah tengah hari hingga ke petang selama tujuh hingga sembilan hari.

Suhu juga boleh jatuh serendah 23 darjah Selsius pada hari-hari hujan, menurut MSS, sambil menyatakan jumlah hujan bulan ini secara keseluruhan dijangka hampir berada pada paras purata.

Anda juga boleh menjangkakan hari-hari lebih panas dengan suhu harian yang diramalkan berada antara 24 hingga 34 darjah, dan boleh mencecah suhu maksimum 35 darjah bagi beberapa hari.

Ini disebabkan keadaan antara dua monsun, yang menyebabkan cuaca panas dan hujan sederhana hingga lebat berserta guruh, di Singapura dan di rantau di sekelilingnya, menurut MSS.

Ribut petir juga akan berlaku lebih kerap semasa tempoh ini berbanding tempoh lain sepanjang tahun ini. Bulan April juga lazimnya merupakan tempoh di mana terdapat paling banyak kejadian petir, menurut makluman itu.

Angin kencang disebabkan ribut Sumatra yang bergerak dari Selat Melaka ke arah Laut China Selatan dijangka berlaku pada dua hingga tiga hari pada awal pagi, dedah MSS.

Pada dua minggu lalu, sekitar dua pertiga kawasan Singapura mengalami hujan di bawah paras normal. MSS mencatat hujan paling lebat sekitar kawasan Kolam Air MacRitchie pada 7 April pada purata harian 138mm. Jumlah hujan paling rendah pada 20.4mm dicatat di Changi.

- CNA/IM/im

Top